Agihan token TraceTogether hanya di balai rakyat kawasan undi penduduk
Para penduduk kini hanya dibenarkan untuk mengambil token TraceTogether daripada balai rakyat yang terletak di kawasan undi masing-masing saja.
(Gambar: Reuters/Edgar Su)
SINGAPURA: Para penduduk kini hanya dibenarkan untuk mengambil token TraceTogether daripada balai rakyat yang terletak di kawasan undi masing-masing saja. Ini menurut Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan pada lewat Isnin (26 Okt).
Setakat sehingga Isnin (26 Okt), para penduduk dibenarkan untuk mengambil token dari balai rakyat di luar kawasan undi masing-masing.
Mulai Selasa, pengambilan token itu dihadkan kepada balai rakyat kawasan undi penduduk. Para penduduk boleh mendapatkan butiran lanjut mengenai pengagihan token itu melalui laman TokenGoWhere.
"Semua kawasan undi akan mengagihkan token itu. Oleh itu kami menggesa orang ramai supaya menunggu sehingga token TraceTogether diagihkan di kawasan undi masing-masing," menurut SNDGO.
Butiran lanjut mengenai jadual pembukaan pusat-pusat agihan akan didedahkan kelak, tambahnya.
Program TraceTogether, yang meliputi kedua-dua aplikasi dan token tersebut, bertujuan untuk meningkatkan lagi usaha pengesanan kontak di negara ini.
TraceTogether membantu pengesan kontak mengenal pasti individu yang berada berdekatan dengan kes COVID-19 semasa tempoh berjangkit, manakala SafeEntry membantu pesakit COVID-19 ingat tempat-tempat yang dikunjungi supaya pihak berkuasa dapat mengenal pasti tempat-tempat yang berpotensi menjadi kelompok penularan virus tersebut.
SNDGO mengumumkan pada minggu lalu bahawa proses mendaftar masuk SafeEntry menggunakan hanya aplikasi atau token TraceTogether akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di tempat-tempat yang dikunjungi ramai seperti tempat kerja, sekolah, pusat beli-belah, cawangan makanan dan minuman serta hotel menjelang hujung tahun ini.
Langkah itu penting sedang Singapura membuat persiapan untuk membolehkan lebih banyak acara berskala besar dianjurkan di sini, di samping membuka selanjutnya ekonomi negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.