Ahli akademik Indonesia disoal siasat di Lapangan Terbang Changi: MHA
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengesahkan pada Khamis (15 Mei) bahawa ahli akademik dari Indonesia, Muhammad Zulfikar Rakhmat "disoal siasat apabila beliau tiba" di Lapangan Terbang Changi dalam dua kejadian berasingan pada 2023, kerana beliau "menarik perhatian terhadap keselamatan".
Dr Muhammad Zulfikar Rakhmat. (Gambar: LinkedIn/Zulfikar Rakhmat)
Sebagai contoh, beliau pernah menulis catatan online yang menyokong tindakan kumpulan ISIS, menurut MHA dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp.
Dalam kedua-dua kejadian berasingan itu, beliau dibenarkan masuk ke Singapura untuk menaiki penerbangan keluar dari negara ini pada keesokan hari.
"Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan, termasuk menahan di pusat pemeriksaan bagi tujuan pemeriksaan dan soal siasat, atau bahkan melarang kemasukan ke Singapura, mana-mana warga asing yang dinilai boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara dan masyarakat kita," menurut MHA.
"Kemasukan ke Singapura adalah satu keistimewaan, bukan hak, dan warga asing tidak harus menjangkakan mereka secara automatik akan diberikan kemasukan, atau dibenarkan masuk tanpa menjalani sebarang pemeriksaan yang kami anggap wajar."
DUA KEJADIAN BERASINGAN
Dalam rencana yang diterbitkan di laman Middle East Monitor, yang menyifatkan dirinya sebagai sebuah "institusi kajian media yang bebas", Dr Zulfikar berkongsi pengalaman "ditahan dan disoal siasat di Lapangan Terbang Changi" sebanyak dua kali pada 2023 berhubung "tugasnya sebagai seorang ahli akademik dan wartawan yang menulis mengenal hal ehwal Timur Tengah, khususnya Palestin".
Kejadian pertama berlaku pada Februari 2023 ketika beliau singgah di Singapura bersama isterinya untuk melakukan perjalanan pulang ke Indonesia dari Korea Selatan.
Dr Zulfikar berkata beliau ditahan di imigresen dan dibawa ke sebuah bilik untuk disoal siasat mengenai latar belakangnya, sejarah perjalanannya di Timur Tengah serta kerja-kerja akademik dan kewartawanannya.
Beliau juga mendakwa bahawa telefon bimbitnya dirampas dan diperiksa.
Dr Zulfikar menambah satu kejadian serupa berlaku pada September 2023 apabila beliau singgah di Singapura ketika menaiki penerbangan dari Korea Selatan ke Indonesia.
Menurut laman Middle East Monitor, Dr Zulfikar adalah pengarah jabatan Indonesia-Timur Tengah dan Afrika Utara di Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (CELIOS) di Jakarta dan seorang penyelidik bersekutu di Instiut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Di laman Institut Timur Tengah NUS, Dr Zulfikar disenaraikan sebagai ahli kehormat dalam jabatan penyelidikan institut tersebut dan beliau turut bergelar seorang profesor penyelidikan di Universiti Pengajian Asing Busan.
Menurut laman itu, Dr Zulfikar mempunyai beberapa karya yang diterbitkan atas namanya, dan beberapa rencananya diterbitkan dalam The Diplomat, Asia Sentinel dan The Conversation.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.