Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi Penyakit Berjangkit baru akan ditubuhkan bagi selia pencegahan, kawalan & tindak balas terhadap wabak

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Mar 2023 06:25PM Dikemas Kini : 21 Mar 2023 10:22PM
SINGAPURA: Singapura akan menubuhkan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) yang baru untuk menyelia kesediaan, pencegahan dan kawalan, pemantauan, serta penilaian risiko dan tindak balas terhadap penularan wabak, umum Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (21 Mac).

Berucap di Parlimen sewaktu perbahasan Kertas Putih COVID-19, Encik Ong turut mengongsi perincian mengenai perubahan yang akan dilakukan terhadap sistem jagaan kesihatan Singapura pascapandemik.

Agensi baru di bawah Kementerian Kesihatan (MOH) itu akan menggabungkan tugas kesihatan awam di bawah kementerian berkenaan, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), menurut Menteri Kesihatan itu.

Makmal Kesihatan Awam Nasional akan dipindahkan ke CDA dan agensi berkenaan juga akan menyelia kemudahan klinikal di NCID, tambahnya.

"Banyak negara, seperti Korea Selatan, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), mempunyai struktur serupa. Mereka juga menyemak semula struktur pertubuhan mereka menyusuli krisis COVID-19," kata Encik Ong.

Kumpulan Strategi dan Operasi Krisis (CSOG) di bawah MOH yang ditubuhkan sewaktu pandemik, akan dikekalkan, kata Encik Ong.

CSOG menyelia operasi berhubung pandemik seperti pengesanan kontak, kuarantin di rumah, pemindahan pesakit ke kemudahan pengasingan diri, ujian COVID-19, vaksinasi dan pemulihan di rumah, tambahnya.

Ia dikelolakan para pegawai dari pelbagai kementerian, pekerja kontrak dan kakitangan lain dari industri-industri yang terjejas oleh COVID-19.

"Buat masa ini, kebanyakan kakitangan tersebut sudah pulang ke industri mereka. Kami sedih melihat mereka pergi tetapi kami juga gembira kerana mereka kembali ke industri mereka. Operasinya sudah banyak berkurangan," kata Menteri Kesihatan itu.

"Walau demikian, kami akan mengekalkan pasukan tetap CSOG untuk mengekalkan kesediaan bagi penularan bersaiz sederhana serta kecemasan kesihatan lain. Ini termasuk mempersiapkan institusi-institusi jagaan kesihatan untuk bersiap sedia dalam menghadapi krisis."

Selain penularan wabak dan kecemasan jagaan kesihatan, CSOG akan membantu mengelolakan SG Lebih Sihat memandangkan kemahiran yang diperlukan "agak serupa", kata Encik Ong.

Pasukan Simpanan Jagaan Kesihatan yang dibentuk oleh bekas pekerja jagaan kesihatan dan sukarelawan juga akan ditubuhkan, tambahnya.

"Kami akan melatih dan melengkapkan mereka bagi memperkukuh operasi kami sewaktu penularan lebih dahsyat dan mereka akan saling melengkapi pasukan sukarelawan SG Healthcare Corps yang sedia ada," ujar Encik Ong.

Jawatan Pengarah Khidmat Perubatan MOH, atau pegawai yang mengawal selia penyediaan semua khidmat kesihatan di Singapura, akan diubah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, umum Encik Ong.

Profesor Kenneth Mak kini menyandang jawatan Pengarah Khidmat Perubatan MOH. Nama jawatannya itu akan diubah menyusuli pindaan pada Akta Khidmat Jagaan Kesihatan yang akan berkuat kuasa lewat 2023, tambah Menteri Kesihatan itu.

"Dengan perubahan tersebut, MOH akan diatur untuk memberi perhatian kepada kedua-dua khidmat klinikal dan kesihatan awam. Ia memerlukan naluri, pertimbangan, keupayaan dan kemahiran yang berbeza. Kedua-duanya penting dan kritikal, dan akan diinstitusikan dan diperkukuh di bawah MOH."
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan