Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agong bertemu Presiden Halimah di London

Anggaran Waktu Membaca:
 Agong bertemu Presiden Halimah di London

Gambar: High Commission of Malaysian in United Kingdom

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertemu dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob, di Hotel InterContinental Park Lane, London, United Kingdom (UK), pada Ahad (18 Sep).

Pertemuan itu adalah atas kehendak Seri Paduka yang kini berada di London bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menghadiri istiadat pemakaman negara, mendiang Ratu Elizabeth II yang dijadualkan berlangsung pada Isnin (19 Sep). 

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata kedua-dua pemimpin menyentuh tentang pengukuhan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin sekian lama antara Malaysia dengan Singapura dalam sesi selama 45 minit bermula pukul 9.30 pagi waktu tempatan.

“Seri Paduka dan Puan Halimah turut menyentuh berkenaan usaha-usaha kerjasama mendalam antara Malaysia dan Singapura serta pelaksanaan pelbagai skim perjalanan merentas sempadan seperti Skim Laluan Hijau Timbal Balik, Skim Perjalanan Lengkap Vaksin dan Skim Pengaturan Ulang Alik Berkala.

“Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada pemerintah Singapura atas persilaan Perdana Menteri Singapura kepada Baginda untuk berangkat menghadiri perlumbaan Formula 1 Grand Prix Singapura 2022 yang akan berlangsung selama dua hari, bermula 1 Oktober ini,” kata beliau dalam hantaran di Facebook Istana Negara pada Ahad (18 Sep).

Encik Ahmad Fadil, berkata Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat melakukan lawatan negara ke Singapura selama tiga hari bermula 25 Oktober selepas tarikh lawatan asal pada 19 September ditangguhkan berikutan lawatan khas Seri Paduka berdua ke London bermula 16 hingga 21 September bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK.

Sementara itu, katanya, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Resepsi Bersama Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada pukul 6.00 petang waktu tempatan pada Ahad.

“Ia diikuti keberangkatan Seri Paduka berdua ke Westminster Hall, London untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II,” kata beliau.

Selain itu, katanya, Al-Sultan Abdullah juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Selasa ini (20 Sep).
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan