Skip to main content

Singapura

Ahmad Firdaus Daud akan dilantik sebagai penasihat kedua pertubuhan akar umbi di Kembangan

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Firdaus Daud akan dilantik sebagai penasihat kedua pertubuhan akar umbi di Kembangan

Ahmad Firdaus Daud berucap semasa Sesi Pelibatan Rangkaian Profesional bagi bidang Undang-Undang di MENDAKI. (Gambar: LinkedIn/Ahmad Firdaus Daud)

Diterbitkan : 29 Aug 2026 06:44AM
  • Ahmad Firdaus Daud akan dilantik sebagai penasihat kedua pertubuhan akar umbi di Kembangan bermula 1 September, menggantikan Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang meletak jawatan pada Julai.
  • Pelantikan ini diumumkan oleh Seah Kian Peng, yang mengetuai pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights, dengan Firdaus turut diperkenalkan kepada pasukan dan penduduk Kembangan.
  • Firdaus, anggota PAP sejak 2016 dan penasihat kedua di Punggol, akan memberi tumpuan penuh kepada Kembangan selepas tempoh peralihan.
  • Langkah ini bertujuan memperkukuh pasukan akar umbi dan memastikan kesinambungan khidmat kepada masyarakat setempat selepas peletakan jawatan Dr Faishal.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ahmad Firdaus Daud, yang bersedia bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum tahun lalu (GE2025), akan dilantik sebagai penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi di Kembangan mulai 1 September.

Kawasan tersebut sebelum ini diselia mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang meletak jawatan daripada politik pada Julai.

Bercakap kepada Mediacorp pada Jumaat (28 Ogos) malam, Seah Kian Peng, yang menerajui pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025, berkata Encik Firdaus akan menyertai pasukan yang menjaga penduduk Kembangan.

Encik Seah berkata beliau akan terus menyelia kawasan itu bersama Anggota Parlimen (AP) Goh Pei Ming, Tin Pei Ling dan Diana Pang.

Encik Firdaus, yang menjadi anggota PAP sejak 2016, sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa beliau bersedia bertanding sebagai calon parti tersebut.

Encik Seah berkata Encik Firdaus juga tidak asing dengan kerja-kerja akar umbi.

Encik Firdaus kini berkhidmat sebagai penasihat kedua di Punggol, tempat beliau bekerjasama dengan Timbalan Perdana Menteri (DPM) Gan Kim Yong.

Penasihat akar umbi dilantik oleh Persatuan Rakyat (PA), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), untuk membimbing pertubuhan akar umbi dalam usaha mendampingi dan mendekati masyarakat.

Selepas pelantikan baharunya berkuat kuasa, Encik Firdaus pada awalnya akan berkhidmat sebagai penasihat kedua di Punggol dan Kembangan.

"Pada masa akan datang, rancangannya adalah untuk beliau melepaskan peranan sebagai penasihat kedua di Punggol supaya beliau dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kembangan," kata Encik Seah, yang juga Speaker Parlimen.

Dr Faishal meletak jawatan pada 20 Julai selepas Perdana Menteri Lawrence Wong berkata interaksinya dengan seorang wanita tidak memenuhi piawai yang ditetapkan bagi seorang pemegang jawatan politik dan AP.

Dalam catatannya di Facebook pada Khamis, Encik Seah berkongsi gambar AP GRC Marine Parade-Braddell Heights dan sukarelawan mengagihkan baucar Hari Kebangsaan kepada penduduk Kembangan. Encik Firdaus merupakan antara mereka yang mengambil bahagian.

"Ia juga merupakan peluang yang baik untuk kami berkumpul, mengenali satu sama lain dengan lebih baik dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menjaga penduduk kami di Kembangan," tulisnya.

Ditanya sama ada itu kali pertama Encik Firdaus bertemu penduduk Kembangan, Encik Seah memberitahu Mediacorp bahawa ia merupakan "kegiatan besar pertama" Encik Firdaus di kawasan tersebut. Beliau sebelum ini sudah memperkenalkan Encik Firdaus kepada anggota pasukan lain dan pemimpin utama akar umbi.

Menyusuli peletakan jawatan Dr Faishal, Encik Seah sebelum ini berkata baki empat AP GRC Marine Parade-Braddell Heights akan bekerja keras untuk terus berkhidmat kepada penduduk dan berusaha "memperkukuh pasukan pada masa akan datang".

Ditanya mengenai penyertaan Encik Firdaus dalam pasukan itu pada Jumaat, beliau berkata: "Masanya sudah tiba."

"Saya mahu pelantikan ini dilakukan lebih awal dan saya gembira kami sudah menemui seseorang yang akan menyertai pasukan ini mulai 1 September."

Mediacorp sudah menghubungi Encik Firdaus, namun beliau enggan mengulas sebelum pelantikan rasmi dibuat.

Encik Firdaus adalah seorang peguam dalam sektor swasta dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang am secara sambilan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta syarikat dalam fasa pertumbuhan di ARLC Legal. Beliau turut dilantik untuk menganggotai lembaga Pro Bono SG, cabang kebajikan Persatuan Guaman Singapura (LawSoc), pada awal tahun ini.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita