Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agong nasihat rakyat M'sia di SG tunai tanggungjawab pengundi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru agar rakyat Malaysia yang menetap di Singapura menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini. 

“Saya ingin mengingatkan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan untuk mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang walaupun tinggal jauh sikit tetapi hati mesti tetap menunaikan tanggungjawab yang lebih berhak sebagai pengundi,” kata Agong.

Beliau berkata demikian semasa majlis jamuan malam bersama diaspora Malaysia di Hotel Shangri-La Singapura pada Khamis malam (27 Okt). 

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis jamuan itu yang turut disertai anaknya Seri Paduka Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian untuk pengundi Malaysia melaksanakan tanggungjawab pada PRU15.

Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara sudah dibuka bermula 10 Oktober untuk pilihan raya umum berkenaan dan bagi permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 2 November bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, polis, tentera, dan petugas media); 23 Oktober bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 26 Oktober bagi kategori 1C (agensi/organisasi).

Sementara itu, Agong turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menetap di Singapura dan sudah saling membantu antara satu sama lain daripada pelbagai aspek ketika kedua-dua negara berdepan pandemik COVID-19.

Turut hadir dalam majlis santapan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Amran Mohamed Zin selaku Pegawai Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Agong dan Raja Permaisuri kini dalam rangka lawatan negara ke Singapura selama empat hari yang berakhir pada Jumaat (28 Okt). 

Lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lalu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan