Skip to main content

Singapura

Ahli perniagaan George Goh jelaskan semua syarikatnya penuhi syarat S$500 juta untuk jadi calon presiden

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ahli perniagaan George Goh pada Isnin (10 Jul) berkata bahawa syarikat-syarikatnya dari berbilang industri menambah kepada syarat ekuiti pemegang saham untuk melayakkan dirinya bagi pilihan raya presiden Singapura.

Encik Goh, yang bercakap kepada para wartawan selepas sebuah acara bagi usahawan berkata kepentingan perniagaannya dibahagikan kepada pelbagai pertubuhan kerana semuanya dalam industri yang berbeza.

"Cara saya menubuhkan pertubuhan saya adalah seperti itu... saya tubuhkan pertubuhan lain dalam industri berbeza," jelasnya.

"Tetapi saya tetap mengendalikannya," tambahnya. "Sama juga. Saya ketua pegawai eksekutif yang mengelolakannya."

Encik Goh, pengasas Harvey Norman Ossia dan pengerusi Ossia International yang tersenarai dalam bursa saham SGX, mengumumkan hasratnya untuk menjadi calon presiden bulan lalu.

Beliau adalah individu kedua yang meluahkan hasrat untuk bertanding selepas mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, yang melepaskan semua jawatan pemerintah beliau pada Jumaat.

Presiden Halimah sudah mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding sekali lagi selepas penggalnya tamat pada 13 September.

Terdapat pelbagai persoalan mengenai kelayakan Encik Goh. Di bawah syarat sektor swasta untuk menjadi calon Presiden, seseorang calon itu mesti menjadi ketua eksekutif selama sekurang-kurangnya tiga tahun dengan syarikat yang memiliki ekuiti pemegang saham bernilai S$500 juta.

Menurut pengumuman syarikat yang difailkan dengan SGX, Ossia International memiliki ekuiti pemegang saham bernilai S$54.9 juta - atau aset bersih - bagi tahun kewangan 2022/2023.

Encik Goh memberitahu para wartawan bahawa perniagaan dalam industri runcit, rawatan air dan elektronik "tidak boleh" diletakkan dalam satu pertubuhan.

Dengan berbuat demikian, ia akan mewujudkan "kekeliruan" jika syarikat itu tersenarai secara awam dan juga menjadikannya sukar untuk menghubungkan jenama dan kisah syarikat itu yang menjalankan operasi dalam banyak industri berbeza," kata beliau.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita