Agensi pemerintah, pemilik perniagaan bincang tutup semula Haji Lane kepada kenderaan

Haji Lane. (Gambar-gambar: Emillia Amin/BERITAmediacorp)
BERITAmediacorp: Pihak berkuasa memberi jaminan, penutupan jalan di Haji Lane akan dikembalikan seperti biasa namun dengan syarat pemilik perniagaan mematuhi peraturan keselamatan tertentu.
Penutupan jalan popular itu digantung sejak Mac 2020 sejajar langkah keselamatan COVID-19 dan sekatan perhimpunan di seluruh negara.
Para pemilik perniagaan mengadu perniagaan mereka terjejas kerana tidak lagi dapat menggunakan jalan itu sepenuhnya termasuk meletakkan meja dan kerusi di luar kedai.
Ini terutamanya menjejas pemilik kedai F&B yang tidak boleh lagi menerima seramai pelanggan sekarang, kata Encik Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed, pemilik The Halal Corner.
"Selalunya meriah orang duduk di luar, mungkin mereka jalan-jalan, dan kami akan dapat pelanggan dari sana, kita semua satu sistem. Kalau orang dah tahu, tak boleh datang duduk, mereka tak akan datang langsung. Perniagaan lain juga akan terjejas. Pelancong juga ramai. Kereta banyak lalu, tak selamat kerana jalan kecil. Pelancong suka ambil gambar di tengah-tengah jalan," kata beliau.
Encik Asyraf merupakan antara pengendali yang perlu menyimpan semula meja yang diletakkan di luar, setelah diingatkan pihak berkuasa dalam satu surat yang dikeluarkan pada 8 Jun tentang peraturan COVID-19 yang masih berkuat kuasa.
Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, enam agensi pemerintah - Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Pasukan Polis Singapura (SPF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dalam kenyataan bersama menjelaskan mereka memerhatikan sejak kebelakangan ini "kegiatan-kegiatan seperti meletak kerusi dan meja untuk pelanggan makan dan minum di jalan raya tanpa pelan pengurusan betul untuk memastikan akses kecemasan."
"Kegiatan-kegiatan ini menghalang laluan kenderaan kecemasan dan menimbulkan kemungkinan bahaya kebakaran dan keselamatan.
"Selain itu, barang-barang yang diletak di kaki lima dan dan jalanan terbuka juga mungkin menghalang akses pejalan kaki," menurut kenyataan itu lagi.
Demi persefahaman dan wawasan bersama agar Haji Lane kekal relevan, persatuan perniagaan One Kampong Gelam mengaturkan perbincangan antara pemilik perniagaan dengan pemerintah.
Pihak berkuasa juga menyatakan, penutupan jalan boleh dikembalikan dengan syarat peniaga "melaksanakan pelan pengurusan yang betul untuk memastikan keselamatan awam seperti memudahkan pergerakan kenderaan kecemasan".
Kerjasama itu dialu-alukan pemilik kafe Rumi The Poet's Cup, Encik Syahruramadhan yang menyaksikan jumlah pelanggannya berkurangan sebanyak separuh selepas tidak dapat meletak meja di jalanan.
"Saya boleh anggarkan, waktu kita boleh menggunakan jalan ini, Rumi boleh dapat sekitar 6,000 lebih orang sebulan. Tetapi lepas kita tak boleh menggunakan jalan ini, 3,600 oranag atau separuh, jadi boleh saya katakan 50 peratus.
"Harapan kami semua bagi Haji Lane agar kami dapat bekerjasama dengan pemerintah untuk mengembalikan semangat Haji Lane seperti dulu, kita boleh gunakan jalan ini. Tetapi pada masa sama, kita pun boleh memastikan keselamatan awam tetap akan terjaga."
Pihak berkuasa menambah, perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan juga selaras dengan pelonggaran bertahap-tahap langkah pengurusan selamat COVID-19 dan penyambungan semula perniagaan dan kegiatan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.