Skip to main content

Singapura

AI, sokongan pekerja penting demi kekalkan SG sebagai hab pengangkutan global: AP PAP

Anggaran Waktu Membaca:
 AI, sokongan pekerja penting demi kekalkan SG sebagai hab pengangkutan global:  AP PAP

Kontena di terminal pelabuhan Pasir Panjang, 1 Jun 2026. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 09:13PM Dikemas Kini : 14 Jul 2026 05:51PM
SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Selasa (7 Jul) menggesa penggunaan teknologi terkini yang lebih meluas demi mengekalkan keunggulan Singapura sebagai hab pengangkutan global.

Pada masa yang sama, mereka turut menekankan perlunya untuk terus melabur dalam prasarana bertaraf dunia serta mempersiapkan para pekerja bagi menghadapi sektor pengangkutan masa hadapan.

Seramai 16 AP PAP dan dua AP Dilantik (NMP) berucap dalam sesi perbahasan yang berlangsung selama tujuh jam itu, sebelum akhirnya meluluskan usul untuk memperkukuh strategi jangka panjang Singapura sebagai hab pengangkutan global.

Usul tersebut dikemukakan oleh Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pengangkutan, yang diketuai oleh pengerusinya, AP Tin Pei Ling (PAP-GRC Marine Parade-Braddell Heights).

Beliau sebelum ini mengatakan bahawa agenda utama usul ini adalah untuk meletakkan ketersambungan sebagai pemacu penting bagi daya saing ekonomi jangka panjang Singapura, terutamanya di tengah-tengah landskap geopolitik dunia yang semakin berpecah-belah.

Semasa usul itu dibahaskan, Kementerian Pengangkutan turut mengumumkan pelaburan sebanyak S$800 juta untuk penyelidikan dan inovasi pengangkutan bagi tempoh lima tahun akan datang, di samping inisiatif kerjaya untuk pemandu teksi dan kereta sewa privet.

"Singapura terpaksa memikirkan semula bagaimana untuk terus kekal terhubung di peringkat global sedang kita berdepan dengan persekitaran geopolitik yang sentiasa dinamik serta kemunculan teknologi baharu yang mengubah landskap sedia ada," kata Cik Tin dalam ucapan pembukaannya.

"Usul ini bersifat memandang ke hadapan dan strategik kerana pengangkutan adalah mengenai ketersambungan merentasi tiga domain - darat, laut, dan udara - dan ketersambungan inilah yang membolehkan kemakmuran ekonomi yang akhirnya bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat."

Selain mengguna pakai teknologi terkini, para AP juga menekankan pentingnya instrumen teknologi ini dalam menghasilkan pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat Singapura. Mereka turut menyeru usaha yang lebih hebat untuk melengkapkan para pekerja dengan kemahiran baharu selaras dengan evolusi sektor pengangkutan.

KEKALKAN DAYA SAING

Cik Tin berkata Singapura harus memperdalamkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kembar digital dengan menghubungkan sistem pengangkutan darat, laut, dan udara menjadi "satu kembar pengangkutan Singapura" (one Singapore transport twin).

Beberapa AP menyatakan bahawa daya saing masa depan Singapura akan semakin bergantung kepada keupayaannya untuk menyepadukan AI, automasi, dan data di seluruh rangkaian pengangkutannya.

Mereka mencadangkan pembinaan sistem digital bersepadu yang menghubungkan sektor pengangkutan darat, laut, dan udara Singapura, sekali gus membolehkan pergerakan kargo dan penumpang diselaraskan dengan lebih cekap serta gangguan dapat diramal lebih awal.

AP Sharael Taha (PAP-Pasir Ris-Changi) berkata mengendalikan sektor penerbangan, maritim, dan pengangkutan darat sebagai satu "ekosistem serantau yang pintar" boleh menjadi satu kelebihan daya saing yang besar.

Beliau mencadangkan agar Singapura membina sebuah menara kawalan logistik AI kebangsaan, yang diibaratkannya sebagai 'otak digital' bagi ekosistem logistik.

"Daripada kita mengoptimumkan syarikat individu secara berasingan dalam rantaian nilai, sistem ini akan menggunakan AI agentik dan menyepadukan kembar digital maritim - kedua-dua altitud tinggi dan altitud rendah -serta darat untuk menyelaraskan pergerakan kargo secara lancar merentasi pelabuhan, lapangan terbang, koridor jalan raya, jalan raya, gudang, dan kastam sebagai satu rangkaian nasional yang pintar," katanya.

AP Ang Wei Neng (PAP-West Coast-Jurong West) pula menggesa pemerintah agar mempercepatkan penggunaan teknologi tanpa pemandu pada bas awam, pelabuhan, dan lapangan terbang.

Beliau berkata langkah ini dapat membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja struktur di samping memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab pengangkutan yang bersedia menghadapi masa depan.

Menjawab saranan para AP tersebut, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata pendekatan Singapura bukanlah untuk menerima pakai AI sekadar mengikut trend, sebaliknya dilakukan dengan tujuan dan perancangan yang jelas.

Beliau menambah bahawa pendekatan ini amat sesuai untuk sektor pengangkutan kerana syarikat-syarikat seperti Singapore Airlines dan PSA Singapore berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang menjadi "juara global" dalam bidang masing-masing.

INFRASTRUKTUR BERTARAF DUNIA TETAP KRITIKAL

Walaupun teknologi akan menjadi anak kunci kepada daya saing masa depan Singapura, para AP menegaskan bahawa prasarana fizikal akan terus menjadi tunjang utama yang menyokong kedudukan negara sebagai hab pengangkutan global.

Timbalan Pengerusi GPC Pengangkutan, Edward Chia (PAP-Holland-Bukit Timah), berkata teknologi sahaja tidak mencukupi untuk mengekalkan daya saing Singapura, dan negara juga mesti menangani isu kos serta kekangan operasi.

"Singapura tidak boleh bersaing dari segi harga semata-mata, tetapi jika kita ingin mengenakan harga premium, kita mestilah menjadi lebih pantas, lebih dipercayai, lebih diyakini, dan lebih bersepadu," kata Encik Chia.

Beberapa AP menarik perhatian kepada projek-projek besar seperti Pelabuhan Tuas dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi sebagai pelaburan jangka panjang yang kritikal.

Projek-projek ini akan membolehkan Singapura memenuhi permintaan perdagangan dan pelancongan yang semakin meningkat di samping menyokong penggunaan teknologi baharu.

AP Poh Li San (PAP-Sembawang West) berkata pembinaan Terminal 5, yang akhirnya akan meningkatkan kapasiti Lapangan Terbang Changi sehingga 140 juta penumpang setahun, menyumbang kepada imej Singapura sebagai sebuah hab penerbangan yang mantap.

Beliau turut mencadangkan agar Singapura diletakkan dalam kedudukan sebagai "hab udara hijau antarabangsa".

"Apa yang diperlukan untuk merubah menjadi hab udara hijau antarabangsa adalah rakan tepat yang berkongsi cita-cita ini dan bersedia bekerjasama untuk merealisasikan visi ini," katanya.

Para AP juga menyentuh tentang pembinaan reputasi dan kepercayaan.

“Kepercayaan telah menjadi sebahagian daripada prasarana ekonomi Singapura. Itulah sebabnya pelaburan dalam Pelabuhan Tuas dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi adalah sangat penting. Ia bukan sekadar pelaburan untuk meningkatkan kapasiti,” kata AP Choo Pei Ling (PAP-Chua Chu Kang).

“Ia adalah pelaburan untuk memastikan Singapura kekal relevan bagi generasi akan datang.”

AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) pula berkata walaupun kapasiti akhir Pelabuhan Tuas membuktikan komitmen Singapura terhadap prasarana bertaraf dunia, aset fizikal sahaja tidak akan mencukupi memandangkan rantaian bekalan kini semakin dipengaruhi oleh faktor geopolitik selain faktor kos.

Apabila kesemua empat fasa siap sepenuhnya menjelang tahun 2040-an, Pelabuhan Tuas akan mempunyai kapasiti pengendalian sebanyak 65 juta TEU.

Beliau berkata Singapura mesti terus membina kepercayaan bahawa ia akan "kekal terbuka dan boleh dipercayai dalam apa jua keadaan dunia sekalipun".

Encik Yip mencadangkan penubuhan Kompak Logistik Krisis Nasional (National Crisis Logistics Compact), yang menghimpunkan agensi pemerintah dan rakan industri untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta bersiap sedia dengan lebih baik menghadapi gangguan masa hadapan.

PERKASA TENAGA KERJA PENGANGKUTAN

Para AP menegaskan bahawa transformasi teknologi tidak sepatutnya mengorbankan kebajikan para pekerja.

Ramai berpendapat bahawa automasi dan AI sepatutnya mewujudkan pekerjaan yang bernilai lebih tinggi dan bukannya menggantikan pekerjaan sedia ada.

Mereka menyeru usaha yang lebih kuat untuk melatih semula pekerja sedia ada dan mempersiapkan golongan muda untuk membina kerjaya dalam sektor penerbangan serta maritim.

AP Jackson Lam (PAP-Nee Soon) berkata apabila AI mula disepadukan dalam ekosistem pengangkutan, permintaan akan meningkat bagi peranan seperti penganalisis data, jurutera sistem, dan pakar keselamatan siber, dan rakyat Singapura mestilah "dilengkapkan untuk merebut peluang-peluang ini".

AP Wan Rizal (PAP-Jalan Besar) pula menggesa pemerintah agar memastikan teknologi dapat memberikan "gaji, kebajikan, dan prospek kerja yang lebih baik" untuk pekerja pengangkutan menerusi laluan kerjaya dan latihan yang lebih jelas, terutamanya bagi graduan muda.

Beliau memerhatikan ramai anak muda Singapura tertarik kepada kerja penghantaran dan ekonomi gig disebabkan faktor fleksibiliti dan pendapatan sampingan.

Namun, beliau menarik perhatian tentang perkembangan kerjaya yang terhad serta risiko penunggang tersangkut lama dalam pekerjaan sedemikian.

Beliau juga meminta agar skop kerja direka bentuk semula bagi pekerja biasa supaya teknologi dapat membantu memudahkan tugasan mereka dengan lebih baik.

Nada yang sama turut disuarakan oleh NMP Sanjeev Kumar Tiwari yang berkata transformasi harus berlaku bersama-sama dengan pekerja dan bukannya membelakangkan mereka.

Beliau menggesa majikan dan kesatuan sekerja untuk mereka bentuk semula pekerjaan jauh lebih awal sebelum gangguan teknologi berlaku, serta memastikan peluang pekerjaan diwujudkan untuk pekerja berpendapatan rendah dan golongan kurang upaya (OKU).

Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan Sun Xueling berkata walaupun teknologi membantu menyelesaikan masalah, manusia “akan sentiasa kekal sebagai nadi pengangkutan”, sambil menambah bahawa tenaga kerja akan sentiasa menjadi teras utama perkhidmatan pengangkutan.

Pihak berkuasa akan bekerjasama rapat dengan rakan perikatan tiga pihak bagi memastikan rakyat Singapura berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang sedang sektor ini terus berkembang, tambah beliau.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita