Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ahli terapi dipenjara 3 minggu gara-gara pukul budak autistik semasa sesi terapi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang ibu ternampak kesan merah yang menyerupai kesan kuku pada lengan anak autistiknya selepas dia menghadiri sesi tertutup dengan seorang ahli terapi pendidikan dan tingkah laku.

Curiga, beliau memasang kamera litar tertutup, yang merakam penderaan fizikal ahli terapi tersebut terhadap anak lelakinya beberapa kali semasa sesi seterusnya.

Nur Amira Muhamad Razali, 33 tahun, pada Selasa (12 Dis) dijatuhi hukuman penjara selama tiga minggu selepas mengaku bersalah sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang budak lelaki berusia 9 tahun.

Budak lelaki itu serta ibunya tidak dinamakan di bawah arahan makamah demi melindungi identiti mangsa.

Dua tuduhan serupa berkaitan dengan layanan Amira terhadap lagi seorang budak lelaki, berusia enam tahun, juga diambil kira semasa menjatuhkan hukuman tersebut.

Mahkamah diberitahu Amira merupakan lulusan Institut Pengurusan Singapura (SIM) dengan ijazah dalam bidang psikologi pada 2016 dan menamatkan kursus juruteknik tingkah laku berdaftar pada Julai 2020.

Ketika kesalahan berkenaan dibuat, dia bekerja sebagai seorang ahli terapi pendidikan dan tingkah laku di sebuah pusat terapi autisme.

Budak lelaki itu, yang didiagnosis dengan autisme teruk ketika dia berusia empat tahun, tidak berupaya untuk mengungkap menerusi kata-kata dan dia menghadiri sesi terapi pendidikan dan tingkah laku dengan Amira selama lima tahun.

Sebelum insiden berkenaan, ibu bapa mangsa mempunyai hubungan yang baik dengan Amira, dan bahkan, menghadiri majlis perkahwinannya.

KESAN MERAH YANG MENCURIGAKAN

Sesi terapi tersebut, selama kira-kira 90 minit setiap kali, dikendalikan di dalam sebuah bilik di kediaman budak lelaki tersebut.

Pada Jun 2020, ibu mangsa menyedari bahawa terdapat kesan calar pada bahagian belakang badan dan bintat merah pada tangan anak beliau.

Beliau pada mulanya tidak menghiraukannya kerana menyangka ia mungkin kecuaian anaknya. Namun, pada 28 Julai, beliau mendapati ada kesan merah pada lengan kiri anak beliau, yang menyerupai kesan kuku.

Penemuan itu dibuat sejurus selepas kanak-kanak itu selesai sesi terapi bersama Amira.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Shi Yun berkata ibu kanak-kanak itu kemudian memutuskan untuk memasang kamera tersembunyi di dalam bilik berkenaan, kerana mengesyaki anaknya mungkin mendapat lebam itu semasa sesi terapinya.

Selepas sesi terapi pada keesokan harinya, beliau menyemak rakaman dan mendapati bahawa Amira mencederakan anaknya beberapa kali.

Ini termasuk menggaru dan menarik leher kanak-kanak itu, memukul dahi dan mulutnya dan memukul lengan kirinya.

Kira-kira seminggu kemudian, ibu lelaki itu membawanya ke sebuah klinik, di mana dia diperiksa Dr Leo Hamilton, yang menemui kesan lebam pada leher dan sikunya yang muncul dalam bentuk "cap jari".

Laporan perubatan tersebut menyatakan bahawa kecederaan yang dialami budak lelaki itu menimbulkan kebimbangan mengenai penderaan fizikal, jelas DPP Tan.


Atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, Amira boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Dengan kesalahan dilakukan terhadap seseorang yang berusia di bawah 14 tahun, dia boleh berdepan dua kali hukuman maksimum yang dikenakan oleh mahkamah.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan