Skip to main content

Singapura

Ahli niaga SG dikenal pasti sebagai 'individu penting dari segi politik' di bawah FICA

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli niaga SG dikenal pasti sebagai 'individu penting dari segi politik' di bawah FICA

Ahli perniagaan Singapura Philip Chan Man Ping pada 24 Jan 2024. (Gambar: Instagram)

SINGAPURA: Ahli perniagaan Singapura, Chan Man Ping Philip secara rasmi dikenal pasti sebagai "individu penting dari segi politik" (PSP) di bawah undang-undang untuk membanteras campur tangan asing.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pada Isnin (26 Feb) bahawa Pendaftar Pendedahan Asing dan Politik sudah menimbangkan representasi yang telah dikemukakan oleh Encik Chan sebagai respons terhadap notis yang dikenakan terhadapnya pada 2 Feb.

"Pendaftar itu berpegang kepada pendirian bahawa Chan harus dikenal pasti sebagai PSP, kerana aktiviti Chan menjurus ke arah tujuan politik di Singapura, dan, pada pendapat pendaftar, adalah demi kepentingan awam untuk langkah-langkah di bawah FICA digunakan ke atas Chan," menurut kementerian itu.

"Individu penting dari segi politik" yang juga dirujuk sebagai PSP, boleh termasuk parti politik, pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen, calon pilihan raya dan ejen pilihan raya mereka.

Kes Encik Chan tertakluk di bawah peruntukan untuk mengenal pasti seseorang individu sebagai PSP jika aktiviti mereka menjurus ke arah politik, dan ia adalah demi kepentingan awam untuk pihak berkuasa menggunakan langkah-langkah di bawah FICA.

Encik Chan, seorang warga Singapura berusia 59 tahun, dimaklumkan mengenai tindakan itu pada Isnin. Ia berkuat kuasa pada Isnin.

Sebagai individu penting dari segi politik, Encik Chan dikehendaki mendedahkan setiap tahun derma politik sebanyak S$10,000 atau lebih yang diterimanya, gabungan asing dan faedah yang diterima di luar negara kepada pendaftar tersebut.

Encik Chan boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri terhadap keputusan tersebut.

Apabila ditanya Mediacorp jika dia merancang untuk mengemukakan rayuan, Encik Chan enggan mengulas.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita