Skip to main content

Singapura

Agihan wakaf tempatan naik 6.6% kepada S$4.5 juta: MUIS

Anggaran Waktu Membaca:
Agihan wakaf tempatan naik 6.6% kepada S$4.5 juta: MUIS
Pejabat MUIS. (Gambar: MUIS)
Diterbitkan : 24 Jul 2026 10:23PM
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan mengagihkan sebanyak S$8.48 juta daripada hasil pendapatan wakaf yang ditadbir oleh MUIS bagi Tahun Kewangan 2025.

Agihan itu, menurut MUIS, akan memanfaatkan masjid-masjid, madrasah, pertubuhan Islam, badan kebajikan serta penerima manfaat lain di dalam dan luar negara.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak S$4.5 juta akan diagihkan kepada penerima manfaat di Singapura.

Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 6.6 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan MUIS pada Jumaat (24 Jul), badan itu menyatakan bahawa 18 buah masjid, tujuh buah madrasah sepenuh masa dan separuh masa, serta 30 pertubuhan Islam di Singapura akan menerima manfaat daripada agihan wakaf dalam negara.

Baki S$3.98 juta pula akan disalurkan kepada penerima manfaat di luar negara.

Dana tersebut menurut MUIS, akan memperkukuh institusi keagamaan, menyokong pendidikan Islam, serta membolehkan pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Pengumuman itu dibuat MUIS semasa Majlis Pengagihan Wakaf pada Jumaat (24 Jul) di Hab Islamic Singapura yang dihadiri sekitar 70 hadirin termasuk para penerima bantuan.

MENYOKONG MADRASAH DAN MASJID-MASJID; USAHA KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM DIPERKUKUH

MUIS menyatakan bahawa masjid-masjid akan menerima jumlah keseluruhan sebanyak $2.02 juta untuk tahun kewangan 2025.

Jumlah itu juga adalah peningkatan sebanyak 18.4 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Dana itu, menurut MUIS, akan menyokong pembangunan prasarana, program kemasyarakatan serta inisiatif peningkatan keupayaan sektor di masjid-masjid seluruh Singapura.

Dalam pada itu, sebanyak S$780,000 pula diperuntukkan kepada tujuh madrasah sepenuh dan separuh masa bagi menyokong pendidikan Islam dan usaha membangunkan generasi pemimpin agama akan datang.

Sementara itu, badan amal Islam dan pertubuhan Islam India pula menerima peruntukan wakaf sebanyak 16.1 peratus lebih tinggi berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Dengan jumlah sebanyak S$710,000, ia akan memperkukuh pelbagai program kebajikan dan sokongan masyarakat, khususnya untuk golongan warga emas, keluarga yang memerlukan serta usaha pemulihan.

Dalam pada itu, sekitar S$200,000 akan diperuntukkan bagi memenuhi keperluan pengebumian masyarakat.

Manakala S$765,000 lagi diagihkan kepada waris yang layak mengikut syarat yang ditetapkan dalam surat ikatan wakaf masing-masing.

Menurut Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen, agihan tahun ini mencerminkan peranan wakaf yang terus memberi manfaat kepada masyarakat hasil sumbangan para pewakaf.

"Setiap dolar yang diagihkan memenuhi hasrat seorang wakif, membantu mereka yang memerlukan, serta meneruskan legasi sumbangan yang memperkukuh masjid, madrasah dan masyarakat secara keseluruhannya," katanya.

MUIS akan terus memelihara amanah tersebut dengan memastikan aset wakaf diurus secara mampan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang, tambah Encik Kadir.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita