Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi umrah ubah tarikh pulang demi manfaatkan VTL S'pura-Saudi, elak SHN 7 hari

Menyusuli pengumuman mengenai Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin atau VTL Singapura-Arab Saudi, agensi-agensi umrah tempatan kini mengubah sebahagian tarikh kepulangan pakej umrah masing-masing demi memanfaatkan skim tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menyusuli pengumuman mengenai Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin atau VTL Singapura-Arab Saudi, agensi-agensi umrah tempatan kini mengubah sebahagian tarikh kepulangan pakej umrah masing-masing demi memanfaatkan skim tersebut.

Ini kerana dengan berbuat demikian, jemaah umrah masing-masing tidak perlu melalui Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari apabila pulang ke Singapura nanti.

Misalnya, syarikat umrah Noor Mohamad Services & Travel. Ia sudahpun membuat tempahan untuk berangkat ke Arab Saudi pada 26 November ini bagi 15 jemaah umrahnya dan mereka dijadual pulang ke Singapura pada 5 Disember.

Bagaimanapun penerbangan pulang menerusi skim VTL Singapura-Arab Saudi pula hanya bermula pada 6 Disember dan sudahpun boleh ditempah menerusi laman Scoot.

Demi memanfaatkan skim VTL itu, di mana jemaah umrah tidak perlu menjalani SHN tujuh hari, syarikat Noor Mohamad kini cuba mengalihkan tarikh keberangkatan pulang kepada 6 Disember.

6 Disember merupakan hari penerbangan sulung bagi VTL Singapura- Arab Saudi.

JEMAAH PERLU TANGGUNG KOS TAMBAHAN LEBIH S$400

Namun menurut Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, masih ada beberapa perkara yang perlu pihaknya pertimbangkan dahulu.

"Yang pertama iaitu penerbangan Scoot itu sendiri - sama ada kita boleh menganjakkan tarikh tersebut kepada dua hari kemudian. Dan kedua bagi penginapan kami di Makkah sama ada mereka ada bilik yang boleh kami gunakan untuk tambahan dua malam lagi," terang Ustazah Juyda.

Sebelum itu dapat dilakukan pihak agensi juga perlu memeriksa dengan para jemaah sama ada mereka bersedia menanggung kos lebih tinggi bagi membuat perubahan-perubahan tersebut.

"Sekiranya dapat penambahan dua malam, dan sekiranya dapat lanjutkan dari segi penerbangan, maka kos akan lebih tinggi." tambahnya lagi.

Menurut syarikat Noor Mohamad lagi, kos tambahan menukar jadual penerbangan dan tambahan bermalam di hotel mungkin mencecah lebih $400 bagi setiap jemaahnya.

SHAHIDAH TRAVEL & SCOOT SERAP SEDIKIT KOS

Sebuah lagi syarikat yang mahu memanfaatkan skim VTL bagi penerbangan pulang dari Jeddah ialah Shahidah Travel.

Mengikut jadual asal 15 jemaahnya berangkat pulang pada 4 Disember, namun kini syarikat tersebut berunding dengan Scoot untuk menangguhkannya kepada 6 Disember.

"Harga untuk tukar tarikh tiket, harganya S$350. Dan bahagian tambahan hari hotel semua harganya hampir S$400. Semua sekali ada S$750, jemaah hanya bayar S$300 sahaja. Kita minta kerjasama Scoot," kata pemilik dan Pengarah Urusan syarikat itu, Encik Ayoob Angullia.

Encik Ayoob menjelaskan, jemaahnya hanya membayar S$300 kerana pihak Scoot dan Shahidah Travel bersetuju menyerap kos lebihannya demi membolehkan jemaah menikmati penerbangan sulung VTL dari Jeddah itu.

AGENSI TERIMA LEBIH BANYAK PERTANYAAN EKORAN VTL SPURA-ARAB SAUDI

Pengumuman VTL Singapura-Arab Saudi semalam (15 Nov) kini mungkin menjadi durian runtuh bagi syarikat-syarikat umrah tempatan.

Syarikat Noor Mohamad misalnya memberitahu BERITAmediacorp ia kini melihat lebih ramai pertanyaan dari pelanggan.

Memandangkan pengumuman mengenai VTL Singapura-Arab Saudi baru dibuat semalam, ia menjangkakan lebih banyak lagi panggilan akan muncul dari pelanggan pada hari-hari mendatang.

Ia meramalkan permintaan bagi pakej-pakej umrahnya mungkin meningkat antara 20% hingga 30% dengan perkembangan terbaru ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa