Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura iklan

Ahmad Azhary & Liyana proaktif ikuti kursus agar lebih cekap harungi bahtera rumahtangga

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Azhary & Liyana proaktif ikuti kursus agar lebih cekap harungi bahtera rumahtangga

Ahmad Azhary Ahmad Tajuddin dan isteri Liyana Khairunnisa Rosli. (Gambar: Liyana Khairunnisa Rosli)

Diterbitkan : 11 Feb 2023 07:00AM Dikemas Kini : 16 Feb 2023 12:04PM
BERITAmediacorp: Perkenalan singkat antara Ahmad Azhary Ahmad Tajuddin dan Liyana Khairunnisa Rosli sekitar setahun membuahkan rasa cinta dan harapan untuk hidup bersama.

Sekalipun demikian, pasangan yang kedua-duanya berusia 25 tahun itu berasa seolah-olah ada banyak lagi perkara yang masih perlu dipelajari sebelum melangkah ke alam rumahtangga.

“Sebagai pasangan muda dan juga pasangan yang mengenali satu sama lain kurang dua tahun, cabaran yang menjadi keprihatinan kami adalah tinggal serumah dengan ibu bapa kami. Kami tidak mempunyai banyak masa sebelum bernikah untuk mencari rumah dan menyimpan wang untuk membeli flat jualan semula dan sebagai pasangan yang masih baru dalam hubungan ini, kami masih ingin meluangkan lebih masa bersama dan ini menjadi satu cabaran memandangkan kami masih menetap di rumah ibu bapa kami.”

“Kami harus membahagikan masa bersama keluarga kami juga setiap hari. Jadi, komunikasi antara kami berdua haruslah sangat berkesan supaya kami tidak mengguris perasaan satu sama lain dan juga ibu bapa kami,” kongsi Encik Ahmad Azhary.

PENGALAMAN RAKAN SUMBER DORONGAN

Lantaran itu, apabila rakan-rakan mereka yang sedang mengikuti kursus rumahtangga berkongsi tentang pengalaman masing-masing, ia mendorong Encik Ahmad Azhary dan Cik Liyana untuk mendapatkan lebih banyak perinciannya.
Ahmad Azhary Ahmad Tajuddin dan isteri Liyana Khairunnisa Rosli. (Gambar: Liyana Khairunnisa Rosli)
Mereka melayari internet mengenai pelbagai kursus rumahtangga dan akhirnya memilih untuk mengikuti program “INSPIRASI Cinta” anjuran AMP pada Mei 2022.

“Sebelum menjalani program “INSPIRASI Cinta”, kami saling mengenali satu sama lain lebih kurang setahun lebih. Jadi, kami rasa bahawa kursus rumahtangga dapat menolong kami lebih mengenali satu sama lain dari segi tabiat kami dan sebagainya. Dengan mengikuti kursus rumahtangga ini, kami berharap ia akan dapat eratkan hubungan kami,” tambah beliau.

Antara ilmu yang dipelajari termasuk cara-cara untuk menguruskan kewangan, cara berkomunikasi dengan berkesan sebagai suami dan isteri dan mengenal pasti cabaran yang dialami semasa tahap peralihan hubungan mereka.

“Satu aspek yang menarik bagi kami adalah cara berkomunikasi antara satu sama lain. Ia juga menolong kami mengetahui dengan lebih lanjut asas-asas hidup sebagai suami dan isteri. Selain itu kami belajar bahawa dari segi agama, menguruskan kewangan antara suami dan isteri sangat berlainan,” ujar Encik Ahmad Azhary lagi.
Ahmad Azhary Ahmad Tajuddin dan isteri Liyana Khairunnisa Rosli. (Gambar: Liyana Khairunnisa Rosli)
Encik Ahmad Azhary turut berkongsi bahawa Naib Kadi yang menikahkan beliau dan isteri pada Julai 2022 ada memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi pasangan itu selepas satu tempoh masa untuk bertanya khabar dan mengetahui sama ada beliau dan isteri mempunyai masalah atau tidak selepas berkahwin, sebagai langkah susulan.

Encik Ahmad Azhary dan Cik Liyana juga sangat menggalak pasangan lain yang ingin mendirikan rumahtangga agar mengambil langkah yang sama dan mereka berdua turut menekankan betapa pentingnya kursus rumahtangga untuk mereka.

“Kursus rumahtangga sangat penting bagi semua pasangan tidak kira berapa lama anda mengenali satu sama lain. Kehidupan sebelum dan selepas berumahtangga sungguh berlainan. Jadi, dengan mengikuti kurus rumahtangga, pasangan-pasangan boleh mendapat tahu aspek-aspek yang mereka harus beri perhatian dan cara-cara untuk mengatasi cabaran-cabaran yang akan mereka lalui selepas bernikah,” kata Encik Ahmad Azhary.
Ahmad Azhary Ahmad Tajuddin dan isteri Liyana Khairunnisa Rosli. (Gambar: Liyana Khairunnisa Rosli)
REBAT BAGI SOKONG MEMPELAI

Kursus rumahtangga oleh agensi-agensi yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menangani keperluan pelbagai jenis perkahwinan.

Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga buat kali pertama, mereka akan menerima rebat S$70. Jika bakal pengantin lelaki berusia antara 21 hingga 24 tahun dan pasangan mereka berusia 21 tahun dan ke atas, atau salah seorang daripada mereka berkahwin semula, mereka akan menerima subsidi sepenuhnya.

Pasangan boleh menimba kemahiran-kemahiran dan pengetahuan relevan seperti cara berkomunikasi dengan berkesan, menangani jangkaan, memperkukuh hubungan dengan keluarga dan sebagainya. Ini sangat membantu dalam kehidupan selepas bernikah.

“Tiada perkahwinan yang sempurna. Pasangan akan berdepan cabaran. Maka penting untuk kita membuat persiapan dan melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan.

“Perkahwinan yang kukuh bukan sahaja memerlukan komitmen, dan usaha, tetapi juga kemahiran. Kursus rumahtangga boleh membantu pasangan untuk membina asas yang kukuh untuk mempertahankan dan memuliakan perkahwinan mereka. Perkahwinan adalah umpama satu maraton, bukannya larian pecut. Persediaan itu kunci kejayaan,” kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

SOKONGAN KELUARGA PENTING

Yang pasti, keluarga adalah tonggak utama sokongan. Maka penting untuk membina sebuah keluarga yang utuh dan stabil dan ini bermula sejak awal perjalanan sebagai suami isteri.

"Ibu bapa, boleh menggalakkan anak-anak supaya mengikuti kursus rumahtangga untuk mempersiapkan diri bagi perkahwinan. Tahun pertama perkahwinan sangat penting untuk pasangan. Inilah masa mereka perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan penting seperti mengenal dan menyesuaikan diri dengan tabiat pasangan mereka, menguruskan perbelanjaan bersama dan harapan mertua mereka. Maka penting untuk keluarga memberikan sokongan,” ujar Dr Faishal.

Lebih 90 peratus pasangan yang mengikuti program sedemikian mengatakan mereka berasa lebih yakin untuk mengamalkan apa yang sudah dipelajari. Mereka juga mempunyai tahap kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi tentang cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi.

“Semasa mendampingi para Naib Kadi, mereka berkongsi bagaimana hubungan pasangan yang dinikahkan oleh mereka berubah menjadi lebih baik selepas menghadiri kursus rumahtangga. la membantu pasangan menyedari perbezaan masing-masing dan berusaha untuk mengatasinya.

“Saya sudah berkahwin hampir 28 tahun. Anak-anak saya kini masing-masing berusia 27 dan 23 tahun dan apabila saya mengenang kembali (masa), saya berasa gembira kerana saya berupaya membina kehidupan bersama isteri dan anak-anak dan ini menjadikan hidup lebih bermakna,” kongsi Dr Faishal.

Untuk keterangan lanjut mengenai kursus rumahtangga yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), pasangan boleh melungsuri laman https://go.gov.sg/msfmarriagepreparation atau bertanya dengan Naib Kadi masing-masing. Maklumat mengenai A Singapore Made For Families 2025 pula boleh diperolehi di https://go.gov.sg/MFF2025plan.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan