Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agihan kedua baucar CDC bantu imbangi kenaikan harga barangan, rancakkan perniagaan di kawasan kejiranan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Peniaga di kawasan-kawasan kejiranan seperti Cik Ivana Abdul Syukur menyaksikan kenaikan pada penjualan mereka sejak pengagihan kedua baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Pemilik gerai nasi padang, Mahan Food yang terletak di Blok 132 Jurong Gateway Road itu menyaksikan keuntungannya naik sehingga lebih 60 peratus. 

"Pelanggan banyak. Dahulu kalau dalam kemasukan kewangan itu sampai malam saya dapat dalam S$1,600 hingga S$1,700. Sekarang Alhamdulillah sampai S$2,000 hingga S$2,600," kata Cik Ivana.

Selain pembayaran menggunakan baucar digital menerusi telefon bimbit, beliau turut menerima penggunaan baucar fizikal. 

Meski sibuk melayan pelanggan daripada jam 5.30 pagi hingga 9.30 malam setiap hari, ia tidak mendatangkan masalah baginya.

(Ivana Abdul Syukur, Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami kan sudah dibantu (menerusi skim baucar CDC) jadi kami bersyukurlah. Jadi pelanggan mahu bayar menggunakan baucar fizikal atau telefon bimbit ke, kita layan," tambah Cik Ivana.

Sebanyak 1.22 juta isi rumah layak menerima baucar CDC dalam pengagihan kedua.

Pengagihan kedua baucar itu bermula pada 11 Mei lalu. 

Dalam masa tiga hari sahaja pengagihan kedua itu dimulakan, hampir 50 peratus rakyat Singapura sudahpun menggunakan baucar tersebut.

Awal sebelum ini pemerintah turut mengumumkan bahawa baucar CDC akan diagihkan setiap tahun sehingga 2024 dengan nilainya dinaikkan kepada S$200 dan akan diperluaskan kepada pasar raya.

Selain membantu merancakkan lagi perniagaan kedai-kedai kejiranan termasuk gerai-gerai makanan, baucar itu bertujuan membantu para penduduk tangani kenaikan harga barangan dan GST.

BAUCAR CDC BANTU IMBANGI KENAIKAN HARGA BARANGAN ASAS

Antara keluarga yang meraih manfaat adalah keluarga Encik Raden Abdul Rahem. 

Kos perbelanjaan bulanan keluarga tiga beranak itu boleh mencecah hampir $7,000. 

Ini termasuk kos perbelanjaan barang dapur, bil elektrik dan telefon serta kos rawatan bagi penyakit barah hidung (NPC) yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.

Tambahan pula, Encik Raden tidak lagi dapat meneruskan tugas sebagai pemandu bas privet manakala isterinya, Cik Jamilah Mohd Said, 59 tahun juga terpaksa bekerja akibat masalah kaki sekali gus menjadi penjaganya sepenuh masa.

Anak lelaki mereka yang berusia 23 tahun juga sedang menjalani perkhidmatan negara.

Mereka hanya bergantung kepada bantuan kewangan bulanan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan badan-badan agama lain untuk menampung kos.

Mujur, bantuan baucar CDC sebanyak S$100 yang sudah dua kali diagihkan pemerintah kepada rakyat, sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan keluarga itu.

Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah kenaikan harga barangan harian seperti minyak, gula dan ayam. 

"Mungkin kalau kita bandingkan dengan waktu tiga, empat tahun lepas, kos standard kehidupan dengan harga elektrik pun naik, harga bil air juga naik. Habis kos kehidupan, barang-barang yang kami beli dari kedai-kedai ini pun naik juga. Pasar biasa pun naik harga juga. Jadi mungkin kalau dapat jumlah pemberian itu, dapat dilebihkan, dapat juga membantu kita, meringankan beban kita ini," kata Encik Raden.

Agihan baucar CDC itu juga mengajar pasangan yang menetap di flat empat bilik di Choa Chu Kang itu untuk jimat berbelanja.

(Raden Abdul Rahem dan Jamilah Mohd Said, Gambar: Syawal Yusoff)

"Pada tahun pertama (agihan) itu, kami tak pandai sangat. Jadi kami pergi ke satu kedai, kami berbelanja. Saya rasa dalam satu hari itu habis berbelanja dan itu lebih kepada membeli makanan beku.

"Namun tahun kedua (agihan), kami sudah bijak sikit dan pandai kawal jadi ia mengambil beberapa hari untuk habis digunakan," kata Cik Jamilah, 59 tahun. 

Mereka yang sering keluar berdua untuk berbelanja juga tidak janggal dengan teknologi dan selesa membuat tebusan baucar dengan telefon bimbit.

Menurut Cik Jamilah: "Cara penggunaannya amat memudahkan kami sebab kami selalunya membawa telefon bimbitkan jadi ia lebih mudah digunakan berbanding baucar fizikal. Kadang-kadang (baucar fizikal) tertinggal di rumah atau terkoyak."

Orang ramai boleh lungsuri lelaman berikut untuk menyemak senarai 16,000 kedai-kedai kejiranan untuk menebus baucar mereka di sini

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan