Singapura iklan
Agihan Zakat MUIS catat paras rekod S$71 juta pada 2024

Pengagihan zakat MUIS yang mencecah S$71 juta pada 2024 mencerminkan kepercayaan tinggi masyarakat Muslim terhadap pengurusan dana zakat, serta kesedaran yang semakin meningkat tentang kewajipan berzakat. (Gambar: MUIS)
Peningkatan pada sumbangan daripada masyarakat Muslim Singapura itu disalurkan kepada lapan asnaf yang memerlukan dan lebih 60,000 individu bermanfaat daripada bantuan zakat tersebut.
Ini mencerminkan kepercayaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Muslim Singapura terhadap pengurusan zakat MUIS, serta kesedaran yang semakin meningkat tentang kewajipan berzakat.

“Bantuan khas Ramadan ini bertujuan untuk menyediakan keperluan tambahan kepada golongan Muslim yang kurang bernasib baik, khususnya semasa bulan Ramadan dan untuk menyuntik keceriaan pada Hari Raya.
“Bantuan ini merangkumi pengagihan wang tunai tambahan kepada penerima zakat dan anggota keluarga mereka. Ini selain bantuan kewangan bulanan yang diterima,” kata Penolong Pengarah, Pembangunan Sosial Zakat MUIS, Encik Mohamad Zulfadhli Gazali.
MUIS juga sudah memperluaskan jangkauan bantuan khas Ramadan kepada isi rumah yang biasanya tidak menerima bantuan kewangan zakat MUIS. Ini termasuk penerima skim Bantuan Jangka Panjang ComCare (LTA) dan penghuni rumah kebajikan atau institusi tertentu.
Sejak 2018, bantuan ini juga diberikan kepada mereka yang dirujuk oleh Pusat Khidmat Keluarga (FSC), dan pada tahun 2023, kepada penuntut ITE dan politeknik daripada keluarga berpendapatan rendah.
Pengagihan kepada para pelajar Muslim ini bertujuan untuk memberi sokongan tambahan kepada perbelanjaan persekolahan mereka, terutama pada bulan Ramadan dan Syawal, serta menggalak mereka untuk terus memburu ilmu.

MUIS sentiasa menyemak kriteria kelayakannya untuk memastikan Bantuan Kewangan Zakat (FA) sampai kepada mereka yang paling rentan dari segi kewangan. Penerima dinilai semasa permohonan dan tempoh bantuan adalah antara enam hingga 12 bulan, berdasarkan keperluan yang dinilai.
“Sebagai sebahagian daripada usaha MUIS untuk meningkatkan taraf hidup beberapa penerimanya, kami juga menganjurkan Program Sokongan Zakat dan Inisiatif LEAP yang meneliti keperluan pembangunan penerima, menyentuh isu-isu seperti literasi kewangan untuk mewujudkan kesedaran yang lebih baik tentang pengurusan kewangan peribadi dan membina ketahanan kewangan,” kata Encik Zulfadhli.
KETELUSAN ASAS PENGURUSAN ZAKAT MUIS
MUIS sedang mempertingkatkan langkah-langkah melaporkan kesan program-program yang dijalankannya supaya setiap pembayar zakat tahu ke mana sumbangan mereka disalurkan.
Ini juga bagi memastikan tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi terhadap dana awam yang diuruskan oleh MUIS.
Selain itu, langkah-langkah juga sudah diambil untuk membantu memudahkan proses membayar zakat menerusi akaun Zakat.SG dan kalkulator online yang dipertingkat, selain meningkatkan pemahaman dan penghayatan para penyumbang tentang zakat sebagai satu bentuk ibadah.

Pengagihan zakat ini mempunyai kesan positif yang pelbagai terhadap daya bingkas sosio-ekonomi dan pembangunan masyarakat Muslim, menurut MUIS.
Pertama, ia membantu mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang lebih kukuh, membolehkan keluarga yang lebih rentan memenuhi keperluan asas mereka.
Bantuan kewangan ini bertindak sebagai sokongan penting di tengah-tengah keadaan kos kehidupan yang semakin meningkat dan membantu mencegah keluarga-keluarga sedemikian daripada terjerumus ke dalam lingkaran kesusahan.
“Selain bantuan kewangan segera, zakat memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pendidikan dan pembangunan kemahiran. Dengan menyokong pendidikan pelajar dan menyediakan peluang latihan, dana zakat membantu membina modal insan dan meningkatkan mobiliti sosial pelbagai generasi.
“Ini selaras dengan visi MUIS untuk membangunkan masyarakat Muslim progresif yang cemerlang,” kata Encik Shamsul Hadi Jangarodin, Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat MUIS, .
KEUTAMAAN STRATEGIK BAGI PERKUKUH INSTITUSI ZAKAT
MUIS sudah menggariskan beberapa keutamaan strategik untuk memperkukuhkan institusi zakat:
- Memperluas usaha pendampingan dan pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang kewajipan dan manfaat zakat, sekali gus mengembangkan kumpulan penyumbang dan memastikan pembiayaan yang mampan, termasuk pembayar zakat daripada syarikat-syarikat perniagaan.
- Meningkatkan akses digital, termasuk menyediakan lebih banyak kios layan diri di masjid-masjid untuk memudahkan kaedah pembayaran digital.
- Memastikan ketelusan lebih tinggi dan tadbir urus lebih cekap dalam pentadbiran zakat untuk mengekalkan kepercayaan awam dan memastikan penggunaan dana yang optimum.
- "Dasar khidmat mesra pengguna" memastikan akses lebih baik kepada bantuan untuk masyarakat Muslim dan memberikan sokongan yang lebih baik kepada kumpulan yang rentan.

MUIS akan meneruskan usaha pendidikan awam untuk meningkatkan kesedaran tentang zakat bagi membantu mereka yang celik kewangan dan yang sebaliknya, memahami tentang kewajipan zakat.
MUIS juga akur betapa pentingnya untuk sentiasa mengikuti perkembangan pilihan dan tabiat pembayaran yang berubah-ubah dalam menggalak sumbangan zakat.
“Strategi digital kami memberi tumpuan kepada mengekalkan saluran pembayaran yang relevan dan mudah, yang selaras dengan amalan kewangan semasa, daripada pembayaran tunai dan cek, kepada huraian pembayaran digital kontemporari, memastikan platform kami kekal serasi dengan cara orang ramai menguruskan kewangan mereka hari ini,” tambah Encik Shamsul.
LAKSANAKAN KEWAJIPAN ZAKAT ANDA HARI INI
Sumbangan zakat anda adalah jaminan untuk masa depan yang lebih baik bagi masyarakat Muslim Singapura. Marilah kita sama-sama membina masyarakat yang lebih teguh dan penyayang. Layari www.zakat.sg untuk menunaikan zakat anda hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.