Agihan terakhir Baucar GST 2022 pada Jan & Feb
(Gambar fail: Calvin Oh/CNA)
SINGAPURA: Keluarga warga Singapura yang layak akan menerima agihan keempat dan terakhir Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) - diagihkan pada setiap tiga bulan - bagi tahun kewangan ini pada Januari dan Februari depan.
Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat (30 Dis).
Ini merupakan agihan keempat bagi tahun kewangan 2022 di bawah skim tetap Baucar GST serta Pakej Jaminan (AP), yang bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana membiayai GST dan perbelanjaan sara hidup lain.
Rebat berkenaan diagihkan pada bulan April, Julai, Oktober dan Januari setiap tahun.
Sekitar 950,000 keluarga warga Singapura yang menetap di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat GSTV - U-Save dan rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Januari 2023.
Keluarga yang layak akan menerima seganda rebat U-Save biasa mereka pada FY2022 - bersamaan dengan kira-kira lapan hingga 10 bulan bil api air bagi purata keluarga yang menetap di flat HDB satu dan dua bilik.
Bagi purata keluarga yang tinggal di flat tiga dan empat bilik, jumlah rebat adalah sekitar empat hingga enam bulan bil api air.
Rebat berkenaan akan dimasukkan langsung ke dalam akaun api air isi rumah yang diuruskan penyedia SP Services.
Rebat GSTV - S&CC pula akan dimasukkan langsung ke akaun S&CC isi rumah, yang diuruskan oleh Majlis bBandaran masing-masing.
Keluarga tidak perlu membuat sebarang tindakan demi meraih manfaat daripada rebat-rebat tersebut.
Pada Januari, setiap isi rumah Singapura juga akan menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) berjumlah S$300, yang boleh digunakan di perniagaan runcit dan pusat penjaja di estet perumahan yang mengambil bahagian serta juga di pasar raya.
Warga Singapura berpendapatan rendah yang berusia 55 tahun dan ke atas juga akan menerima wang tunai sehingga S$300 di bawah GSTV - Tunai (Bonus Warga Emas) pada Februari 2023.
Warga emas yang layak dalam kumpulan usia berkenaan juga akan menerima S$150 dalam Akaun MediSave Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka di bawah MediSave AP.
Kanak-kanak Singapura berusia 20 tahun dan ke bawah juga akan meraih faedah daripada tokokan MediSave.
Warga Singapura digalak untuk menghubungkan nombor kad pengenalan (NRIC) mereka kepada akaun Paynow sebelum 24 Januari untuk menerima GSTV - Tunai (Bonus Warga Emas) seawal 3 Februari.
Bagi yang tidak menghubungkan NRIC mereka kepada akaun Paynow, mereka akan menerima wang itu menerusi akaun bank yang diberikan kepada Pemerintah, mulai 13 Februari.
Sebaliknya, mereka juga boleh mengeluarkan bayaran tunai di mesin-mesin juruwang automatik (ATM) OCBC di serata Singapura. Ini dibuat dengan memasukkan Nombor Rujukan Pembayaran, yang akan dihantarkan kepada mereka dari 15 Februari, selain NRIC dan setelah lulus pengesahan wajah mereka. Mereka tidak perlu mempunyai sebuah akaun OCBC untuk mengeluarkan bayaran di ATM OCBC.
"Warga Singapura yang memerlukan bantuan untuk mengeluarkan wang dek keadaan perubatan mereka boleh melayari laman web Pakej Jaminan untuk maklumat lanjut," menurut MOF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.