Skip to main content

Singapura

Agoda mohon maaf atas klausa 'tidak wajar'; bekerjasama dengan NTUC sokong pekerja terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
Agoda mohon maaf atas klausa 'tidak wajar'; bekerjasama dengan NTUC sokong pekerja terjejas

Gambar fail pejabat Agoda di Singapura (kiri) dan NTUC Centre di pusat bandar Singapura. (Gambar: Agoda Careers, iStock)

Diterbitkan : 19 Sep 2025 08:56PM
SINGAPURA: Agoda pada Jumaat (19 Sep) memohon maaf kerana memasukkan klausa "tidak wajar" dalam perjanjian pemberhentian pekerja yang tidak menggalakkan pekerja yang diberhentikan kerja daripada menghubungi dan memaklumkannya kepada kesatuan sekerja, agensi pemerintah dan badan berkanun.

Ini berikutan perbincangan antara platform pelancongan online itu dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Kesatuan Pekerja Industri dan Perkhidmatan Singapura (SISEU) yang merupakan ahli gabungan NTUC.

"Kami akur bahawa adalah tidak wajar untuk majikan memasukkan peruntukan yang tidak menggalakkan atau menghalang pekerja daripada menghubungi pihak berkuasa untuk semua situasi," menurut Agoda dalam kenyataannya.

"Ini bertentangan dengan semangat amalan pekerjaan yang adil dan bertanggungjawab di Singapura, dan Agoda memohon maaf atas sebarang syarat dan klausa dalam perjanjian kami yang memberi gambaran pekerja kami tidak boleh menghubungi agensi pemerintah, badan berkanun atau kesatuan sekerja untuk mendapatkan sokongan dan nasihat tambahan. Ini adalah hak undang-undang mereka."

Agoda juga memohon maaf atas "impak negatif" perkara itu terhadap beberapa pekerjanya, dan menegaskan bahawa ia "menyokong sepenuhnya semangat amalan pekerjaan perikatan tiga pihak yang terkenal dan dihormati di Singapura".

Dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng dan Setiausaha Eksekutif SISEU Desmond Tan berkata: “Kami menghargai pengurusan Agoda kerana mengambil pendekatan proaktif dalam melibatkan NTUC, SISEU dan pemerintah dan atas ketelusannya dalam berkongsi maklumat berhubung urusan itu.

"Pihak kesatuan juga telah memastikan bahawa faedah pemberhentian kerja yang diberikan kepada pekerja yang terjejas adalah sejajar dengan garis panduan industri."

Encik Ng dan Encik Tan menambah bahawa pengurusan Agoda telah bersetuju untuk bekerjasama dengan gerakan buruh untuk menyokong pekerja yang terjejas melalui tempoh peralihan.
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita