Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AHTC serah penyata kewangan tidak lengkap bagi tujuh tahun berturut-turut

Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) merupakan satu-satunya majlis bandaran yang menyerahkan penyata kewangan tidak lengkap bagi 2017 iaitu tahun ketujuh berturut-turut majlis bandaran itu berbuat demikian, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) hari ini (14 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Dec 2018 03:35PM Dikemas Kini : 14 Dec 2018 11:15PM

SINGAPURA: Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) merupakan satu-satunya majlis bandaran yang menyerahkan penyata kewangan tidak lengkap bagi 2017 iaitu tahun ketujuh berturut-turut majlis bandaran itu berbuat demikian, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) hari ini (14 Dis).

Penyata wang disifatkan sebagai tidak lengkap apabila juruaudit mungkin menerima maklumat kurang lengkap, atau entiti yang diaudit menggunakan kaedah-kaedah perakaunan yang tidak selaras dengan prisip-prinsip perakaunan yang umumnya boleh diterima.

Penyata kewangan AHTC disifatkan sebagai tidak lengkap oleh juruaudit luar "disebabkan kelemahan kawalan dalaman di mana majlis bandaran berkenaan gagal menyimpan rekod pembelanjaan secara teratur," menurut MND.

Kementerian itu turut mengeluarkan laporan pengurusan majlis bandaran bagi 2017, yang mana empat majlis bandaran - termasuk AHTC - mendapat skor "jingga" bagi tadbir urus korporat.

16 majlis bandaran dinilai setiap tahun menggunakan lima petunjuk menggunakan tiga warna - hijau, jingga dan merah.

Jika skor "hijau" diberikan, ini bermakna majlis bandaran berkenaan memenuhi semua kriteria dalam senarai semakan. Bagaimanapun, jika "jingga" diberikan, ini bermakna terdapat satu kelemahan yang dikesan juruaudit atau sesuatu yang tidak mematuhi kaedah yang diterima. Warna "merah" pula diberikan sekiranya ada atau dua atau lebih bahagian yang dikesan juruaudit dalam salah satu kategori.

AHTC diberi skor "jingga" dalam tadbir urus korporat kerana gagal mengemas kini akaun-akaun serta rekod pembelanjaannya.

Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh diberi skor "jingga" kerana ia menerima sebut harga (quotation) yang tidak diedarkan kepada majlis bandaran seperti yang diperlukan.

Majlis Bandaran Tampines juga mendapat skor "jingga" kerana memindahkan jumlah yang salah dari dana operasinya kepada dana terikat (sinking fund) dan dana penggantian lif. Majlis bandaran itu menyedari kesilapan tersebut dan membuat pembetulan, namun jumlah yang betul tidak dipindahkan dalam tempoh sebulan selepas akhir suku tersebut, menurut MND.

Skor "jingga" diberikan kepada Majlis Bandaran Tanjong Pagar kerana ia mendapatkan kelulusan untuk memindahkan peruntukan belanjawan dari akaun lain kepada perbelanjaan bagi pembersihan dan api air hanya selepas membelanjakan kos tersebut.

5 MAJLIS BANDARAN DIBERIKAN SKOR "JINGGA" DALAM PENYENGGARAAN ESTET

Lima majlis bandaran - Aljunied-Hougang, East Coast-Fengshan, Jalan Besar, Jurong-Clementi dan Tampines - diberi pemarkahan "jingga" dalam penyenggaraan estet.

Ini bermakna bahawa terdapat antara empat hingga tujuh insiden "kelemahan penyenggaraan" secara purata bagi setiap blok, menurut MND.

Kesemua 16 majlis bandaran mendapat skor "hijau" dalam kategori lain seperti kebersihan estet, prestasi lif, pengurusan bayaran bagi perkhidmatan dan penyenggaraan.

MND menyatakan bahawa ia sudah menyemak satu set penanda arasnya yang sedia ada serta kaedah bagi laporan tahunan pengurusan majlis bandarannya.

"Bagi tahun kewangan 2018, bidang-bidang yang dinilai di bawah penanda aras kebersihan dan penyenggaraan estet dikemas kini bagi memperhalusi fokus terhadap isu-isu kesihatan, kebersihan dan keselamatan awam, serta sekitaran awam.

Petunjuk lain sedang disemak secara progresif dan butirannya akan diumumkan apabila siap kelak.

Penyata Kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan 2017 bagi semua majlis bandaran sudah dibentangkan kepada Parlimen, dan penyata-penyata itu boleh diakses melalui laman rasmi majlis bandaran masing-masing.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan