Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi sains dan teknologi baru Home Team beri tumpuan kepada robot, keupayaan pengawasan

Agensi sains dan teknologi baru Home Team akan menumpukan perhatian kepada teknologi baru dan canggih seperti keupayaan pengesanan dan pengawasan, forensik serta robotik dan sistem tanpa pemandu, menurut Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri (MHA), Josephine Teo.

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi sains dan teknologi baru Home Team beri tumpuan kepada robot, keupayaan pengawasan

Sebuah kamera polis yang dipasang di sebuah blok HDB. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 11:58PM Dikemas Kini : 02 Mar 2019 12:05AM

SINGAPURA: Agensi sains dan teknologi baru Home Team akan menumpukan perhatian kepada teknologi baru dan canggih seperti keupayaan pengesanan dan pengawasan, forensik serta robotik dan sistem tanpa pemandu, menurut Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri (MHA), Josephine Teo.

Berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan kementeriannya di Parlimen hari ini (1 Mac), Cik Teo berkata sains dan teknologi membantu Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) melindungi Singapura dan memastikan agar rakyat Singapura selamat, di tengah-tengah landskap yang berdepan dengan jumlah besar ancaman pengganasan, serta jenis jenayah yang kian berubah-ubah dengan bantuan teknologi dan beban kerja yang semakin meningkat.

Cik Teo menarik perhatian bahawa buat masa ini, teknologi sudahpun dimanfaatkan dalam usaha melindungi pusat-pusat pemeriksaan di Singapura.

Kementerian itu mengendalikan lebih 212 juta pengunjung dan 10 juta konsainan, kontena dan bungkusan di pusat-pusat pemeriksaan pada 2018. Beliau berkata, jumlah itu masing-masing dijangka meningkat sekitar 40 peratus dan 70 peratus menjelang 2025.

Bagi menangani peningkatan itu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan melaksanakan Sistem Pengesanan Biometrik 'BioScreen-Multi Modal' pada lewat tahun ini bagi mewujudkan proses pelepasan imigresen yang 'lebih berkesan dan selamat', kata Cik Teo.

MENGHASILKAN TEKNOLOGI BARU DAN CANGGIH

Cik Teo juga menarik perhatian kepada tiga bidang keupayaan utama yang memerlukan peningkatan:

1. Keupayaan pengesanan, membuat pertimbangan dan pengawasan

MHA sudah membuat pelaburan besar terhadap keupayaan pengawasan, komand dan kawalan serta membuat pertimbangan.

Misalnya, Pusat Komand Operasi Polis menggunakan rakaman video masa nyata dan data untuk mempertingkatkan respons terhadap insiden, manakala kamera polis (PolCam) pula membantu mencegah jenayah seperti kerosakan hartanah disebabkan gangguan pemiutang tanpa lesen sebanyak lebih 80 peratus.

Menurut Cik Teo, terdapat juga rancangan untuk terus mempertingkatkan bidang tersebut. Beliau berkata, analitik video misalnya akan membolehkan Home Team untuk mengesan penjenayah dan pengganas dengan lebih pantas.

2. Keupayaan forensik

Menteri itu juga menyentuh mengenai langkah-langkah forensik, sambil berkata bahawa polis sedang meninjau-ninjau pendigitalan data forensik dan melengkapi sistem forensik dengan kecerdasan bagi meningkatkan analisis.

Makmal-makmal forensik digital juga akan mempertingkatkan keupayaannya untuk mendapatkan bukti daripada alat-alat digital, tambahnya.

3. Keupayaan robotik dan sistem tanpa pemandu

Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sudahpun menggunakan robotik dan sistem tanpa pemandu untuk mempertingkatkan operasinya dan usaha itu akan diteruskan, kata menteri tersebut.

Misalnya, robot boleh membantu para anggota bomba memadam kebakaran berskala besar dengan lebih berkesan dan selamat manakala kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), atau dron, pula mempertingkatkan kesedaran para komander mengenai keadaan.

MEMBANGUNKAN KEUPAYAAN DALAMAN

MHA sudahpun bekerjasama dengan agensi-agensi Pemerintah seperti Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) dan DSO, serta agensi-agensi dari sektor privet seperti ST Engineering dan Singtel untuk membangunkan keupayaan tersebut, kata Cik Teo.

Bagaimanapun untuk melanjutkan penggunaan teknologi, adalah penting untuk membangunkan sebuah agensi khas untuk terus membangunkan keupayaan sains dan teknologi Home Team, katanya.

Beliau menjelaskan bahawa keupayaan seperti forensik, biometrik dan pengawasan akan "menjadi lebih kritikal" bagi melindungi Singapura dan kementerian itu "mesti mengikut perkembangan" dalam bidang-bidang tersebut.

Kebanyakan keupayaan ini juga adalah "unik bagi Home Team" dan seperti negara-negara lain, ia juga memerlukan para saintis dan juruteranya sendiri, tambahnya.

Agensi itu akan menjalankan penyelidikan dan membangunkan sistem-sistem baru untuk penggunaan di Home Team, dan ia akan membantu pelaburan langsung dalam pembangunan keupayaan - yang akan naik lebih seganda dari S$979 juta pada Tahun Kewangan 2019 kepada S$1.9 bilion pada Tahun Kewangan 2025, katanya lagi.

Terdapat juga rancangan untuk membentangkan rang undang-undang di Parlimen bagi membangunkan sebuah agensi khas menjelang akhir tahun ini, sebagai sebuah lembaga berkanun di bawah MHA, tambahnya.

KESELAMATAN DATA PENTING BAGI MELINDUNGI KEYAKINAN AWAM

Cik Teo juga akur mengenai keprihatinan tentang keselamatan data, seperti yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja Low Thia Khiang. Beliau berkata ini merupakan satu isu penting, terutamanya kerana penggunaan teknologi dan data kini semakin meningkat di seluruh Home Team.

Beliau menjelaskan bahawa garis panduan ketat mengenai bagaimana data diakses, disimpan dan dilindungi sudahpun dikuatkuasakan.

Selain itu, terdapat juga sistem-sistem bagi mengesan dan memantau data yang diakses atau diubah, dan siapa yang melakukannya, bagi melindungi data itu daripada disalahgunakan serta memastikan agar data tersebut adalah benar dan selamat, tambahnya.

Cik Teo juga menekankan bahawa jika seseorang rakyat mengesyaki bahawa data peribadinya disalahgunakan oleh seseorang pegawai, individu itu seharusnya menghubungi MHA atau GovTech, dan "tindakan displin" kemudian akan diambil.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan