Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ahli optik ini mahu tingkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan mata, buka cawangan kedua

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebelum ini Cik Siti Raihuda Mahmood, 50 tahun, sering mendapatkan preskripsi cermin mata dan pemeriksaan mata di kedai optik berdekatan rumahnya.

Namun kadang kala beliau menghadapi kesukaran untuk memahami penerangan tentang keadaan matanya disebabkan oleh bahasa dan istilah-istilah saintifik yang digunakan.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Lantaran itu, apabila mendapat tahu tentang khidmat yang ditawarkan oleh 'House of Spectacles' yang dikendalikan oleh ahli optik Melayu/Islam, Cik Raihuda mengambil keputusan untuk ke sana bagi pemeriksaan mata.

"Di kedai optik di luar, mereka akan memberitahu saya dalam bahasa Inggeris, yang saya kurang faham. Jadi bila saya datang ke sini (House of Spectacles), mereka memberitahu saya dalam Bahasa Melayu yang saya lebih faham dan ia tidak rumit," kongsi Cik Raihuda kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Apabila saya ke House of Spectacles, mereka (bukan sahaja) memeriksa darjah mata tetapi juga memberitahu saya apa masalah mata saya, dan saya rasa lebih selesa," tambahnya.

PEMERIKSAAN MATA PENTING UNTUK PENGESANAN AWAL

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Cik Raihuda amat menitikberatkan pemeriksaan mata dan akan melakukan pemeriksaan mata tiga kali setahun.

Tambahnya, memang penting untuk golongan seusianya melakukan pemeriksaan mata yang kerap.

"Daripada (pemeriksaan) mata itu, kita boleh tahu sekiranya ada sesuatu yang tidak selesa dalam mata kita," ujar Cik Raihuda, yang mempunyai seorang anak.

"Mereka (ahli optik) akan tahu jadi mereka akan dapat menasihatkan kita sama ada untuk melakukan pemeriksaan di hospital contohnya untuk katarak. Jadi lebih mudah jika pengesanan awal dilakukan," tambah beliau.

Keselesaan dari segi pertuturan dalam bahasa ternyata memberi kelebihan buat penyedia khidmat seperti 'House of Spectacles'.

Ingin membantu masyarakat juga antara faktor mendorong Shaikha Zahirah Shaikh Alwie, 24 tahun, dalam menceburi bidang optik, yang jarang dilakukan oleh masyarakat Melayu/Islam.

Menurut beliau, demografi pelanggan mereka meliputi golongan berusia 40 tahun ke atas serta kanak-kanak.

JUMLAH PELANGGAN NAIK SEGANDA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Sejak kedai pertamanya dibuka di Golden Landmark pada April 2021, House of Spectacles menerima sambutan yang menggalakkan.

Malah, ada juga pelanggannya yang sanggup datang dari sejauh kawasan Timur negara untuk mendapatkan khidmat mereka.

Ini yang memberanikan pemiliknya, Shaikha Zahirah untuk membuat pelaburan besar untuk buka satu lagi kedai, kini di kawasan kejiranan Tampines pula.

"Kami memilih kawasan Tampines kerana kami dapat lihat potensi yang besar di sini dan kami ingin memberi akses yang mudah bagi pelanggan kami yang tinggal di daerah Timur, untuk mereka yang ingin mencuba khidmat kami. Kami juga rasa kawasan Tampines, mempunyai masyarakat Melayu/Islam kami dan kami ingin membantu mereka," kongsi Shaikha Zahirah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Strategi perniagaan saya ialah untuk memberi tumpuan kepada pelayanan kesihatan mata yang berkualiti dan khidmat yang baik. Kami ingin pelanggan kami berasa selesa dan gembira apabila membeli cermin mata daripada kami," tambahnya.

Bukan sekadar memeriksa kesihatan mata pelanggannya, beliau juga cuba untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tentang pentingnya menjaga kesihatan mata.

"Saya selalu dengar maklum balas dari mereka apabila ahli optik dari kaum lain menerangkan kepada mereka (tentang keadaan mata), mereka susah untuk memahaminya. Jadi saya harap di kedai kami, kami dapat menolong masyarakat Melayu kami," ujar Shaikha Zahirah.

RABUN, KATARAK ANTARA MASALAH MATA YANG SERING DIKESAN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Pemilik itu berkongsi juga bahawa antara masalah yang sering beliau kesan termasuk masalah rabun jauh, rabun dekat, mata kering serta keadaan mata seperti katarak.

"Apabila pelanggan kami ada masalah-masalah tersebut, kami cuba sedaya upaya untuk menerangkan mereka tentang keadaan mata mereka supaya mereka faham apa yang mereka sedang melalui," menurut pemilik muda itu.

Para pelanggan itu juga akan dinasihatkan dan diberi rujukan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor.

Selain menerusi bahasa, Shaikha Zahirah juga bertekad untuk memastikan para pelanggannya menerima penjagaan mata yang mencukupi, antaranya menerusi penggunaan teknologi yang canggih dan baharu untuk mengesan keadaan mata mereka.

GUNA TEKNOLOGI BAHARU DI CAWANGAN BAHARU

Sehingga kini, jumlah pelanggan mereka sudah naik seganda.

Mereka juga cuba memperkenalkan teknologi baharu di cawangan itu.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Di kedai Tampines, kami menawarkan layanan pemeriksaan mata yang komprehensif menggunakan peralatan yang baharu dan teknologi yang canggih. Peralatan baharu yang kami ada ialah 'slitlamp' yang dapat mengesan keadaan seperti katarak dan juga komplikasi kanta lekap. Peralatan ini dapat menangkap gambar keadaan itu dan kami dapat menunjukkannya kepada pelanggan kami," dedah usahawan muda itu.

"Peralatan baharu ini saya rasa adalah sesuatu yang berguna sebab selama ini, apabila kami memeriksa dan mengatakan kepada pelanggan bahawa mereka mempunyai katarak (sebagai contoh), kami tidak dapat menunjukkan kepada mereka dan mereka tidak dapat melihat sendiri bagaimana keadaan mata mereka," tambahnya.

House of Spectacles turut menerima pelanggan dari pelbagai kaum lain juga.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan