AI gantikan tugas tertentu, bukan keseluruhan pekerjaan dalam kebanyakan kes: Ong Ye Kung
Kecerdasan buatan (AI) menggantikan tugas tertentu tetapi dalam kebanyakan kes, belum menggantikan keseluruhan pekerjaan, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (7 Sep).
Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Ong Ye Kung berucap di Forum Menteri Kent Ridge di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 7 September 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
- Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menegaskan bahawa AI setakat ini hanya menggantikan tugas tertentu, bukan keseluruhan pekerjaan, dan belum menyebabkan kehilangan kerja besar-besaran di Singapura.
- Beliau berkongsi data penurunan kadar pekerjaan siswazah serta menyorot perubahan industri seperti automotif dan penjagaan kesihatan yang terkesan oleh AI dan faktor demografi.
- Ong menggesa majikan menilai calon secara menyeluruh, bukan hanya berdasarkan kelayakan akademik, dan mengiktiraf pengalaman serta nilai peribadi lain.
- Beliau menasihatkan siswazah agar menerima peluang kerja pertama sebagai permulaan, membina kemahiran mendalam, dan memanfaatkan peluang dalam ekonomi yang terus berkembang.
Encik Ong berkata AI juga tidak menyebabkan kehilangan pekerjaan secara besar-besaran setakat ini.
Sebaliknya, teknologi itu digunakan sebagai alat dan boleh membawa kepada reka bentuk semula pekerjaan.
"Apabila AI menggantikan penghasilan pengetahuan, malah hubungan sesama manusia, kesannya akan menjadi lebih mendalam," kata Encik Ong.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Menteri Kent Ridge tahunan yang diadakan di Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Forum itu dihadiri sekitar 250 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi serta anggota akademik.
Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata persaingan dalam pasaran pekerjaan bagi siswazah kini semakin sengit.
Beliau merujuk kepada data Tinjauan Pekerjaan Siswazah (GES), yang menunjukkan peratusan siswazah yang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian merosot daripada 92.9 peratus pada 2023 kepada 88.9 peratus pada 2025.
Menurut beliau, majikan juga berdepan perubahan besar dalam pelbagai industri.
Antaranya, sektor automotif yang beralih kepada kenderaan elektrik dan sektor jagaan kesihatan yang perlu menyesuaikan diri dengan penduduk yang semakin menua.
AI pula mengambil alih tugas rutin tertentu dalam sesetengah pertubuhan dan industri.
Namun, tugas-tugas tersebut sebelum ini sering dilakukan oleh pekerja baharu.
Justeru, penggunaan AI mungkin meningkatkan jangkaan asas terhadap apa yang perlu dilakukan oleh pekerja baharu, kata Encik Ong.
'SEBAHAGIAN BESAR PEKERJAAN KEKAL RELEVAN'
Encik Ong memberi jaminan bahawa Singapura kekal berdaya saing dan terus mewujudkan pekerjaan.
Menurut beliau, para siswazah tidak memasuki ekonomi yang merosot atau tidak berkembang, sebaliknya ekonomi yang terus berkembang, menarik pelaburan dan kekal dinamik.
Walaupun pekerjaan tertentu seperti pengatur cara, penyunting dan penterjemah mungkin digantikan AI, sebahagian besar pekerjaan masih kekal relevan, katanya.
Beliau memberi contoh sektor jagaan kesihatan, di mana para pekerja berharap AI dapat mengurangkan tugas rutin dan membosankan.
Ini termasuk mencatat maklumat secara automatik semasa konsultasi dengan pesakit, menyusun jadual kerja dan membantu menilai imbasan diagnostik.
Encik Ong turut berkongsi contoh seorang pereka dalaman yang menggunakan AI untuk menambah baik gambaran reka bentuk bagi pelanggan.
Namun, individu itu masih perlu menyelaras kontraktor, memohon permit, berhubung dengan pelanggan dan menambah baik idea.
"Maklum balas daripada banyak perbualan ini agak konsisten dalam kalangan mereka daripada pelbagai pekerjaan. Dalam kebanyakan kes, AI menggantikan tugas tertentu, tetapi bukan keseluruhan pekerjaan - sekurang-kurangnya belum lagi," katanya.
MAJIKAN DIGESA NILAI CALON SECARA MENYELURUH
Encik Ong turut menggesa para majikan supaya membantu mengelakkan proses pengambilan pekerja daripada menjadi satu persaingan yang semakin sengit dalam kalangan pemohon.
Beliau berkata setiap isyarat tambahan daripada majikan – seperti mahukan lebih banyak pengalaman latihan industri, kelayakan atau gred lebih baik – boleh menyebabkan pelajar merasakan mereka perlu mengejar semuanya untuk membina resume yang sempurna.
Beliau menegaskan pemerintah tidak meminta majikan menurunkan piawaian pengambilan pekerja.
Sebaliknya, majikan digalakkan menilai calon secara lebih menyeluruh dan melihat melangkaui Purata Nilai Gred (GPA) serta pengalaman latihan industri.
Pengalaman seperti menyertai sukan kompetitif, berkecimpung dalam bidang seni, menjadi sukarelawan atau memikul tanggungjawab menjaga anggota keluarga mungkin tidak mudah dimuatkan dalam resume konvensional.
Namun, pengalaman tersebut boleh mencerminkan daya tahan, inisiatif, disiplin, empati, perwatakan dan etika kerja seseorang, kata Encik Ong.
SISWAZAH DIGESA PERTIMBANG TAWARAN KERJA
Encik Ong turut menasihatkan para siswazah supaya mempertimbangkan dengan serius tawaran pekerjaan yang diterima.
Beliau mengakui pekerjaan pertama mungkin bukan pekerjaan yang sempurna.
Namun, pada peringkat awal kerjaya, peluang untuk belajar dan membina asas kerjaya adalah penting.
Menurutnya, pekerjaan pertama merupakan titik permulaan dan tidak semestinya menentukan keseluruhan kerjaya seseorang.
Beliau turut menekankan pentingnya seseorang mendalami kemahiran dan kepakaran dalam bidang yang diminati.
Menurut Encik Ong, ijazah mungkin membuka peluang pekerjaan, tetapi kemahiran dan kepakaran mendalam dalam sesuatu bidang akan menjadi kelebihan daya saing seseorang sebagai seorang karyawan.
Ini menjadi lebih penting dalam dunia di mana AI mengambil alih tugas rutin dan kandungan janaan AI semakin berleluasa.
Encik Ong mengakui perkembangan pesat AI menjadi antara punca utama ketidaktentuan yang dihadapi golongan muda.
Namun, beliau menggesa mereka supaya memberi tumpuan kepada peluang yang ada, terus membina kepakaran dan memanfaatkan peluang sebaik mungkin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.