AI percepat serangan siber; kerjasama serantau semakin penting: Menteri Australia
Kecerdasan buatan (AI) membolehkan penjenayah siber melancarkan serangan dengan lebih pantas dan pada skala lebih besar, sekali gus menjadikan kerjasama serantau semakin penting untuk membanteras jenayah siber dan melindungi prasarana penting.
Kecerdasan buatan (AI) membolehkan penjenayah siber melancarkan serangan dengan lebih pantas dan pada skala lebih besar, menurut Penolong Menteri Ehwal Luar dan Perdagangan Australia, Matt Thistlethwaite. (Gambar hiasan: iStock)
- Matt Thistlethwaite said at SICW that AI enables cyber criminals to launch attacks within seconds or minutes, increasing the risk to energy, hospitals and transport.
- Australia set up an AI Office last July and is using critical infrastructure laws to mandate incident reporting, risk management and asset information.
- Australia and Singapore renewed their cyber security cooperation earlier this year, with Australia allocating A$83.5 million for the Indo-Pacific from 2024 to 2028.
- Australia is also tackling scam centres through Operation Firestorm, sharing intelligence with Thailand, and is aiming to ratify the UN Cyber Crime Convention in the first half of 2027.
- Matt Thistlethwaite berkata di SICW bahawa AI membolehkan penjenayah siber melancarkan serangan dalam saat atau minit, lalu meningkatkan risiko terhadap tenaga, hospital dan pengangkutan.
- Australia menubuhkan Pejabat AI pada Julai lalu dan menggunakan undang-undang prasarana penting untuk mewajibkan laporan insiden, pengurusan risiko serta maklumat aset.
- Australia dan Singapura memperbaharui kerjasama keselamatan siber awal tahun ini, sambil Australia menyediakan A$83.5 juta bagi 2024 hingga 2028 untuk Indo-Pasifik.
- Australia turut menangani pusat penipuan melalui Operasi Firestorm, berkongsi risikan dengan Thailand, dan menyasarkan ratifikasi Konvensyen PBB Jenayah Siber pada separuh pertama 2027.
Demikian menurut Penolong Menteri Ehwal Luar dan Perdagangan Australia, Matt Thistlethwaite, yang menghadiri Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW).
Dalam wawancara bersama Mediacorp pada Rabu (14 Okt), beliau menyuarakan keyakinan bahawa pemerintah mampu mengikuti perkembangan ancaman siber yang semakin meningkat.
"Kami tahu cabaran dan ancaman yang dihadapi. Kecerdasan buatan telah mempercepatkan ancaman itu dan memperluas skalanya," katanya.
Menurut beliau, serangan siber yang sebelum ini memerlukan beberapa minggu untuk menghasilkan kod pengaturcaraan (coding) kini boleh dilancarkan dalam beberapa saat atau minit dengan menggunakan AI.
Cabaran bagi pemerintah adalah untuk memanfaatkan teknologi yang sama untuk menangkis ancaman tersebut.
LINDUNGI PRASARANA PENTING DARIPADA ANCAMAN SIBER
Encik Thistlethwaite menjelaskan bahawa AI memudahkan penjenayah siber menceroboh rangkaian komputer, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan prasarana penting seperti bekalan tenaga, hospital dan sistem pengangkutan.
Menurut beliau, ancaman siber empat atau lima tahun lalu kebanyakannya dilakukan oleh manusia, namun kini sistem berasaskan AI mempercepatkan keupayaan penjenayah untuk menceroboh sistem dan mengancam rangkaian komputer.
Bagi menangani risiko yang semakin berkembang, pemerintah Australia menubuhkan Pejabat AI pada Julai lalu untuk menyelia pelaksanaan piawaian nasional AI yang dicadangkan, termasuk keperluan bagi pusat data berskala besar.
Australia juga mempunyai undang-undang sedia ada yang mewajibkan pengendali prasarana penting tertentu mengambil langkah keselamatan siber tambahan.
Antaranya termasuk melaporkan insiden siber, mengurus risiko keselamatan dan menyediakan maklumat mengenai aset prasarana penting.
AUSTRALIA, SINGAPURA PERKUKUH KERJASAMA KESELAMATAN SIBER
Encik Thistlethwaite turut menekankan hubungan kerjasama erat antara Australia dengan Singapura dalam bidang keselamatan siber.
Kedua-dua negara memperbaharui perjanjian kerjasama keselamatan siber pada awal tahun ini, dengan rancangan memperkukuh perkongsian maklumat, latihan bersama dan pembangunan keupayaan serantau.
Australia juga mahu menyokong Singapura dalam persiapannya untuk mempengerusikan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2027.
Jenayah siber dan AI dijangka menjadi antara perkara utama dalam agenda Singapura sepanjang tempoh kepengerusiannya.
Australia turut memperuntukkan A$83.5 juta (S$74.47 juta) bagi tempoh empat tahun dari 2024 hingga 2028 untuk meningkatkan keupayaan keselamatan siber di rantau Indo-Pasifik.
Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada Program Siber Asia Tenggara dan Pasifik, yang menyokong usaha serantau untuk mempersiapkan diri dan memberi respons terhadap insiden siber, meningkatkan latihan keselamatan siber serta membangunkan dasar dan peraturan.
Encik Thistlethwaite menekankan bahawa kejayaan pelaburan tersebut akan dinilai berdasarkan peningkatan keupayaan keselamatan siber di seluruh rantau ini.
Australia khususnya memberi tumpuan kepada usaha membantu negara-negara Pasifik melengkapkan kakitangan sektor awam dengan latihan, kepakaran dan teknologi yang diperlukan untuk menangani ancaman siber.
BANTERAS PUSAT PENIPUAN DI ASIA TENGGARA
Encik Thistlethwaite turut menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan pusat penipuan di Asia Tenggara, yang memaksa mangsa pemerdagangan manusia menjalankan kegiatan penipuan online.
Beliau merujuk kepada Operasi Firestorm, iaitu inisiatif Polis Persekutuan Australia yang dilancarkan pada Ogos 2024 untuk membanteras rangkaian penipuan rentas sempadan.
Menurut beliau, pihak berkuasa Australia dan Thailand berkongsi maklumat risikan sehingga berjaya membongkar operasi sebuah pusat penipuan di Thailand.
Beratus-ratus individu didapati menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dieksploitasi di sebuah kawasan terpencil.
PROSES RATIFIKASI KONVENSYEN PBB
Australia juga sedang berusaha untuk melengkapkan proses ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Jenayah Siber pada separuh pertama 2027.
Australia menandatangani konvensyen tersebut di Hanoi, Vietnam, pada Oktober 2025.
Perjanjian itu bertujuan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membanteras jenayah siber serta memudahkan perkongsian bukti elektronik bagi kesalahan jenayah serius.
Encik Thistlethwaite turut menekankan bahawa Australia memperjuangkan peruntukan dalam konvensyen itu untuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi menerusi teknologi.
"Kami sedang melalui proses ratifikasi mengikut prosedur domestik dan menjangkakan dapat meratifikasi konvensyen itu secara rasmi pada separuh pertama tahun depan," katanya.
Selain kerjasama antara pemerintah, Encik Thistlethwaite turut menekankan pentingnya kerjasama dengan pembangun AI dan syarikat teknologi untuk menangani ancaman siber.
"Kami sedang membincangkan cara melatih teknologi untuk menangkis ancaman teknologi, serta memastikan sistem, operasi dan maklumat peribadi orang ramai kekal selamat," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.