Skip to main content

Singapura

AI perlukan langkah perlindungan seperti industri penerbangan untuk bina kepercayaan: Josephine Teo

Kecerdasan buatan (AI) memerlukan langkah perlindungan seperti yang dilaksanakan dalam industri penerbangan bagi membina kepercayaan sedang penggunaan teknologi itu semakin meluas.

Anggaran Waktu Membaca:
AI perlukan langkah perlindungan seperti industri penerbangan untuk bina kepercayaan: Josephine Teo

Para pengunjung di sebuah reruai kecerdasan buatan (AI) semasa pameran keselamatan di Beijing, China pada 7 Jun 2023. (Gambar fail: Reuters/Florence Lo)

Diterbitkan : 17 Sep 2026 12:50PM
SINGAPURA: Kecerdasan buatan (AI) memerlukan langkah perlindungan seperti yang dilaksanakan dalam industri penerbangan bagi membina kepercayaan sedang penggunaan teknologi itu semakin meluas.

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo berkata industri penerbangan awam dapat berkembang dengan adanya beratus-ratus, malah beribu-ribu piawai dan peraturan bagi memastikan keselamatan serta membina kepercayaan orang ramai.

Dalam catatan LinkedIn pada Khamis (17 Sep), Cik Teo berkata syarikat dalam industri penerbangan awam dijangka melatih kakitangan dengan betul dan melaksanakan langkah perlindungan secara konsisten.

Menurutnya, pendekatan serupa diperlukan bagi AI pada masa akan datang kerana kepercayaan penting supaya teknologi itu dapat digunakan secara meluas.

Kenyataan Cik Teo dibuat sedang kebimbangan terhadap AI meningkat berikutan keupayaannya yang berkembang pesat serta beberapa insiden keselamatan.

Pemimpin syarikat AI seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI Sam Altman dan CEO Anthropic Dario Amodei sebelum ini menggesa pembangunan teknologi itu diperlahankan, di tengah-tengah kebimbangan bahawa manusia mungkin hilang kawalan terhadap AI sekiranya pembangunannya mengatasi keupayaan untuk memahami dan mengawal teknologi tersebut.

SG SEDANG BANGUNKAN LANGKAH PERLINDUNGAN SEIRING PENGGUNAAN AI

Cik Teo berkata langkah perlindungan bagi AI canggih masih dibangunkan, manakala penyelidikan dan ujian yang diperlukan akan mengambil masa.

Justeru, Singapura sedang membangunkan langkah perlindungan seiring dengan penggunaan AI.

Ini termasuk membangunkan kaedah untuk menguji dan memastikan sistem AI selamat, memperkukuh keupayaan teknikal bagi menilai model AI canggih serta menyediakan panduan praktikal kepada pertubuhan mengenai penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Usaha tersebut disokong inisiatif seperti AI Verify, Institut Keselamatan AI Singapura dan rangka kerja model tadbir urus AI.

Singapura turut menyediakan panduan bagi membantu syarikat menggunakan ejen AI dengan lebih selamat dan boleh dipercayai.

KERJASAMA ANTARABANGSA DIPERLUKAN

Cik Teo turut menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa kerana sesebuah negara tidak dapat menangani isu keselamatan AI secara bersendirian.

Pada Mei lalu, Singapura menjadi tuan rumah edisi kedua Pertukaran Saintifik Antarabangsa mengenai Keselamatan AI.

Lebih 100 peserta dari 13 negara mengambil bahagian untuk membincangkan cara menangani risiko teknologi tersebut.

Pertemuan itu menghasilkan laporan Konsensus Singapura mengenai Keutamaan Penyelidikan Keselamatan AI Global, yang mengenal pasti keutamaan bersama bagi penyelidikan keselamatan AI di peringkat antarabangsa.

Menurut Cik Teo, langkah perlindungan perlu berkembang seiring dengan peningkatan keupayaan AI.

Singapura akan terus menguji, mempelajari dan memperkukuh pendekatannya sambil bekerjasama dengan industri, penyelidik dan rakan antarabangsa bagi memastikan AI dapat digunakan dengan yakin dan memberi manfaat kepada semua.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita