Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aidilfitri tahun ini bukan sekadar lambang kemenangan; serlahkan perjuangan, pengorbanan berterusan, kata Mufti Negara

Hari Raya Aidilfitri yang disambut dalam suasana luar biasa tahun ini bukan sekadar melambangkan kemenangan, malah ia turut mengingatkan umat Islam tentang perjuangan dan pengorbanan berterusan dalam memainkan peranan bagi melindungi nyawa dan menjaga keselamatan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Aidilfitri tahun ini bukan sekadar lambang kemenangan; serlahkan perjuangan, pengorbanan berterusan, kata Mufti Negara

Mufti Negara, Dr Nazirudin Nasir semasa memberi Khutbah Aidilfitri pada 24 Mei 2020. (Gambar: Petikan skrin dari video/ MUIS)

SINGAPURA: Hari Raya Aidilfitri yang disambut dalam suasana luar biasa tahun ini bukan sekadar melambangkan kemenangan, malah ia turut mengingatkan umat Islam tentang perjuangan dan pengorbanan berterusan dalam memainkan peranan bagi melindungi nyawa dan menjaga keselamatan masyarakat.

Ini kerana orang ramai perlu membuat pelbagai penyesuaian dan tidak bertemu orang tersayang demi melindungi satu sama lain, meskipun merasakan kesedihan dan kerinduan.

Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir menekankan demikian dalam Khutbah Aidilfitri yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan SalamSG TV pada pagi Hari Raya (24 Mei).

Khutbah Aidilfitri yang bertajuk 'Kemenangan Setelah Pengorbanan' buat pertama kalinya disampaikan sepenuhnya secara online, bermula pada 9.00 pagi, sekitar sejam selepas takbir Raya turut bergema secara online.

Dalam khutbahnya, Dr Nazirudin turut melahirkan rasa syukur terhadap pemahaman umat Islam bahawa tanggungjawab sosial itu juga merupakan satu kewajipan agama dan semangat ini begitu menyerlah dalam masyarakat Islam Singapura.

Malah, beliau menarik perhatian bahawa umat Islam di sini mampu bertahan dan bersabar, serta terus berusaha mengatasi ujian wabak COVID-19, sejajar dengan ajaran agama.

WABAK BAWA BANYAK PENGAJARAN

Dr Nazirudin juga menekankan krisis ini mewujudkan kesedaran bahawa masyarakat memiliki daya tahan dan tahap kesabaran untuk mengatasi keadaan mencabar dalam kehidupan.

Ini terutama sekali apabila banyak perkara dipelajari tentang diri sendiri dan juga masyarakat apabila rumah turut menjadi tempat kerja, bilik darjah, tempat ibadah dan juga tempat untuk berehat.

“Begitu juga dalam menjalani kehidupan beragama - apabila ada yang mengatakan kita hanya perlu takut kepada Allah, bukan pada virus, masyarakat kita menyedari bahawa pemahaman seperti itu adalah satu penyelewengan agama kerana agama ini mengelakkan semua kemudaratan dan bahaya yang mengancam nyawa manusia.

“Keimanan kita kepada Allah memupuk sikap bertanggungjawab. Takwa kita kepada Allah menjadikan kita manusia yang tidak cuai atau sanggup membahayakan orang lain kerana itulah perintah Tuhan bagi kita,” tekan Dr Nazirudin.

MASYARAKAT BANGKIT CARI JALAN BUAT KEBAIKAN

Dr Nazirudin juga memuji masyarakat yang bingkas bangkit mencari jalan untuk berbuat kebaikan daripada hanya merudum dalam kesedihan di tengah-tengah wabak COVID-19.

Ini termasuk mengalihkan kelas-kelas agama ke ruang siber, menderma kepada petugas perubatan barisan hadapan dengan juadah berbuka puasa serta menyediakan keperluan harian bagi pekerja asing.

Malah, para pemimpin masjid, asatizah dan sukarelawan turut bertungkus lumus memenuhi keperluan rohani masyarakat kita, kata Mufti.

“Virus ini boleh sahaja melemahkan dan mematahkan semangat kekitaan. Sebaliknya, kita memilih untuk kekal utuh dan bersatu, dengan mengambil berat dan bersikap prihatin antara satu sama lain. Yakinilah, apabila kita berusaha untuk membuka pintu-pintu kebaikan, Allah S.W.T. akan terus membuka pintu rahmatNya,” kata Dr Nazirudin.

KEMAMPUAN UBAH, SESUAIKAN DIRI KUNCI KEJAYAAN

Maka itu, kemampuan masyarakat untuk merubah dan menyesuaikan diri juga adalah kunci kejayaan dalam kehidupan. Ini kerana hidup tidak lekang daripada ujian dan dugaan, kata Mufti.

Dr Nazirudin menukil ayat 2 hingga 3 dari Surah al-‘Ankabut: “Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian itu) Allah mengetahui siapa yang benar-benar beriman, dan siapa pula yang berdusta.”

(Gambar: Petikan skrin dari video/MUIS)

Tegas beliau, keupayaan masyarakat menyesuaikan diri dan kekal positif juga menjadi lebih penting sekarang ini kerana kehidupan mungkin tidak akan kembali sama apabila penularan wabak menjadi lebih kerap.

“Kita tahu bahawa perjuangan untuk membendung COVID-19 belum berakhir lagi. Sebarang pertemuan secara fizikal boleh mendedahkan kita kepada risiko dijangkiti COVID-19.

"Saya yakin bahawa setiap dari kita ingin melindungi ibu bapa dan warga emas kita. Jangan sampai kita kehilangan mereka buat selama-lamanya atau membahayakan mereka hanya kerana kita ingin bertemu dengan mereka pada saat ini juga.

“Buat masa ini, marilah kita kekalkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim sesama kita dengan menghubungi sanak saudara menerusi telefon atau talian video seperti Skype, ZOOM, atau WhatsApp dan memohon kemaafan sesama kita. Setelah selesai perbualan, berdoalah untuk mereka,” saran Mufti.

Dr Nazirudin juga menambah bahawa masyarakat harus pantas menyesuaikan diri berpatutan dengan syarak bagi segera dapat meneruskan amalan agama dengan baik.

Seiring itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus bersyukur dan bekerjasama sepenuhnya dengan pemimpin masjid dengan melaksanakan langkah-langkah yang ditetapkan apabila dapat kembali ke masjid tidak lama lagi, walaupun dengan norma-norma baru.

“Ini penting supaya kita dapat terus beribadah dengan selamat dan bertanggungjawab supaya langkah-langkah tersebut dapat dilonggarkan dari masa ke masa,” jelas beliau.

PELUANG RENUNG KEMBALI, MUHASABAH

Wabak ini, tekan Mufti, memberi masyarakat peluang untuk berfikir dan bermuhasabah, terutamanya tentang keutamaan dalam kehidupan.

Malah, ia mengingatkan masyarakat tentang kemuliaan nyawa insan, bahawa ia sesuatu yang suci, kata Dr Nazirudin.

Tambah beliau, satu nyawa yang hilang ibarat kehilangan banyak lagi nyawa yang lain. Oleh itu, masyarakat perlu menghargai jasa dan usaha semua pekerja kesihatan yang mengorbankan keselamatan diri mereka demi menyelamatkan nyawa orang lain.

Ini termasuk tidak menambah risiko dan beban mereka serta berusaha untuk kekal selamat dan saling menjaga keselamatan orang di sekeliling sebagai cara menunjukkan kepedulian dan keprihatinan kita terhadap pekerja kesihatan, pesan Mufti selanjutnya.

Selain itu, krisis COVID-19 turut mengingatkan masyarakat bahawa kehidupan amat bermakna kerana adanya keluarga, orang yang disayangi dan masyarakat.

(Gambar: Petikan skrin dari video/MUIS)

“Oleh itu, beritahu mereka bahawa kita sayang dan hargai mereka. Kita tidak akan selamanya bersama mereka. Jangan kita lupa dan abaikan mereka apabila kita sudah boleh keluar rumah dan sibuk dengan pekerjaan kita kelak,” kata Mufti.

Dr Nazirudin turut menarik perhatian kepada satu lagi aspek - bahawa krisis itu memaksa masyarakat berfikir semula tentang kebiasaan dan pilihan.

“Demi anak-anak kita dan generasi akan datang, kita perlu melalui cara yang lebih lestari dan memikir kesan jangka panjang di atas segala tindak-tanduk, kebiasaan serta pilihan kita. Alam sekitar yang mana kita diamanahkan untuk menjaganya, sekarang ini merasakan kesan daripada kegunaan sumber secara berleluasa, menjejaskan keseimbangan alam semula jadi yang telah Tuhan tetapkan.

“Marilah kita sama-sama mengamalkan kesederhanaan dalam segala kebiasaan kita dan tidak meninggalkan bumi ini dalam keadaan yang berbahaya bagi generasi yang mendatang,” seru Mufti.

Dr Nazirudin mengakhiri Khutbah Aidilfitri dengan mengambil inspirasi jejak langkah Nabi Muhammad, yang mana kehidupannya tidak mudah mahupun selesa, dipenuhi cabaran dan kesukaran serta sentiasa diuji.

Namun, Nabi Muhammad tidak pernah menyalahkan Tuhan ataupun mengalah. Malah, Nabi Muhammad bangkit setiap masa dan menjadi inspirasi buat semua yang berada di sekeliling supaya kekal positif dan komited dalam perjalanan menuju kebaikan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan