Skip to main content

Singapura

Aishah jelaskan keluarga terlalu mengongkong, ingin cari kerja di Phnom Penh: Laporan

Anggaran Waktu Membaca:
Aishah jelaskan keluarga terlalu mengongkong, ingin cari kerja di Phnom Penh: Laporan

Aishah Siregar, 20 tahun, ditemui pihak berkuasa Kemboja. (Gambar-gambar: Facebook/ Media Sayap Belia Parti Rakyat Kemboja)

Diterbitkan : 01 Aug 2026 06:39PM
SINGAPURA: Remaja Singapura, Aishah Siregar, 20 tahun, dilaporkan memberitahu pihak berkuasa Kemboja bahawa dirinya meninggalkan Singapura kerana berasa keluarganya terlalu mengongkong dan dia mahu mencari kerja di Phnom Penh atas kehendaknya sendiri.

Aishah ditemui tinggal di sebuah kondominium di Phnom Penh selepas polis tempatan melancarkan operasi mencari berikutan rayuan keluarganya kepada pihak berkuasa Kemboja, lapor Khmer Times.

Sekretariat Suruhanjaya Banteras Penipuan Online (CCOS) Kemboja turut mengeluarkan kenyataan untuk menepis spekulasi bahawa Aishah mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia atau dipaksa bekerja di pusat operasi penipuan online.

Keluarga Aishah enggan mengulas lebih lanjut apabila dihubungi BERITA Mediacorp.
RENTETAN PERISTIWA

Menurut Khmer Times, Aishah ada meninggalkan sepucuk surat yang menjelaskan keputusannya sebelum meninggalkan Singapura.

Dia menaiki penerbangan Emirates EK-348 pada Selasa (28 Jul) dan tiba di Phnom Penh pada hari yang sama.

Siasatan pihak berkuasa Kemboja mendapati Aishah disambut seorang mahasiswa tempatan, Duong Sothea, di Lapangan Terbang Antarabangsa Techo.

Mereka mula berkenalan menerusi satu permainan online pada 2024, lapor Khmer Times.

Sothea kemudian menggunakan kenderaan rakannya untuk membawa Aishah membeli keperluan harian, selain membawanya melawat beberapa tempat tarikan pelancong.

Aishah sudah mengatur tempat tinggalnya bersama seorang ejen hartanah di Kemboja sebelum tiba di negara itu.

Operasi mencarinya ditamatkan selepas pihak berkuasa mengesahkan dia tidak ditahan, diancam, dianiaya atau dipaksa melakukan apa-apa sejak tiba di Kemboja.

HAK MENINGGALKAN SG

Secara amnya, Aishah tidak melanggar sebarang undang-undang dalam keputusannya untuk ke Kemboja.

"Seseorang berusia 20 tahun yang mempunyai pasport sah secara umumnya boleh meninggalkan Singapura tanpa kebenaran ibu bapanya," jelas Pengarah Urusan A Rohim LLC, Abdul Rohim Sarip, apabila diminta mengulas isu ini oleh BERITA Mediacorp.

"Walaupun umur dewasa 'penuh' di Singapura secara umum adalah 21 tahun, ini tidak bermakna semua individu di bawah 21 tahun memerlukan izin ibu bapa untuk melancong."

Tambah Encik Rohim, persetujuan ibu bapa atau penjaga hanya diperlukan bagi permohonan pasport, dan itu pun hanya jika pemohon ialah seorang "kanak-kanak" yang ditakrifkan sebagai individu berusia bawah 16 tahun.

"Seseorang hanya boleh dihalang daripada meninggalkan Singapura jika terdapat asas undang-undang seperti perintah mahkamah, syarat ikat jamin, sekatan pasport, kewajipan Perkhidmatan Negara atau sebab keselamatan tertentu," terang Encik Rohim lagi.

Abang kepada Aishah, Encik Syafiq Siregar dilaporkan memberitahu CNA bahawa keluarganya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk membawa pulang adiknya.

Menjawab pertanyaan BERITA Mediacorp, Encik Rohim bagaimanapun menerangkan bahawa seseorang tidak boleh dipaksa pulang ke Singapura sekiranya tidak melakukan sebarang kesalahan.

Singapura hanya akan mengemukakan permohonan ekstradisi kepada sesebuah negara jika terdapat kesalahan di bawah undang-undang Singapura yang memerlukan kerjasama negara berkenaan, kata beliau.

Apa pun, Encik Rohim menasihati sesiapa yang berdepan situasi serupa agar membuat laporan polis dan menghubungi Kementerian Ehwal Luar sekiranya mereka percaya anggota keluarga mereka telah diperdaya, dipaksa, atau menjadi mangsa penipuan ataupun pemerdagangan manusia.
Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita