Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AHTC diminta serah maklumat peranan Cik Sylvia Lim dan Encik Pritam Singh dalam proses pembayaran dan pemerolehan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Negara (MND) meminta Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) supaya menyerahkan maklumat mengenai kuasa dan tugas para pemimpin Parti Pekerja (WP) Cik Sylvia Lim dan Encik Pritam Singh, berkait pelibatan mereka dalam proses pembayaran dan pemerolehan majlis bandaran tersebut.

Selepas menerima respons daripada majlis bandaran di bawah kendalian WP itu, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee akan mempertimbangkan sama ada tindakan kawal selia lanjut diperlukan untuk melindungi dana awam yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Kenyataan MND pada Selasa (22 Ogos) adalah perkembangan terkini dalam saga berpanjangan berhubung kecuaian pengendalian dana S$33.7 juta AHTC.

Pada Julai, Mahkamah Rayuan mendapati Pengerusi WP Lim dan mantan ketua parti Low Thia Khiang bertanggungjawab atas kecuaian dalam proses pembayaran majlis bandaran tersebut. Namun ia membebaskan Encik Singh, yang merupakan Ketua Pembangkang dan ketua parti itu sekarang, daripada isu tersebut.

Pada Selasa, MND menyatakan ia sudah membatalkan arahan pembetulan yang diberikan kepada AHTC pada Januari 2020, yang memerlukan majlis bandaran tersebut menyekat kuasa Cik Lim dan Encik Low dalam urusan kewangan.

Ini untuk "melindungi perkara-perkara yang tidak kena dalam urusan kewangan AHTC daripada berulang", setelah Mahkamah Tinggi mendapati pada ketika itu bahawa Cik Lim dan Encik Low sudah melanggar tugas fidusiari mereka kepada AHTC.

Cik Lim dan Encik Low mengemukakan rayuan terhadap sekatan tersebut meskipun AHTC mematuhi arahan itu.

Dapatan Mahkamah Rayuan - yang dikeluarkan dalam dua bahagian pada November 2022 dan Julai tahun ini - menunjukkan bahawa Cik Lim dan Encik Low tidak mempunyai tugas fidusiari kepada AHTC.

Sekalipun demikian, MND menarik perhatian bahawa Mahkamah Tinggi tidak mendapati Cik Lim, Encik Low, Encik Singh, serta ahli majlis AHTC ketika itu Encik Chua Zhi Hon dan Encik Kenneth Foo, dan mantan pengarah ejen pengurusan majlis bandaran Cik How Weng Fan dan mendiang suaminya Danny Loh, tidak bertindak secara jujur semasa menjalankan tugas dan mengendalikan proses pembayaran.

"Ini adalah dapatan serius," tegas MND pada Selasa, sambil menambah bahawa Mahkamah Rayuan "juga mendapati mereka sangat cuai".

Mereka membenarkan ejen pengurusan FMSS - iaitu penyedia khidmat yang dibayar untuk membantu mengendalikan operasi harian di bandar tersebut - membayar diri sendiri dan pihak lain "tanpa kawalan yang betul", dan pembayaran boleh dibuat, "meskipun kerja tidak dijalankan atau tidak dibuat dengan betul", menurut MND.

Cik Lim juga didapati bertanggungjawab menganugerahkan kontrak kepada Red-Power Electrical Engineering pada kadar empat hingga tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding yang ditawarkan oleh pembekal sedia ada ketika itu, iaitu Digo Corporation dan Terminal 9.

MND menarik perhatian bahawa Cik Lim dan Encik Singh kekal sebagai ahli majlis AHTC, dengan Cik Lim berada dalam jawatankuasa audit dan estet serta jawatankuasa perhubungan masyarakat.

Encik Singh mempengerusikan jawatankuasa perhubungan awam dan juga anggota jawatankuasa tender dan kontrak serta jawatankuasa perhubungan estet dan masyarakat.

"Oleh itu, mereka boleh terus terlibat dalam melaksanakan dan/atau memantau proses pembayaran AHTC serta membuat keputusan bagi pemerolehan," menurut MND.

Selain menulis kepada majlis bandaran untuk mendapatkan maklumat mengenai kuasa tertentu Cik Lim dan Encik Singh serta tugas mereka dari segi proses pembayaran dan pemerolehan AHTC, MND juga mahu mengetahui tentang tindakan-tindakan lain yang mahu diambil AHTC berkait kedua-dua pemimpin WP itu, menyusuli dapatan Mahkamah Rayuan.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan