Agoda disiasat MOM atas klausa pampasan 'tidak wajar', NTUC terkejut
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang meneliti peruntukan dalam perjanjian bayaran pampasan yang ditawarkan kepada kakitangan Agoda yang diberhentikan kerja, menyusuli laporan bahawa kontrak-kontrak itu tidak menggalakkan para kakitangan mendampingi badan-badan pemerintah.
Gambar fail pejabat Agoda di Guoco Tower. (Gambar: Laman Agoda)
Dalam satu kenyataan kepada Mediacorp pada Rabu malam (17 Sep), MOM menyatakan ia "memandang serius" terhadap fasal tersebut.
"Adalah tidak wajar untuk para majikan menyertakan peruntukan yang tidak menggalakkan atau menghalang para kakitangan daripada menghubungi pihak berkuasa bagi semua keadaan, dan ini bertentangan dengan semangat amalan pekerjaan yang adil dan bertanggungjawab," menurut MOM.
MOM menambah bahawa, bersama dengan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP), ia sedang menyiasat perkara itu.
"Kami memandang serius kelakuan sedemikian, kerana ia menjejas kepercayaan dalam rangka kerja pekerjaan dan jalan yang tersedia untuk para pekerja dapatkan sokongan," menurut MOM.
"Jika perlu, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan."
KESATUAN SEKERJA "TERKEJUT"
Secara berasingan, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Kesatuan Sekerja Perusahaan dan Perkhidmatan (SISEU) menyatakan mereka menentang "amalan pemberhentian kerja yang didakwa tidak adil dan tidak bertanggungjawab" oleh Agoda.
Dalam satu kenyataan tegas, kedua-dua kesatuan menyatakan mereka "terkejut" bahawa Agoda didakwa memberi amaran kepada kakitangan yang diberhentikan kerja, menerusi perjanjian bayaran pampasan, supaya tidak membuat aduan kepada kesatuan sekerja, pemerintah atau pertubuhan lain atau mereka berisiko kehilangan bayaran pampasan.
"Amalan ini, jika benar, adalah tidak bertanggungjawab dan sangat dikesali," menurut NTUC dan SISEU.
"Ia bertentangan dengan hak asasi setiap pekerja - hak untuk mendapatkan ganti rugi apabila mereka berdepan isu di tempat kerja.
"Ia juga bertentangan dengan prinsip amalan pekerjaan yang adil dan progesif yang kami harapkan daripada semua majikan yang bertanggungjawab di Singapura."
Mereka menambah: "NTUC dan SISEU sangat prihatin kerana Agoda dipercayai cuba menafikan pekerjanya akses kepada sokongan penyelesaian pertikaian dan pengendalian rungutan, terutama sekali pada masa mereka amat memerlukannya.
"Para pekerja tidak seharusnya merasakan mereka diugut atau ditutup mulut ketika melaksanakan hak mereka."
Pihak kesatuan menggesa Agoda supaya menjelaskan pendiriannya dan menggesa MOM supaya menyiasat dakwaan itu, sambil mengingatkan semua syarikat supaya melayan para pekerja dengan hormat, mematuhi undang-undang pekerjaan dan garis panduan perikatan tiga pihak mengenai pemberhentian kerja secara bertanggungjawab.
Mereka menambah walaupun Agoda bukan anggota kesatuan, SISEU mempunyai anggota dalam kalangan pekerja yang terjejas.
NTUC dan SISEU menyatakan pihaknya akan menghulurkan bantuan, termasuk pemadanan pekerjaan, bimbingan kerjaya dan sokongan kewangan menerusi Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC.
Para pekerja yang terjejas boleh menghubungi SISEU secara langsung menerusi emel siseu [at] ntuc.org.sg atau melalui panggilan telefon 6220 3345.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.