AIDILADHA 2026: PM Wong & SM Lee puji perpaduan, semangat kebersamaan masyarakat Islam SG
Perdana Menteri Lawrence Wong menzahirkan penghargaan terhadap perpaduan dan semangat kebersamaan masyarakat Islam Singapura sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
This audio is generated by an AI tool.
Beliau berkata masyarakat Islam tempatan terus mempamerkan daya tahan dan semangat kebersamaan yang kukuh dan padu meskipun berdepan beberapa cabaran.
Dalam satu catatan Facebook pada Khamis (27 Mei), PM Wong turut menyifatkan Aidiladha sebagai satu peristiwa penting yang diraikan menerusi ibadah, pengorbanan dan saling berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Beliau berkata usaha pelbagai pihak dalam memastikan penerima bantuan terus disokong mencerminkan hubungan erat dan muafakat dalam masyarakat.
“Saya berterima kasih kepada masjid-masjid, para relawan dan rakan-rakan kerjasama atas usaha mereka memastikan para penerima bantuan terus disokong, meskipun terdapat cabaran yang menjejaskan bekalan daging korban,” kata beliau.
PM Wong turut menitipkan harapan agar sekitar 900 jemaah Singapura yang kini menjalani ibadah haji di Arab Saudi dapat menunaikan rukun Islam yang kelima itu dengan selamat dan tenang.
“Saya berharap mereka dapat menjalani ibadah haji yang penuh bermakna dan selamat pulang ke tanah air,” kata beliau.
PM Wong turut berharap sambutan Aidiladha kali ini membawa keberkatan kepada keluarga-keluarga Muslim di Singapura dan terus memperkukuh sifat ihsan dan semangat gotong-royong dalam masyarakat Islam tempatan.
SM Lee berkata sambutan Aidiladha menandakan kemuncak ibadah haji, iaitu rukun Islam yang kelima.
Beliau turut berkongsi amalan yang lazimnya dilakukan oleh umat Islam sempena Hari Raya Haji, seperti menunaikan solat Aidiladha, meluangkan masa bersama keluarga serta melaksanakan ibadah korban.
"Ini juga merupakan waktu untuk merenung kembali nilai-nilai murni seperti pengorbanan, dan semangat belas ihsan serta saling membantu," kata SM Lee.
Beliau juga menitipkan ucapan kepada para jemaah haji Singapura.
“Kepada para jemaah haji kita, semoga selamat sepanjang menyempurnakan ibadah haji,” kata SM Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.