Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AIC tawar program inovatif, sukan baharu sesuai untuk warga emas

Anggaran Waktu Membaca:
AIC tawar program inovatif, sukan baharu sesuai untuk warga emas

Warga emas di Singapura. Gambar Hiasan.

SINGAPURA: Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) memperbaharui pelbagai aktiviti yang ditawarkannya untuk memastikan warga emas di sini kekal aktif dan sihat.

Ia juga melatih lebih ramai kakitangan untuk mengendalikan aktiviti sukan yang sesuai buat warga emas.

Untuk mencapai matlamat-matlamatnya, agensi itu menggunakan dana sekitar S$1 juta untuk mencipta program-program baharu bagi golongan tersebut.

Terdapat pelbagai aktiviti yang diperkenalkan kepada warga emas di Pusat Penuaan Aktif Sunlove sejak Julai lalu.

Di antaranya, aktiviti bola lantai merupakan sebahagian daripada set peralatan atau 'toolkit' yang dibangunkan AIC dan Majlis Sukan Singapura.

"Bola, senaman, bingo, karaoke, yoga, orang sini semua bagus-baguslah layan kita. Itu yang saya suka. Badan pun sihat," kata seorang penduduk.

AIC dan Majlis Sukan Singapura sudah melatih lebih 150 kakitangan dan sukarelawan daripada lebih 60 pertubuhan tentang cara-cara mengendalikan aktiviti-aktiviti sukan secara selamat bagi warga emas, khususnya mereka yang berkerusi roda.

Aktiviti-aktiviti sukan sedemikian diharapkan dapat membantu mendekati penduduk dengan lebih baik lagi, selain aktiviti-aktiviti biasa seperti tai chi atau permainan papan.

Menurut Pusat Penuaan Aktif (AAC) Sunlove, sejak aktiviti bola lantai ditawarkan, jumlah penduduk yang berminat untuk mengambil bahagian naik seganda.

"Mereka boleh mengatur strategi dan bermain, dan dengan mengambil bahagian, mereka terlibat dan semangat mereka naik. Mereka berasa lebih segar sebagai manusia. Jadi, mereka tidak sabar untuk datang setiap kali," kata Penolong Pengurus Pusat Penuaan Aktif (AAC) Sunlove Chai Chee.

Namun begitu, sukan bukanlah satu-satunya tumpuan AIC.

Ia turut menawarkan aktiviti lain seperti pengekodan.

Sejak November tahun lalu, AIC membiayai 13 program baharu.

Ini menerusi dana S$1.35 juta yang ditubuhkan dengan kerjasama Yayasan Masyarakat Singapura dan derma korporat lain.

Dana itu membantu mencipta aktiviti-aktiviti baharu yang sesuai bagi warga emas, mengikut keperluan mereka yang berubah-ubah.

"Kami sedang melihat untuk mengenal pasti program-program yang boleh membantu menghuraikan sebilangan isu yang pusat-pusat penuaan aktif hadapi sekarang," kata Pengarah Divisyen Sektor dan Kerjasama AIC, Andy Seet.

"Misalnya, memikat warga emas lelaki untuk datang ke pusat, atau mendapatkan warga emas yang terpinggir supaya keluar rumah untuk ke pusat penuaan aktif, atau mengupayakan mereka untuk menyumbang kembali kepada masyarakat agar dapat mencipta satu pengalaman lebih positif dan seronok," tambahnya.

AIC sedang meneroka lebih banyak saranan yang lebih inovatif daripada pihak-pihak penyedia, demi mendekati warga emas.
Sumber : CNA/NY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan