Agensi SG bekerjasama dengan Shell untuk bersihkan 30-40 tan metrik tumpahan minyak yang bocor ke laut
Beberapa agensi Singapura sedang bekerja rapat dengan syarikat petrokimia Britain, Shell untuk membersihkan campuran minyak dan air di kawasan laut antara Pulau Bukom dan Bukom Kecil.

(Gambar: Facebook/Grace Fu)
Dalam satu kenyataan pada lewat petang Isnin (21 Okt) Shell berkata tumpahan sekitar 30 hingga 40 metrik tan bocor daripada saluran paipnya ke dalam air pada Ahad (20 Okt).
Menurut Shell, ia sedang "bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menguruskan kerja-kerja pembersihan".
"Kebocoran itu berhenti sejak pukul 3.00 petang semalam. Kami sudah menggunakan pelampung pembendungan, bot antipencemaran dan menyembur bahan kimia untuk membendung dan memecahkan minyak itu sebagai sebahagian daripada usaha pembersihan yang berterusan," qmenurut Shell.
"Keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai dan menghadkan kesannya pada sekitaran sedang kita berusaha untuk menyelesaikannya secepat mungkin. Kami menghargai sokongan dan kerjasama dari pihak berkuasa dan masyarakat sedang kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan impaknya."
Dalam satu kenyataan media bersama pada lewat petang Isnin, agensi-agensi tersebut menyatakan bahawa setakat pukul 3.00 petang tadi, tiada lagi tumpahan minyak dilihat selain daripada minyak yang bocor di saluran antara Pulau Bukom dengan Bukom Kecil.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), PUB, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), Agensi Makanan Singapura (SFA), Penguasa Tanah Singapura (SLA), JTC dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).
Sebagai langkah berjaga-jaga, sistem penahan terapung minyak (buster) dikerahkan oleh MPA di Changi dekat ruang masuk bahagian Selat Johor Timur untuk mengumpulkan tompokan minyak, dan mencegah kemungkinan tumpahan minyak itu merebak di luar perairan pelabuhan Singapura, tambah kenyataan itu.
Satu lagi sistem 'buster' turut digunakan di kawasan barat Singapura 'sebagai langkah berjaga-jaga'.
Walaupun tiada tumpahan minyak dikesan di Sentosa, Taman Marin Subar Darat (Sister's Island), Taman Semula Jadi Labrador, Taman East Coast dan Taman West Coast sejauh ini, semua agensi itu telah meletakkan pelampung penyerap minyak sebagai langkah berjaga-jaga di lokasi-lokasi tersebut.
Ini termasuk di kawasan lagun di Taman Marin Subar Darat, Berlayer Creek dan Rocky Shore di Taman Semula Jadi Labrador, serta di hutan-hutan bakau dan beberapa kawasan utama di Marsh Garden di Taman West Coast dan tempat-tempat utama di Taman East Coast.
Pintu pagar di Sentosa Cove juga ditutup dengan pelampung penyerap minyak ditempatkan di sana.
"Selain itu, alat pembendung minyak juga diletakkan di beberapa kawasan utama di Sentosa, termasuk di ketiga-tiga pantai yang masih dibuka bagi kegiatan darat dan air."
Kesemua agensi itu juga menyatakan tiada tumpahan minyak dikesan di Pulau Tembakul (Kusu), Pulau Seringat, Bendera (St John's Island), Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus Island) dan Pulau Hantu.
"SLA akan terus menilai jika pelampung penyerap minyak diperlukan di kawasan lagun pulau-pulau berkenaan," menurut kenyataan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.