Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ahmad Qamarulhazman, Ramdzan Salim antara penyelam temui khazanah kapal karam di Pedra Branca

Pada 2015, penyelam komersil, Encik Ahmad Qamarulhazman sedang meninjau-ninjau serpihan-serpihan berdekatan Pedra Branca apabila ternampak sesuatu yang kelihatan seperti timbunan piring.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Qamarulhazman, Ramdzan Salim antara penyelam temui khazanah kapal karam di Pedra Branca

Ramdzan Salim (kiri) dan Ahmad Qamarulhazman (kanan) antara penyelam yang menemui khazanah kapal karam di Pedra Branca. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 10 Jul 2021 01:31PM Dikemas Kini : 10 Jul 2021 01:54PM

SINGAPURA: Pada 2015, penyelam komersil, Encik Ahmad Qamarulhazman sedang meninjau-ninjau serpihan-serpihan berdekatan Pedra Branca apabila ternampak sesuatu yang kelihatan seperti timbunan piring.

Namun, ia diseliputi dengan banyak tumbuhan marin sehingga beliau menyangka piring-piring itu adalah radiator sebuah kapal.

Encik Ahmad kemudian memberitahu penyelianya, Encik Ramdzan Salim sebaik di permukaan air.

Tanpa disangka, insiden itu membawa kepada penemuan bangkai kapal karam bersejarah yang pertama di perairan Singapura dengan penemuan porselin biru-putih paling besar berbanding kapal karam lain yang pernah dirakam di dunia.

Awalnya, para penyelam berada di kawasan perairan itu menyusuli satu kemalangan di laut.

Pada 30 Disember 2014, sebuah kapal membawa dua kren terkandas di Pedra Branca dek cuaca buruk. Sebagai sebahagian daripada operasi menyelamat, kren-kren itu diletupkan dan para penyelam dikerahkan untuk membersihkan serpihan-serpihannya.

Kren-kren diletupkan kerana dikhuatiri akan terbalik lantas memusnahkan rumah api Horsburgh. (Gambar ihsan: Ramdzan Salim)

Encik Ahmad hampir selesai melakukan selaman terakhirnya bagi operasi itu apabila beliau menemui piring-piring Celadon yang hilang di laut sejak abad ke-14.

Pada ketika itu, penyelianya, Encik Ramdzan berasa ragu-ragu apabila diberitahu tentang barang-barang yang ditemui Encik Ahmad itu.

Laut di Pedra Branca bergelora.

Bagaimana piring seramik atau porselin itu boleh bertahan dengan keadaan laut yang sedemikian, ditambah pula dengan pembinaan rumah api pada 1851 dan letupan-letupan yang baru dilakukan itu?

"Ia tidak dapat dibayangkan, kan?" tanya Encik Ramdzan.

"Mungkin ia takdir - barang-barang ini mahu kami menemuinya." tambah beliau.

Encik Ramdzan mengambil masa agak lama untuk mencari individu yang benar-benar arif dari Lembaga Warisan Negara (NHB).

Beliau teringat bagaimana mereka menunggang motosikal ke satu mesyuarat di Institut ISEAS-Yusof Ishak dengan piring-piring itu disimpan dalam kotak di sebelah belakang.

Antara piring-piring Celadon yang berjaya diselamatkan. (Gambar ihsan: Ramdzan Salim)

GEMENTAR, TIDAK PASTI

Sembilan bulan kemudian, Encik Ramdzan, 49 tahun dan Encik Ahmad, 33 tahun kembali semula ke Pedra Branca. Kali ini, bersama sebuah pasukan kecil dari NHB dan ISEAS termasuk Dr Michael Flecker, seorang zamil pelawat di unit arkeologi Institut ISEAS-Yusof Ishak.

Para penyelam awalnya gementar kerana tidak pasti apa yang telah mereka temui.

"Kami mengerahkan sebuah pasukan... hanya untuk menemui dasar laut yang kekosongan," kong Encik Ramdzan.

Namun, Dr Flecker akhirnya kembali ke permukaan laut dengan sebuah cop mohor China, cerita beliau sekali gus mengesahkan ada kapal yang karam di situ. Ia kemudian diadapati berlaku sekitar 100 meter dari Pedra Branca.

Seorang penyelam bergambar dengan sebuah piring Celadon yang ditemui di tapak kapal karam berdekatan Pedra Branca. (Gambar: Institut ISEAS-Yusof Ishak)

"INDIANA JONES"

Mengimbangi kerja dan komitmen lain, Encik Ramdzan menyertai lagi enam lawatan ke Pedra Branca bersama pasukan tersebut sepanjang lima tahun selepas itu manakala Encik Ahmad pula tidak dapat turut serta disebabkan oleh tugasnya.

Bagaimana artifak porselin dan seramik itu boleh bertahan selama 700 tahun tanpa ditemui?

Menurut Encik Ramdzan, kebanyakannya tersembunyi di belakang batu atau terkubur di dasar laut. Malah, bagi kapal karam yang pertama, ia diseliputi tumbuhan marin dan batu karang dan memerlukan orang terlatih untuk mengenali barangan berharga itu.

Hanya yang terlatih boleh mengenal pasti khazanah kapal karam seperti ini. (Gambar: Institut ISEAS-Yusof Ishak)

Dari flat Encik Ramdzan, jelas sekali beliau tertarik dengan barang-barang yang ditemui di laut. Ruang tamunya bak muzium maritim - sarat dengan pelbagai artifak hasil penemuan daripada operasi-operasi menyelamat sepanjang bertahun-tahun bekerja.

Sejauh ini, beliau telah menyumbang kepada empat operasi kapal karam dengan yang paling dekat di hatinya adalah kapal karam Tek Sing pada 1999. Beliau membantu menemukan 350,000 porselin daripada sebuah kapal China dari abad ke-19 yang karam di pulau Bangka di Indonesia pada 1822.

Operasi menyelamat kapal karam yang paling tersemat di hati Encik Ramdzan adalah pada 1999. (Gambar ihsan: Ramdzan Salim)

Maka itu, tidak hairanlah beliau digelar sebagai 'Indiana Jones'.

"Kebanyakan barangan yang saya pamerkan ada cerita tersendiri di sebalik penemuannya dan sesetengahnya saya tidak pernah akan menjualnya untuk meraih keuntungan kerana saya tahu tiada satu pun dalam dunia yang sepertinya," kata beliau.

"Indiana Jones" ini sudah terlibat dalam empat ekspedisi kapal karam sejak menjadi penyelam komersil pada usia muda 17 tahun. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan