Agoda berhentikan pekerja di SG, Shanghai dan Budapest; kakitangan dakwa syarat pampasan tidak adil
Platform online pelancongan Singapura menghentikan peranan pekerjaan sokongan pelanggan dalam pejabatnya di Singapura, Hungary dan China, serta mewujudkan pekerjaan baharu dalam lokasi yang lain, demikian disahkan oleh syarikat itu pada Rabu (17 Sep).
Gambar fail pintu masuk pejabat Agoda di Singapura. (Gambar: Agoda Careers)
Mediacorp difahamkan kira-kira 50 kakitangan di Singapura terjejas oleh langkah itu.
Para kakitangan dimaklumkan mengenai pemberhentian kerja itu semasa sesi 'town hall' secara tutup dan tanpa pengumuman awal pada 4 Ogos, yang menjejas para kakitangan dalam jabatan kumpulan pengalaman pelanggan (CEG) syarikat itu yang berpangkalan di Singapura, Shanghai dan Budapest, menurut seorang kakitangan jabatan itu yang terjejas oleh langkah tersebut.
Peranan yang terjejas terdiri daripada pakar khidmat pelanggan hingga ke pengurus serantau, termasuk pasukan sokongan berbilang bahasa yang membantu menjawab pertanyaan pelancong, kata seorang kakitangan yang bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, jurucakap Agoda berkata langkah mengurangkan operasi syarikat itu "selaras dengan usaha Agoda untuk penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan kecekapan operasi".
"Kami menggantung peranan sokongan pelanggan dalam pejabat kami di Budapest, Shanghai dan Singapura di samping mewujudkan peranan baharu di lokasi negara lain," kata jurucakap itu.
"Langkah itu direka untuk menggabungkan pasukan sokongan pelanggan kami dalam bidang di mana kami mempunyai fleksibiliti dan keupayaan operasi paling kukuh sedang kami terus mengembangkan perniagaan."
Dalam satu bahagian pampasan pemberhentian kerja yang dilihat oleh Mediacorp, para kakitangan diarahkan supaya tidak membuat laporan dengan mana-mana agensi pemerintah, lembaga berkanun atau kesatuan sekerja termasuk Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP).
Mereka juga diminta supaya mengelakkan daripada membuat sebarang permintaan bagi pengantaraan, tuntutan atau prosiding mengenai pekerjaan atau pemberhentian kerja mereka terhadap syarikat itu.
Mereka yang berbuat demikian dan melanggar syarat perjanjian tidak lagi layak menerima pampasan itu, menurut dokumen tersebut.
Jika sebarang bayaran pampasan dibuat oleh Agoda kepada kakitangan itu, mereka perlu membayar balik "sepenuhnya" dan "atas tuntutan" kepada syarikat itu.
Jumlah itu akan diperolehi semula sebagai hutang, beserta semua kos, termasuk kos guaman yang ditanggung oleh Agoda bagi mendapatkan semula bayaran itu, menurut dokument tersebut.
Dalam respons kepada Mediacorp, jurucakap Agoda berkata syarikat itu komited mengekalkan kewujudan yang kukuh di Singapura dan "terus mematuhi undang-undang tempatan yang relevan".
"Para pekerja yang terjejas akan disokong sepanjang proses peralihan selaras dengan piawai industri.
"Pada masa ini, para pekerja bebas mencari pilihan undang-undang alternatif atau mendampingi pihak berkuasa tempatan jika mereka mahu," kata jurucakap itu.
Mediacorp sudah menghubungi jurucakap Agoda tentang mengapa klausa itu disertakan dalam perjanjian bayaran pampasan dan juga mendapatkan komen dari MOM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.