Ah Lim Nasi Lemak milik wanita Cina Muslim ini hidang nasi lemak resipi Peranakan ibunya
Perkara pertama yang akan menarik perhatian para pelanggan gerai ini, adalah frasa Hokkien yang tertera pada menu gerai itu.

(Gambar: 8days)
SINGAPURA: Perkara pertama yang akan menarik perhatian para pelanggan gerai ini, adalah frasa Hokkien yang tertera pada menu gerai itu.
"Sibei ho jiak, mai kong bo jio" - iaitu sangat sedap, jangan kata kami tidak jemput anda.
Ini selain nama gerai itu yang seolah-olah dimiliki oleh seseorang yang berbangsa Cina.
Namun gerai menjual Nasi Lemak di Pusat Penjaja Maxwell ini sebenarnya dimiliki oleh seorang wanita Cina Muslim.
Pemilik gerai Ah Lim Nasi Lemak, Cik Aishah Lim, 38 tahun berketurunan Peranakan dan ibu bapanya berbangsa Cina dan beragama Islam.
PERNAH BUKA GERAI JUAL NASI PADANG
Sebelum membuka gerai Ah Lim Nasi Lemak, Cik Aishah pernah membuka gerai makanan di sebuah kantin sekolah dan membuka gerai nasi padang bersama suaminya, Danni Lim selama sekitar setahun.
"Ia mendapat sambutan yang baik, namun (pertumbuhan pada) jumlah pelanggan agak perlahan," katanya sambil mendedahkan bahawa mereka bergantung kepada langganan para pelanggan tetap.
Ibu kepada tiga orang anak itu kemudian bertukar angin untuk melakukan beberapa pekerjaan lain seperti memandu teksi dan menjawat peranan dalam perhubungan awam di sebuah syarikat binaan, selama enam tahun sebelum akhirnya menceburi semula bidang F&B pada hujung tahun 2021.
DORONGAN SUAMI
"Saya gemar memasak. Saya gemar menjemput keluarga dan sahabat handai dan memasak untuk mereka. Namun, suami sayalah yang sering mendorong saya untuk membuka gerai saya sendiri, kerana dia melihat bahawa saya tidak begitu gembira (melakukan pekerjaan lain)," kata Cik Aishah.
"Tentu sekali, saya rasa masakannya adalah yang terbaik," kata Encik Danni, yang bertugas sebagai seorang pengurus kanan di sebuah syarikat khidmat pembersihan, sambil berseloroh.
"Saya sangat bangga dengan kebolehannya memasak, dan saya rasa ia lebih menyeronokkan baginya untuk (mengendalikan sebuah gerai penjaja)."
Atas dorongan suaminya, Cik Aishah menceburi semula bidang F&B dengan membuka gerai Aishah's Snack Corner, iaitu "sebuah kedai cemil-cemilan kecil" yang menjual kek, brownie dan nasi lemak di kolong blok HDB di Choa Chua Kang.
Walaupun sambutan yang diterima daripada para penduduk agak baik, Cik Aishah berdepan masalah logistik di mana beliau tidak dibenarkan memasak di premis tersebut.
Malah, beliau hanya boleh menjual makanan untuk dibawa pulang sahaja.
Justeru, apabila suaminya melihat sebuah ruang gerai di Pusat Penjaja Maxwell pada pertengahan Disember lalu, beliau memutuskan untuk menutup kedai tersebut lalu membuka gerai Ah Lim Nasi Lemak.
ILHAM NAMA GERAI
Cik Aishah memilih untuk menukar nama gerainya khususnya kerana pembukaan gerai Ah Lim Nasi Lemak sememangnya dalam perancangannya.
Setelah berpindah ke Maxwell, beliau menghasilkan dua hidangan utama iaitu nasi lemak menggunakan resipi yang dipelajari daripada ibunya dan mi udang yang mesra Muslim.

"Saya sangat suka mi udang, namun anda tidak dapat mencari banyak pilihan mi udang Halal yang sedap," katanya.
"Suami saya juga menyuruh saya menjual mi udang, supaya kami mempunyai lebih banyak pilihan di gerai itu."
Selain itu, gerainya juga menjual beberapa jenis kek yang dibekalkan oleh seorang temannya yang memiliki sebuah kedai kek.
"Ia sangat popular di Aishah's Snack Corner. Saya memutuskan untuk menjualnya bagi para pelanggan pekerja pejabat, kerana anda lazimnya tidak dapat pilihan kek-kek sebegini di sebuah pusat penjaja," katanya.
HARI PERTAMA BUKA GERAI
Sambutan bagi gerai Ah Lim Nasi Lemak sangat memberangsangkan.
"Saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan kerana saya masih baru dalam bidang ini. Namun sambutannya sangat menggalakkan. Saya mengendalikan gerai ini seorang diri dan sambutannya sangat hebat selama beberapa hari sejak ia mula beroperasi," kata Cik Aishah.
"Terdapat beberapa hari di mana masakan saya laris dijual selepas waktu makan tengah hari."
Malah, harga makanan yang dijual di gerai Ah Lim Nasi Lemak juga agak berpatutan.
Sepinggan nasi lemak boleh dibeli pada harga S$4, dan semangkuk mi udang pula dijual pada S$4.50.
Cik Aishah berkongsi bahawa suaminya turut akan menyingsing lengan pada sebelah bagi untuk membantu persiapannya sebelum membuka gerai atau pada hujung minggu apabila beliau tidak bertugas.
Cik Aishah berharap dapat menggajikan pekerja tambahan sebaik sahaja perniagaannya bertambah stabil.
"Perniagaan ini sentiasa satu risiko, akan ada pasang surutnya. Kita mesti sentiasa bersabar dan tabah," katanya.
Ah Lim Nasi Lemak terletak di #01-61 Maxwell Food Centre, 1 Kadayanallur St, S069184.
Tel: 9652-4252.
Waktu Beroperasi: Isnin - Jumaat, 9.00 pagi-3.00 petang; Sabtu, 9.00 pagi - 1.00 tengah hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.