Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ahad Bebas Kereta kembali 28 Jan ini setelah rehat 2 bulan

Edisi lain Ahad Bebas Kereta bagi tahun ini akan diadakan pada bulan Mac, Mei, Julai, Oktober dan Disember.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahad Bebas Kereta kembali 28 Jan ini setelah rehat 2 bulan

Inisiatif Ahad Bebas Kereta. (Gambar: Olivia Siong)

Diterbitkan : 24 Jan 2018 04:41PM Dikemas Kini : 24 Jan 2018 04:43PM

SINGAPURA: Setelah dua bulan direhatkan, Ahad Bebas Kereta kembali pada minggu ini, membolehkan para pengayuh basikal dan pejalan kaki mengambil alih jalan raya sepanjang 5.5 kilometer di kawasan Pusat Bandar dan kawasan pemuliharaan Telok Ayer.

Kali terakhir acara itu diadakan adalah pada bulan Oktober 2017.

Dari pukul 8.00 pagi sehingga tengah hari Ahad ini (28 Jan), para peserta boleh berjalan, berlari-lari anak dan berbasikal di sekitar kawasan tersebut tanpa perlu bimbang tentang trafik, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (24 Jan).

Pelbagai kegiatan termasuk jelajah berpandu dan kegiatan luar serta kebudayaan disediakan. Ini termasuk tarian beramai-ramai atau line dancing, hula hoop, floorball dan Zumba.

Sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, kawasan pemuliharaan Telok Ayer akan mengadakan beberapa kegiatan.

Ini termasuk pertunjukan boneka interaktif dan tarian singa oleh Persatuan Hok San di Telok Ayer Street.

Edisi lain Ahad Bebas Kereta bagi tahun ini akan diadakan pada bulan Mac, Mei, Julai, Oktober dan Disember.

Acara itu diadakan pada Ahad terakhir setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif URA Lim Eng Hwee berkata beliau berbesar hati melihat penglibatan aktif berterusan daripada masyarakat bagi acara tersebut.

"Ia memberikan peluang bagi setiap orang, baik yang muda mahupun yang tua untuk merasakan pengalaman bandar dalam bentuk yang berbeza," kata Encik Lim.

"Ini boleh dilakukan hanya dengan sokongan tidak putus daripada rakan masyarakat dan para penyokong dan saya berharap untuk melihat lebih ramai orang menyertainya supaya edisi pada masa akan datang lebih menarik."

Ahad Bebas Kereta, yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2016, adalah inisiatif masyarakat oleh URA, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Lembaga Taman Negara (NParks), Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Sport Singapore dan Penguasa Darat Singapura (SLA).

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan