Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AGO kesan kelemahan pada kawalan IT, pengurusan kontrak dan geran program sosial

Berapa kementerian dan agensi pemerintah dikenal pasti Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) bagi kelemahan dalam tiga bidang - pengawalan IT, pengurusan kontrak dan pengurusan geran sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Jul 2019 08:26PM Dikemas Kini : 17 Jul 2019 12:16AM

SINGAPURA: Berapa kementerian dan agensi pemerintah dikenal pasti Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) bagi kelemahan dalam tiga bidang - pengawalan IT, pengurusan kontrak dan pengurusan geran sosial.

Kelemahan-kelemahan ini dibentangkan dalam satu laporan AGO pada Selasa (16 Jun) selepas proses audit akaun-akaun pemerintah bagi tahun kewangan 2018/2019.

Audit berkenaan merangkumi kesemua 16 kementerian dan lapan badan pemerintah, empat dana pemerintah, sembilan badan berkanun, empat syarikat milik pemerintah dan tiga akaun lain.

Kementerian-kementerian dan agensi-agensi dikenal pasti laporan AGO termasuk Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Kesihatan (MOH), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Dalam responsnya terhadap laporan itu, Kementerian Kesihatan (MOF) menyatakan Pemerintah "sudah menerima semua saranan" dan agensi-agensi sedang "melakukan langkah-langkah susulan sewajarnya".

KELEMAHAN KAWALAN IT

AGO menyatakan pihaknya "menemui kelemahan dalam kawalan IT" di Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kastam Singapura dan MINDEF.

Kelemahan-kelemahan tersebut termasuk: kekurangan dalam mencatat dan menyemak kegiatan pengguna dan kelemahan dalam pentadbiran hak akses pengguna.

AGO juga mendedahkan sejak 2014, MINDEF tidak pernah menyemak rekod catatan akses yang dibuat oleh kakitangan vendor IT bagi jenis maklumat yang memerlukan akses terkawal.

Kelemahan sebegini menurut AGO, "mendedahkan entiti-entiti kepada risiko tidak berupaya mengesan akses tanpa kebenaran selain kegiatan yang boleh mengkompromi integriti dan rahsia sistem IT."

KELEMAHAN PEMEROLEHAN DAN TADBIR KONTRAK

AGO juga menemui kelemahan pada proses pemerolehan dan pentadbiran kontrak di MCCY, MUIS dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).

Bagi projek pembangunan Galeri Nasional yang dimiliki MCCY dan diurus Galeri Nasional Singapura, terdapat kelemahan dalam kelulusan variasi kontrak yang kesemuanya bernilai S$12.4 juta, menurut AGO.

"Kegagalan dalam menilai dan mengurus variasi kontrak secara sewajarnya boleh menyebabkan MCCY tidak meraih nilai penuh daripada dana awam yang dibelanjakan," menurut AGO.

KELEMAHAN MENGURUS PROGRAM GERAN SOSIAL

AGO juga menjalankan audit bertemah ke atas beberapa program geran sosial yang ditadbir MOH dan MSF.

Ia mengetengahkan sebanyak S$1.59 bilion diagihkan oleh kedua-dua kementerian di bawah program geran sosial kepada 1,058 Pertubuhan-pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO).

Bagaimanapun, AGO mendapati sebilangan ketara kejadian di mana kelulusan bagi dana atau perjanjian bagi dana dimeterai setelah bermulanya tempoh pendanaan.

Terdapat juga kes-kes di mana geran diluluskan atau diagihkan sebelum kelulusan dana didapatkan atau perjanjian dipersetujui.

Ia menekankan "pemeriksaan oleh kedua-dua kementerian bagi pengagihan geran tidak mencukupi".

PEMERINTAH SUDAH TERIMA SEMUA SARANAN: MOF

"Sebahagian kelemahan yang diketengahkan dalam laporan ini, seperti kelemahan pada kawalan IT dan kelemahan dalam perolehan dan pengurusan kontrak, sama dengan yang dilaporkan pada tahun lalu namun kini melibatkan entiti-entiti berbeza," menurut AGO.

"Amat penting bagi entiti sektor awam elak daripada mengulangi kesilapan sama dan melaksanakan tindakan berkesan untuk mempertingkat pantauan dan kawalan penggunaan dana awam.

"AGO akan berhubung lagi dengan entiti-entiti sektor awam untuk memastikan langkah susulan sudah diambil."

Sebagai respons kepada kelemahan yang diketengahkan dalam laporan berkenaan, Pemerintah "sudah menerima" semua saranan yang dibuat AGO, menurut MOF pada Selasa.

Dalam kenyataan medianya, MOF menyatakan sektor khidmat awam "sedang melakukan usaha bersepadu untuk menangani dapatan AGO".

"Sebagai penjaga sumber awam, kami kekal komited kepada sistem tadbir urus yang utuh," menurut MOF, yang menekankan laporan AGO tidak mengenal pasti sebarang kejadian penipuan atau rasuah di kalangan penjawat awam.

"Sedang kami melakukan pembaikan, kami sedar perlunya mengimbangi antara kawalan yang diperketat dengan mengekalkan kecekapan dalam menyediakan khidmat kepada rakyat Singapura."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan