Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ahli farmasi di Unity Pharmacy dilatih cam mangsa keganasan keluarga

Dalam usaha memperluaskan cara bagi mangsa keganasan keluarga dan anggota masyarakat melaporkan kes tersebut dan mendapatkan bantuan segera, lebih 40 ahli farmasi dari Unity Pharmacy dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda keganasan dalam kalangan pelanggan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Mar 2021 08:48PM Dikemas Kini : 11 Mar 2021 09:54PM

SINGAPURA: Dalam usaha memperluaskan cara bagi mangsa keganasan keluarga dan anggota masyarakat melaporkan kes tersebut dan mendapatkan bantuan segera, lebih 40 ahli farmasi dari Unity Pharmacy dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda keganasan dalam kalangan pelanggan mereka.

Ahli-ahli farmasi itu, yang mendapat latihan dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada November tahun lalu, ditempatkan di 42 cawangan Unity Pharmacy di merata negara.

Mereka diajar untuk mengenal pasti tanda-tanda seperti luka dan lebam pada mangsa yang mungkin disebabkan oleh anggota keluarga mereka dan memberi maklumat kepada mangsa yang disyaki, termasuk nombor hotline bantuan.

Ini adalah sebahagian usaha kementerian untuk meletakkan lebih banyak saluran perhubungan untuk mengesan keganasan keluarga, supaya intervensi tepat dan segera dapat dihulurkan kepada mangsa, jelas MSF.

Pada Januari, polis menyatakan bahawa pihaknya menerima 5,135 laporan kesalahan berkaitan dengan keganasan keluarga tahun lalu, dan merujuk 1,115 kes ke pusat khidmat keluarga atau Pusat Pakar Keganasan Keluarga.

MSF sebelum ini menyatakan pihaknya telah menyaksikan lebih banyak rujukan dan pertanyaan mengenai keganasan rumah tangga sejak bermulanya tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, dari April hingga Jun tahun lalu, ketika orang ramai kebanyakannya terperap di rumah.

Talian bantuan masyarakat yang menangani keganasan keluarga juga menerima 40 peratus lebih banyak panggilan antara Januari hingga Oktober tahun lalu berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling berkata pada Khamis (11 Mac) bahawa oleh kerana Unity Pharmacy mempunyai banyak cawangan di Singapura, ahli farmasinya yang dilatih untuk menjadi pegawai barisan hadapan dapat membentuk salah satu saluran untuk mendekati mangsa.

Bercakap kepada wartawan semasa lawatan ke sebuah cawangan Unity Pharmacy di pusat beli-belah VivoCity, Cik Sun, yang mempengerusikan bersama pasukan bertindak silang agensi bagi keganasan keluarga, berkata: "Kami sentiasa menambah saluran mendekati masyarakat, supaya mangsa keganasan keluarga akan dapat dengan lebih mudah melaporkan kes-kes keganasan keluarga."

Bagi pelanggan yang mungkin tidak selesa untuk mendekati kakitangan, risalah untuk membantu menghubungkan mangsa dengan saluran untuk mendapatkan pertolongan akan disediakan di semua kaunter Unity Pharmacy.

BUKAN MUDAH KENAL PASTI TANDA KEGANASAN

Dua ahli farmasi Unity Pharmacy yang menjalani latihan berkongsi bahawa antara tanda-tanda yang telah diajar untuk mereka kenal pasti termasuk luka dan lebam.

Namun begitu, pengurus farmasi Grace Yeo, 40 tahun, berkata bahawa cabarannya adalah ramai pelanggan yang datang dengan kecederaan seperti ini hampir setiap hari.

Beliau berkata satu tanda yang harus diperhatikan adalah jika pelanggan kembali ke kedai secara kerap untuk membeli ubat kecederaan yang sama.

Ahli farmasi Muhammad Riduwan Mohammad Noor, 33 tahun, pula berkata beliau biasanya bertanya kepada pelanggan bagaimana kesan lebam dan luka terjadi sebelum menasihati mereka mengenai tindakan selanjutnya.

"Saya akan memberitahu mereka tidak mengapa jika mereka tidak selesa untuk berkongsi, tetapi saya di sini untuk mendengar jika mereka ingin berbuat demikian," katanya.

Menjelang bulan depan, sebuah program latihan untuk mengesan keganasan keluarga akan dilancarkan bagi beberapa ratus pembantu runcit di 29 kedai ubat lain di Unity Pharmacy yang tidak mempunyai dispensari.

PROGRAM PEMULIHAN PESALAH

Cik Sun berkata bahawa pasukannya juga sedang menumpukan usaha bagi memulihkan pelaku dalam kes keganasan rumahtangga.

Ia mengadakan perbincangan kumpulan fokus pada Januari dengan pihak berkepentingan utama dan rakan masyarakat yang bekerja dengan pelaku keganasan keluarga, untuk memahami punca keganasan tersebut dan mencari cara untuk memperkukuh program pemulihan bagi mereka.

Perbincangan itu menunjukkan bahawa tekanan kewangan, masalah mental, dan penyalahgunaan dadah atau minuman keras adalah antara sebab para pelaku melakukan keganasan.

"Oleh itu, kami memerlukan huraian yang berbeza untuk menangani dengan lebih punca-punca pokok masalah tersebut, ”kata Cik Sun.

Mereka yang ingin melaporkan kes keganasan keluarga boleh menghubungi talian bantuan anti-keganasan nasional 24 jam di 1800 777 0000.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan