AIA lancar polisi insurans pertama di S'pura beri perlindungan penyakit mental
Syarikat insurans AIA melancarkan polisi insuran yang menawarkan perlindungan bagi penyakit mental - yang pertama seumpamanya di Singapura.
(Gambar fail: AP)
SINGAPURA: Syarikat insurans AIA melancarkan polisi insuran yang menawarkan perlindungan bagi penyakit mental - yang pertama seumpamanya di Singapura. Langkah itu bertujuan menangani stigma berkaitan penyakit tersebut.
Polisi AIA itu akan meliputi lima penyakit mental yakni kemurungan serius, skizofrenia, masalah bipolar, Kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan Sindrom Tourette.
Polisi itu menawarkan perlindungan sehingga pemengang polisi berusia 85 tahun atau untuk tempoh perlindungan minimum 30 tahun, mana sahaja yang lebih kemudian manakala bahagian Faedah Kesejahteraan Mental polisi itu pula akan menawarkan perlindungan sehingga usia 75 tahun.
Secara keseluruhannya, seorang daripada tujuh orang di Singapura pernah mengalami gangguan perasaan, rasa gelisah atau ketagihan arak, menurut laporan Kajian 2016 mengenai Kesihatan Mental Singapura. Kajian itu turut mendedahkan bahawa OCD merupakan masalah kesihatan mental yang paling lazim di negara ini.
Bagaimanapun, dapatan itu menunjukkan bahawa sebilangan besar atau sekitar 75 peratus yang pernah mengalami masalah mental tidak mendapatkan bantuan doktor.
Maka itu, pelan insurans baru itu juga menawarkan sokongan kewangan dan "perubatan yang dikhaskan", mengikuti keperluan pelanggan menurut laman AIA itu.
Di bawah pelan tersebut, pemegang polisi boleh mendapatkan bayaran sehingga S$200 bagi kos pemeriksaan kesihatan mereka.
Selain itu, pelan tersebut juga memberi apa yang dipanggil manfaat kesihatan mental kepada para pelanggan yang didiagnos mengalami salah satu daripada lima penyakit mental yang ditetapkan.
Para pesakit boleh menerima bayaran tambahan 20 peratus, dihadkan pada S$50,000 bagi setiap tuntutan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.