Ahmad Daniyal Mohd Rizal, A’tiiqah Suhaimi juara Pertandingan Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran
Ustazah A’tii qah Suhaimi muncul sebagai juara Qariah.
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Pertandingan Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) peringkat kebangsaan Singapura sampai ke kemuncaknya hari ini (25 Ogos).
Peringkat akhir pertandingan berlangsung di Masjid Sultan pagi tadi.
Kesemua juara pertandingan Tilawah dalam tiga kategori termasuk dewasa, belia dan kanak-kanak menerima piala masing-masing dalam satu majlis petang tadi.
Pertandingan tahun ini menarik penyertaan 199 peserta, 111 dalam kategori tilawah dan 88 bagi kategori tahfiz.
Para peserta antara lain diuji dari segi ilmu tajwid, fasahah dan tartil.
Ustaz Ahmad Daniyal Mohd Rizal dinobatkan Juara Tilawah Qari Peringkat Dewasa manakala Ustazah A’tii qah Suhaimi muncul sebagai juara Qariah.
Mereka akan mewakili Singapura dalam pusingan akhir pertandingan bacaan Al-Quran yang akan berlangsung di Malaysia pada Oktober nanti.
Ustazah A'tiiqah, bagaimanapun, memutuskan untuk memberi peluang tersebut kepada naib juara, Nurul Huda Khamsani.
Menurutnya, beliau langsung tidak menjangkakan akan dinobatkan sebagai juara.
Ustazah A'tiiqah sebenarnya bukan 'orang baru' dalam dunia pertandingan tilawah al-Quran kerana sudah menyertainya sejak beliau kanak-kanak kecil lagi.
"Apabila saya memasuki Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran ini saya tidak ada apa-apa harapan. Saya lebih kepada masuk untuk meraikan majlis tersebut dan juga untuk kekalkan momentum saya pada setiap tahun," kata beliau kepada BERITA Mediacorp.
Beliau menyifatkan kemenangannya sebagai satu rezeki dan akan mendorongnya untuk memperbaiki lagi pembacaannya.
Pemenang kategori belia pula dirangkul oleh Hasbi Hanuar dan Naurah Khalisah Nasser.

"Saya dibimbing oleh seorang ustaz yang sangat mahir dalam bidang Taranum iaitu Ustaz Sadid Abdul Latif. Dan dia telah membantu saya dalam banyak bidang seperti bidang Tajwid, Fasaha dan sebagainya," ujar Hasbi Hanuar.
Juara kanak-kanak pula disandang oleh Hawra Naqiyyah Aidil dan Maheer El-Furqan Mohd Syafiq.
FESTIVAL QURANSG TURUT DIADAKAN DI MASJID SULTAN
Bagi menyemarakkan lagi suasana penghayatan Al-Quran, satu Festival QuranSG (Daerah Selatan) juga dianjurkan di Masjid Sultan.
Pelbagai kegiatan bagi menggalak pembelajaran Al-Quran. Ini termasuk, permainan, seni khat dan program berunsur Islam serta Al-Quran diadakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.