Skip to main content

Singapura

Air sejuk, pakaian sesuai cuaca panas diwajibkan bagi pekerja di luar mulai 1 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
Air sejuk, pakaian sesuai cuaca panas diwajibkan bagi pekerja di luar mulai 1 Dis

Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash minum daripada dispenser air sejuk, yang perlu disediakan bagi pekerja luar mulai 1 Disember sebagai sebahagian daripada langkah menangani tekanan haba. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 28 Aug 2026 04:06PM
  • Kementerian Tenaga Manusia Singapura mewajibkan empat langkah baharu bagi majikan untuk melindungi pekerja luar daripada tekanan haba mulai 1 Disember.
  • Langkah ini termasuk penyediaan air minuman sejuk, pakaian sesuai, latihan tekanan haba, dan kemudahan kecemasan di tempat kerja terbuka.
  • Inisiatif ini dibangunkan bersama SNEF, NTUC, agensi pemerintah dan pihak industri, serta melengkapi syarat sedia ada seperti pemantauan suhu dan rehat berkala.
  • Langkah proaktif ini bertujuan menjaga kesihatan pekerja, mengurangkan gangguan operasi, dan meningkatkan daya tahan terhadap cuaca panas serta jerebu yang dijangka berlaku tahun depan.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Majikan perlu menyediakan air minuman sejuk dan pakaian sesuai bagi pekerja luar mulai 1 Disember, sebagai sebahagian daripada syarat baharu untuk melindungi mereka daripada risiko berkaitan tekanan haba.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (28 Ogos) mengumumkan langkah dipertingkat di bawah rangka kerja sedia ada bagi menguruskan tekanan haba untuk kerja di luar bangunan.

Rangka kerja itu memberi panduan kepada majikan mengenai amalan untuk mengurangkan risiko tekanan haba bagi pekerja yang kebanyakannya bekerja di kawasan terbuka tanpa tempat berteduh kekal.

EMPAT LANGKAH BAKAL DIWAJIBKAN

Empat amalan yang kini berupa saranan akan dijadikan syarat wajib mulai 1 Disember.

Majikan perlu:

  • menyediakan program latihan mengenai tekanan haba bagi pekerja yang terdedah kepada suhu tinggi;
  • menyediakan bekalan air minuman sejuk berhampiran kawasan kerja;
  • memastikan air sejuk, pek ais atau semburan air tersedia bagi kegunaan semasa kecemasan; dan
  • menyediakan pakaian sesuai yang longgar, mempunyai pengudaraan baik atau dapat menyerap kelembapan.

Syarat itu dikenakan bagi semua keadaan kerja di luar bangunan tanpa mengira bacaan Wet Bulb Globe Temperature (WBGT).

Ia melengkapi syarat sedia ada termasuk penyesuaian tubuh terhadap cuaca panas, pemantauan bacaan WBGT setiap jam, pengambilan air secara berkala, berehat di tempat teduh serta tindak balas dan pelaporan kecemasan.

Majikan yang gagal mematuhi syarat tersebut boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan seperti arahan berhenti kerja dan denda kompaun.

Mulai 1 Disember, majikan juga disaran menyediakan kawasan rehat yang teduh bagi pekerja luar, dengan pengudaraan baik serta penebatan haba atau sistem penyejukan yang sesuai.

Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash berkata pihak majikan perlu mengambil langkah proaktif untuk melindungi pekerja sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas Singapura untuk meningkatkan daya tahan terhadap suhu yang semakin meningkat.

Menurut beliau, langkah yang dipertingkatkan itu menetapkan jangkaan lebih jelas bagi majikan di samping memperkukuh perlindungan pekerja.

Pengurusan tekanan haba yang lebih baik bukan sahaja melindungi kesihatan dan kesejahteraan pekerja, malah membantu majikan mengurangkan waktu operasi tergendala, mengekalkan produktiviti dan memastikan kesinambungan perniagaan.

Encik Dinesh menggalakkan majikan menggunakan tempoh tiga bulan sebelum 1 Disember untuk menyemak amalan di tempat kerja dan melaksanakan langkah yang diperlukan.

Menurut MOM, langkah dipertingkat itu dibangunkan bersama rakan kongsi tiga pihak, Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), serta pihak berkepentingan industri dan agensi pemerintah berkaitan.

Langkah tersebut dijadikan syarat wajib dua tahun selepas ia dimasukkan ke dalam rangka kerja sebagai saranan pada 2024.

SEDIA HADAPI CUACA PANAS 2027

Encik Dinesh berkata langkah proaktif itu dilaksanakan sebelum tempoh cuaca panas seterusnya yang dijangka bermula pada Mei tahun depan.

Singapura juga berdepan risiko jerebu menyusuli peningkatan kegiatan titik panas di rantau ini baru-baru ini.

Menurut Encik Dinesh, MOM terus memantau keadaan jerebu dan mempunyai mekanisme untuk memberi amaran kepada tempat kerja serta pekerja luar supaya langkah perlindungan sewajarnya dapat diambil.

Sekiranya jerebu dan cuaca panas berlaku serentak, langkah tambahan termasuk tempoh rehat mungkin diperlukan jika suhu dan paras jerebu meningkat terlalu tinggi.

Beliau menegaskan keselamatan dan kesihatan pekerja perlu terus menjadi keutamaan kerana perlindungan yang baik juga membantu majikan mengekalkan tenaga kerja yang produktif.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita