AIC, SMRT sepakat lancarkan lebih banyak inisiatif mesra demensia
Lebih banyak sokongan serta khidmat kepada mereka yang menghidapi demensia serta penjaga mereka akan dilancarkan menerusi pelbagai inisiatif baharu oleh Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).

Para penghuni (yang menghidap demensia) berkongsi pengalaman hidup masing-masing bersama juruterapi gerak tubuh sewaktu sesi terapi. (Gambar: BERITAMediacorp)
Antaranya, dengan melibatkan lebih ramai belia, serta melatih lebih ramai pekerja pengangkutan awam untuk membantu.
Selain itu, sebuah pameran akan diadakan mengenai cabaran yang dihadapi pesakit demensia dan penjaga mereka.
Pada usia 19 tahun, ramai rakan-rakan William Koh begitu sibuk sama ada memohon untuk melanjutkan pelajaran atau mencari pekerjaan.
Namun, anggota Perkhidmatan Negara (NS) itu memikul tugas lebih berat.
Sejak ibunya disahkan menghidapi demensia dua tahun lalu, William menjadi penjaga utamanya.
“Sangat tertekan kerana saya tidak tahu apa-apa tentang demensia. Saya tidak tahu cara untuk menjaga, dan terdapat banyak perkara yang perlu saya pelajari. Dan saya tidak terima sokongan seperti yang ada sekarang, jadi ia cukup mencabar. Kini, dengan lebih ramai dalam masyarakat demensia dan di luar, saya menjadi penjaga lebih baik," kata William Koh, penjaga pesakit demensia.
AIC kini berusaha untuk lakukan lebih banyak bagi membantu belia seperti William terutama dengan lebih 150,000 penduduk dijangka mengalami demensia menjelang 2030.
Agensi tersebut mengeratkan hubungan dengan syarikat pengendali pengangkutan SMRT dengan memeterai perjanjian untuk melancarkan lebih banyak inisiatif mesra demensia.
"Memorandum Persefahaman (MOU) ini sebenarnya mengukuhkan kerjasama sedia ada kami bersama SMRT bagi menggalakkan orang awam, latihan kakitangan, penyediaan khidmat serta reka bentuk pusat pertukaran bas, serta stesen MRT," kata Cik See Yen Theng, Ketua, Jabatan Penjagaan dan Kesihatan Mental di AIC.
Menurut seorang kakitangan SMRT, mereka mengalu-alukan latihan tambahan bagi membantu pesakit demensia dengan lebih baik, namun menggesa para penumpang untuk turut lakukan peranan mereka.
"Saya berharap orang ramai juga tampil membantu kami di stesen dengan membawa mereka ke pusat khidmat penumpang, supaya kami boleh membantu mereka lebih lanjut," kata Penolong Kanan Pengurus Stesen di SMRT, Nur Shareeza Abdullah.
Bagi meningkatkan kesedaran awam, pihak AIC turut mengadakan sebuah pameran interaktif yang dilancarkan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Ia akan berlangsung sehingga akhir Mac nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.