Ahli ekonomi SG Li Shengwu dianugerahi program zamil berprestij; antara 125 penyelidik 'cemerlang' di AS, Kanada
Anugerah tahunan itu diberikan sejak tahun 1955 sebagai memberi penghargaan kepada para penyelidik Amerika dan Kanada di mana "daya kreatif, inovasi dan pencapaian kajian mereka menyerlahkan mereka sebagai pemimpin pelapis seterusnya", menurut pertubuhan itu dalam kenyataan medianya pada Rabu (15 Feb).
Encik Li Shengwu, cucu kepada mantan perdana menteri mendiang Lee Kuan Yew. (Gambar: Lee Hsien Yang/Facebook)
Encik Li, anak lelaki sulung Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern, adalah antara 125 penyelidik awal kerjaya "cemerlang" yang dipilih oleh pertubuhan bukan untuk meraih untung Amerika Syarikat, Alfred P Sloan Foundation, untuk anugerah progam zamil itu.
Anugerah tahunan itu diberikan sejak tahun 1955 sebagai memberi penghargaan kepada para penyelidik Amerika dan Kanada di mana "daya kreatif, inovasi dan pencapaian kajian mereka menyerlahkan mereka sebagai pemimpin pelapis seterusnya", menurut pertubuhan itu dalam kenyataan medianya pada Rabu (15 Feb).
Encik Li, seorang penolong profesor ekonomi di Universiti Harvard, akan menerima anugerah program zamil bernilai AS$75,000 (S$101,000) selama dua tahun yang boleh digunakan untuk memajukan kerja-kerja penyelidikannya.
Program zamil itu dibuka kepada pemegang sarjana dalam tujuh bidang saintifik dan teknikal seperti kimia, sains komputer serta matematik.
Para calon mesti dikemukakan oleh ahli saintis lain dan para pemenang akan dipilih oleh barisan panel bebas, terdiri daripada pemegang sarjana kanan, berdasarkan pencapaian kajian, daya kreatif serta potensi calon untuk menjadi seorang pemimpin dalam bidang mereka, terang pertubuhan tersebut.
Ia menambah bahawa para zamil daripada kohort 2023 dipilih daripada 54 institusi di seluruh AS dan Kanada, termasuk sistem universiti awam besar, institusi Ivy League serta juga maktab kesenian bebas.
Antara zamil terkemuka terdahulu adalah ahli fizik Richard Feynman dan Murray Gell-Mann serta ahli matematik John Nash.
Yayasan itu menyatakan 56 zamil sudah menerima Hadiah Nobel dalam bidang masing-masing, 17 sudah memenangi Pingat Fields dalam matematik dan 22 menggondol Pingat John Bates Clark dalam ekonomi.
Dalam satu catatan yang dimuat naik ke laman Facebook peribadinya, Encik Lee Hsien Yang, anak lelaki bongsu kepada mendiang Lee Kuan Yew, berkata beliau berbangga Encik Li terus mengharumkan nama Singapura.
Beliau menambah Encik Li dipilih untuk menjadi seorang zamil di Persatuan Zamil Harvard pada 2016 iaitu "suatu pencapaian yang jarang berlaku yang mengiktiraf sarjana muda atas potensi mereka untuk memajukan kebijaksanaan akademik".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.