Agoda ubah suai 'ciri bermasalah' pada laman web, aplikasi
Agensi pelancongan online Agoda telah membuat perubahan pada laman web dan aplikasi mudah alihnya bagi para pengguna di Singapura, menyusuli keprihatinan mengenai 'ciri-ciri bermasalah' yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS).

Label “Padanan Terbaik” (atas) di laman web dan aplikasi mudah alih Agoda telah ditukar kepada “Pilihan Kami” (bawah). (Gambar: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura)
Ciri-ciri tersebut berkaitan dengan khidmat carian dan tempahan penginapan Agoda yang mungkin mengelirukan para pengguna.
Pada Isnin (16 Jun), CCCS menyatakan: "Agoda secara sukarela memberi jaminan dan bekerjasama dengan CCCS untuk membuat perubahan pada laman web dan aplikasi mudah alihnya untuk memastikan para pengguna mendapat maklumat yang tepat dan mencukupi untuk membuat keputusan secara berhemah sebelum membuat sebarang tempahan."
Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, CCCS menyatakan ia menyuarakan kebimbangannya kepada Agoda pada hujung tahun 2023 dan perubahan "dilaksanakan secara berperingkat" sejak 2024.
"Semua isu yang dibangkitkan oleh CCCS sudah diperbetulkan," ia menambah.
CIRI-CIRI BERMASALAH
Dalam kenyataan medianya, CCCS menyatakan beberapa ciri-ciri mengelirukan termasuk penggunaan pemasa undur (countdown timer) dan paparan dan ranking hasil carian.
Berikut antara masalah yang dikemukakan oleh CCCS dan langkah pembetulan yang diambil oleh Agoda.
- Agoda memaparkan hasil carian tertentu sebagai "Padanan Terbaik", sekali gus memberi gambaran bahawa ranking tersebut adalah hasil carian paling sesuai bagi para pengguna berdasarkan kriteria carian seperti tarikh perjalanan atau rating sesetengah produk yang disenaraikan.
Namun, hasil carian Agoda berdasarkan algoritma juga mengambil kira potensi pendapatannya apabila menjana senarai itu.
Label 'Padanan Terbaik' digantikan dengan 'Pilihan Kami', yang menunjukkan ia adalah cadangan pihak Agoda.
- Lencana "Disyorkan Agoda" diberikan pada hartanah tertentu, menunjukkan hartanah itu mempunyai "hubungan yang lama terjalin dengan Agoda dan memenuhi kriteria tertentu", sekali gus menjadikannya "lebih diyakini dan disahkan".
Namun, Agoda tidak menyediakan maklumat yang mencukupi tentang kriteria berkenaan dan tidak mendedahkan bahawa perniagaan itu memberi bayaran tambahan kepada Agoda demi mendapatkan lencana tersebut.
Ia sudah pun mengemas kini penjelasan pada laman web dan aplikasinya untuk menjelaskan bahawa hartanah itu membayar duit komisen lebih untuk mendapatkan lencana itu.
- Susunan hasil carian mungkin membuat para pengguna berasa keliru dan menyangka ia dihasilkan berdasarkan kriteria pilihan mereka.
Namun seperti tertera dalam syarat penggunaan Agoda, penyedia khidmat penginapan itu boleh menambah keterlihatan mereka dengan membuat bayaran tambahan kepada Agoda menerusi "Program Rakan Kongsi Pilihan" atau menaja penyenaraian.
Agoda telah mengubah kenyataan penjelasannya untuk menjelaskan bahawa penempatan khusus penginapan itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk pembayaran kepada Agoda.
Sebagai respons kepada kebimbangan yang diutarakan oleh CCCS, Agoda menyatakan: "Kami menghargai bimbingan CCCS dan telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan ketelusan pada platform kami.
"Kami juga telah melaksanakan beberapa penambahbaikan secara proaktif dan kami akan terus mempertingkatkan pengalaman pengguna."
Mediacorp juga telah mengajukan pertanyaan kepada Agoda mengenai sama ada perubahan itu hanya untuk pengguna di Singapura atau ia turut merangkumi para pengguna di negara lain.
MAKLUMAT HARUS 'JELAS'
CCCS menyatakan ciri-ciri antara muka pengguna (CUI) yang dilancarkan oleh perniagaan mungkin mengelirukan atau memperdaya para pengguna dan ia boleh dianggap sebagai amalan perdagangan tidak adil di bawah undang-undang perdagangan adil Singapura.
Ini bermakna perniagaan tersebut boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh suruhanjaya tersebut.
Justeru, syarikat-syarikat digesa mereka bentuk antara muka pengguna yang memaparkan pilihan secara jelas dan neutral kepada para pengguna supaya mereka boleh membuat keputusan secara berhemah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.