Skip to main content

Singapura

AI, ibu bapa bekerja, pasaran pertumbuhan baharu antara keutamaan Menteri Negara Foo Cexiang

Memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) menyokong pembangunan pekerja, membantu ibu bapa yang bekerja dan meneroka pasaran pertumbuhan baharu merupakan antara keutamaan Menteri Negara Foo Cexiang dalam portfolio baharunya.

Anggaran Waktu Membaca:
AI, ibu bapa bekerja, pasaran pertumbuhan baharu antara keutamaan Menteri Negara Foo Cexiang

Menteri Negara di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Foo Cexiang semasa wawancara bersama CNA. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 01 Sep 2026 03:15PM
  • Foo Cexiang memulakan tugas sebagai Menteri Negara di MOM dan MTI pada 1 September, memberi tumpuan kepada pembangunan pekerja dan ekonomi.
  • Beliau menekankan kepentingan integrasi AI dalam syarikat sambil memastikan pekerja terus berpeluang membangun kemahiran dan kerjaya.
  • Foo juga mahu tempat kerja lebih menyokong ibu bapa bekerja dengan meneroka pelbagai bentuk fleksibiliti dan aturan sesuai.
  • Di MTI, beliau berhasrat meneroka pasaran baharu seperti Afrika dan Amerika Latin, serta mengutamakan kerjasama pelbagai pihak untuk manfaat rakyat Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) menyokong pembangunan pekerja, membantu ibu bapa yang bekerja dan meneroka pasaran pertumbuhan baharu merupakan antara keutamaan Menteri Negara Foo Cexiang dalam portfolio baharunya.

Encik Foo, yang juga Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar, memulakan tugas di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Selasa (1 Sep).

Beliau berkata antara tumpuan utamanya adalah untuk merapatkan hubungan antara syarikat, pekerja dan pemerintah bagi menghasilkan manfaat nyata untuk rakyat Singapura.

Dalam wawancara bersama Mediacorp pada 14 Ogos 2026 sebelum memulakan tugas baharunya, Encik Foo berkata beliau melihat peranannya sebagai menghubungkan kumpulan dan pandangan berbeza serta mencari titik persamaan yang boleh diterjemahkan kepada hasil praktikal.

Pendekatan itu, katanya, kekal konsisten sepanjang tempoh beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan bersama penduduk di kawasan undinya.

PASTIKAN AI BERI MANFAAT KEPADA PEKERJA

Antara isu yang menjadi keutamaan Encik Foo di MOM adalah bagaimana syarikat boleh mengintegrasikan AI sambil memastikan pekerja terus mempunyai peluang untuk belajar, membangunkan kemahiran dan maju dalam kerjaya.

Beliau berkata mahu bekerjasama rapat dengan sektor sumber manusia (HR) dalam isu tersebut.

"Bersama HR, kita akan dapat mempengaruhi, dalam erti tertentu, bagaimana AI diintegrasikan bukan sahaja dalam sesebuah syarikat tetapi juga dalam laluan pembangunan kerjaya seseorang pekerja," katanya.

Menurut Encik Foo, ini termasuk meneliti tugas yang boleh diserahkan kepada AI dan bidang yang perlu terus memberi ruang kepada pekerja untuk meraih pengalaman dan mengembangkan keupayaan mereka.

"Kita harus mengintegrasikan AI kerana potensinya besar," katanya.

"Namun, bagaimana dan di mana ia digunakan memerlukan perbincangan mendalam antara syarikat, pemimpin perniagaan, pemimpin HR, kesatuan sekerja dan pekerja.

"Itulah perbincangan penting dalam fasa seterusnya."

SOKONG IBU BAPA YANG BEKERJA

Encik Foo juga mahu meneroka bagaimana tempat kerja boleh memberikan sokongan lebih baik kepada ibu bapa sambil mengambil kira keperluan operasi majikan.

Sebagai bapa kepada tiga anak, beliau berkata memahami cabaran mengimbangi kerjaya dengan tanggungjawab keluarga serta bagaimana perkara itu boleh mempengaruhi pasangan muda ketika mempertimbangkan sama ada mahu mempunyai anak.

Menurut beliau, terdapat ruang untuk meneroka pelbagai bentuk fleksibiliti di tempat kerja dan mencari aturan yang sesuai untuk pekerja serta perniagaan.

"Ramai ibu bapa yang mengendalikan syarikat atau memegang jawatan pengurusan memahami sendiri cabaran ini kerana mereka perlu menguruskannya setiap hari," katanya.

Justeru, beliau berkata lebih banyak maklum balas dan pandangan perlu dikumpulkan serta pelbagai senario dan bentuk fleksibiliti diteroka.

TEROKA PASARAN PERTUMBUHAN BAHARU

Di MTI pula, Encik Foo mahu melihat peluang bagi Singapura sedang corak perdagangan global berubah dan negara-negara mempelbagaikan hubungan ekonomi masing-masing.

Beliau melihat peluang bagi Singapura untuk kekal di tengah-tengah aliran perdagangan global, sambil mempersiapkan syarikat dan rakyat negara ini untuk meneroka pasaran yang mungkin menjadi semakin penting dalam beberapa dekad akan datang.

Ini termasuk pasaran yang sudah mantap seperti Eropah serta pasaran sedang pesat membangun di Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.

"Banyak negara ini mempunyai penduduk yang sangat muda dan semakin bertambah. Saya rasa di situlah mungkin terdapat peluang dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang," kata Encik Foo.

Selain bidang dasar tertentu, Encik Foo berkata beliau mahu menyatukan pelbagai pandangan dan menterjemahkannya kepada hasil yang praktikal.

Menurutnya, pemerintah boleh melangkaui usaha mendapatkan pandangan perniagaan dan pekerja dengan menjalin kerjasama lebih mendalam bersama mereka.

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk menghasilkan manfaat yang jelas, termasuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan baik untuk rakyat Singapura.

"Saya rasa manfaat nyata seperti itu yang mahu dilihat ramai orang," katanya.

Ditanya bagaimana beliau berharap rakyat Singapura melihatnya dalam peranan baharunya, Encik Foo berkata beliau mahu dikenali sebagai Menteri Negara yang melibatkan masyarakat secara mendalam, menghubungkan orang ramai dan idea serta menghasilkan keputusan yang baik untuk Singapura.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita