Skip to main content

Singapura

AI bentuk semula operasi tentera, ancaman digital & perang maklumat semakin meningkat: Setiausaha Tetap MINDEF

Anggaran Waktu Membaca:
AI bentuk semula operasi tentera, ancaman digital & perang maklumat semakin meningkat: Setiausaha Tetap MINDEF

Setiausaha Tetap (Pertahanan), Joseph Leong, menyampaikan ucapan pembukaan di majlis jamuan malam rasmi Simposium Pertahanan Digital ke-4 di Singapura pada Isnin (20 Jul). (Gambar: Kementerian Pertahanan)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 09:26PM
SINGAPURA: Teknologi sedang beralih daripada "hanya alat" kepada "pelaku tersendiri", yang membawa kepada senjata digital yang lebih berkuasa di tengah-tengah ketidakpastian dan persaingan yang semakin meningkat, kata Setiausaha Tetap Pertahanan Joseph Leong pada Isnin (20 Jul).

Berucap di majlis jamuan malam rasmi Simposium Pertahanan Digital ke-4 di Singapura, Encik Leong berkata domain digital sudah berubah daripada fungsi sokongan kepada domain strategik di mana "kelebihan dibina, kepercayaan dipertikaikan, dan tindakan tegas boleh diambil sebelum tembakan dilepaskan".

Beliau menambah bahawa kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), terutamanya AI agentik, membolehkan sistem menilai, membuat keputusan dan melaksanakan tindakan pada kelajuan dan skala mesin.

Berlatarbelakangkan persekitaran itu, Singapura, sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pada 2027, akan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan pertahanan dalam perkumpulan itu untuk mencapai kata sepakat secara kolektif untuk melaksanakan 11 norma siber Kumpulan Pakar Pemerintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN GGE) - yang memantau tingkah laku negara yang bertanggungjawab di ruang siber.

Singapura juga akan menganjurkan Latihan Siber Serantau ASEAN yang buat julung-julung kalinya diadakan di luar Simposium Pertahanan Digital ke-5 untuk memajukan kerjasama siber serantau yang praktikal.

"Taruhannya tinggi. Medan yang dipertikaikan dalam alam digital ini termasuk infrastruktur digital kritikal kita, dan hati serta minda yang menyatukan negara dan masyarakat kita," kata Encik Leong.

"Ejen-ejen AI sudah memburu perisian hasad, memantau titik akhir rangkaian, dan menganalisis berjuta-juta entri log secara autonomi," tambahnya, sambil memetik Mythos Anthropic dan GPT-5 OpenAI sebagai contoh model yang memacu perubahan ini.

"Apa yang dahulunya mengambil masa selama berbulan-bulan dan sebanyak beberapa pasukan kini boleh dilakukan dalam tempoh beberapa minit sahaja oleh seorang individu yang mempunyai akses kepada model ini," kata Encik Leong.

"Mesin tidak boleh memikul tanggungjawab - orang ramai dan institusi mesti melakukannya. Dalam domain ketenteraan, jika kita hilang kawalan, kita berisiko huru-hara."

ANCAMAN DIGITAL

Selain itu, dengan persekitaran geopolitik yang dipertikaikan dan serba tidak menentu, pertempuran sedang berlaku "di bawah ambang konflik bersenjata" - merentasi sistem digital, infrastruktur kritikal dan ekosistem maklumat, kata Encik Leong.

Kepalsuan juga dijadikan sebagai senjata untuk menghakis kepercayaan terhadap institusi dan memecahbelahkan masyarakat, sedang garis antara keamanan dan konflik, tentera dan awam, serta pelaku negara dan bukan negara semakin kabur, katanya lagi.

"Peperangan maklumat telah menjadi barisan hadapan yang beroperasi secara kekal. Ia berlaku secara perlahan-lahan dan kesan kumulatifnya terhadap penduduk boleh menjadi lebih ketara daripada kuasa konvensional," Encik Leong memberi amaran.

"Kita sedang menuju ke arah senjata digital yang semakin berkuasa, dalam masa yang semakin tidak menentu dan berlaku persaingan sengit."

Menekankan keperluan untuk peraturan dan institusi antarabangsa, Encik Leong turut menekankan bahawa keupayaan siber dan maklumat mewujudkan "dilema strategik".

"Setiap pihak mempunyai insentif untuk membangunkan dan menggunakannya untuk kelebihan terbesar, tetapi persaingan yang tidak terkawal berisiko meningkatkan dan membahayakan kita," katanya, sambil menambah bahawa risiko tersebut perlu dikurangkan melalui dialog, membina keyakinan dan norma bersama.

Inilah sebabnya Singapura menganjurkan Simposium Pertahanan Digital, katanya. "Walaupun persaingan kini satu realiti, kita perlu berkomunikasi dan terlibat secukupnya."

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa acara itu tidak boleh sekadar "tempat perbincangan". Sebaliknya, ia perlu menjadi platform di mana tentera, pegawai pertahanan, ahli akademik dan industri bersatu untuk "berkongsi cabaran, menjana idea penyelesaian dan membina kepercayaan".

PERATURAN DIKONGSI EBRSAMA

Perlu juga ada konsensus mengenai peraturan dan norma yang dikongsi bersama, serta cara-cara untuk mempraktikkannya, katanya lagi.

Untuk tujuan ini, Singapura juga akan memperkukuhkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber dan Maklumat ADMM (ACICE) sebagai nadi siber dan maklumat yang terbuka dan inklusif untuk ASEAN.

"Kami mahu ACICE menjadi jambatan untuk menjalin kerjasama praktikal yang terbuka, inklusif dan memberi impak," kata Encik Leong.

"Masa depan digital tidak akan menunggu kita untuk bersiap sedia. Kita perlu menyesuaikan diri dengan pantas, menegakkan akauntabiliti manusia, dan memastikan peningkatan terkawal."

Simposium tahun ini, yang diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City, dianjurkan bersama oleh ACICE dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS).

Lebih 300 pegawai kanan pertahanan, ahli akademik, pakar industri dan rakan kongsi dari 35 negara dari ASEAN dan rantau lain menghadiri acara tersebut.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita