Skip to main content

Singapura

Agong hadiri sidang Parlimen SG semasa lawatan negara

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melakukan lawatan ke Bangunan Parlimen pada Selasa (7 Mei) dalam lawatan negara pertama beliau ke Singapura sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 May 2024 06:08PM Dikemas Kini : 08 May 2024 08:55AM
SINGAPURA: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melakukan lawatan ke Bangunan Parlimen pada Selasa (7 Mei) dalam lawatan negara pertama beliau ke Singapura sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim turut memerhatikan prosiding Parlimen, sambil diiringi oleh Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Agong juga dibawa untuk meninjau-ninjau Bangunan Parlimen.

Beliau dihoskan oleh Speaker Parlimen Seah Kian Peng yang turut menyampaikan ucapan ringkas kepada Dewan sebagai tanda hormat kepada Sultan Ibrahim.

Menurut Encik Seah, Sultan Ibrahim sentiasa berusaha gigih untuk menyatukan rakyat Malaysia dan Singapura.

Kerjasama antara Singapura dan Johor bertambah kukuh di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor, terutamanya apabila kedua-dua pihak saling berusaha untuk memastikan aliran bekalan dapat merentasi sempadan darat semasa pandemik COVID-19, menurut Encik Seah.

Beliau turut menarik perhatian bahawa Singapura dan Malaysia akan meraikan ulang tahun ke-100 Koswe pada tahun ini dan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun depan.

"Saya yakin lawatan Yang di-Pertuan Agong hari ini adalah permulaan kepada hubungan yang lebih kukuh antara Singapura dan Malaysia," kata Encik Seah.

Sultan Ibrahim sedang dalam rangka lawatan negara selama dua hari ke Singapura. Beliau ditemani isterinya Raja Permaisuri Agong Zarith Sofiah, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan para pegawai kanan lain.

Pada Isnin (6 Mei), beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan diraikan dalam satu majlis jamuan yang dihoskan oleh Presiden Tharman.

Sebelum menyertai sidang Parlimen hari ini, Sultan Ibrahim bersarapan dengan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong yang akan menjadi Perdana Menteri Singapura pada 15 Mei.

Dalam catatannya di Facebook selepas mengadakan pertemuan itu, Encik Wong berkata: Malaysia adalah jiran terdekat dan rakan kongsi penting Singapura. Hubungan kami sangat erat, disokong oleh sejarah bersama, dan diperkukuhkan oleh hubungan keluarga dan budaya.

“Saya akan terus berusaha untuk mengukuhkan hubungan kedua-dua negara kita sebagai Perdana Menteri dan berharap untuk membawa hubungan dua hala kita ke tahap yang lebih tinggi.

Sultan Ibrahim juga akan mengunjungi Laluan Thomson-East Coast bersama Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat pada Selasa (7 Mei).
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita