Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi pemerintah kendali kerja pembersihan tumpahan minyak dengan baik, SOP berkesan: Chee Hong Tat

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi pemerintah kendali kerja pembersihan tumpahan minyak dengan baik, SOP berkesan: Chee Hong Tat

Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat berucap di satu sidang media pada 24 Jun 2024 berhubung operasi pembersihan tumpahan minyak. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan berkesan dalam membersihkan 400 tan minyak yang mengalir di perairan Singapura menyusuli satu kemalangan maritim baru-baru ini.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat.

Agensi-agensi pemerintah, rakan industri dan sukarelawan juga telah berjaya dalam menangani insiden berkenaan, kata Encik Chee, yang menyelia Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), di sidang media pada Isnin (24 Jun).

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu turut hadir di sidang media tersebut.
Encik Chee menjawab pertanyaan sebab pelampung penyerap (containment booms) tidak digunakan terlebih dahulu di sekitar pantai seperti Sentosa dan Taman East Coast untuk mencegah minyak daripada sampai ke kawasan tersebut.

Tumpahan minyak itu berlaku pada petang 14 Jun setelah sebuah kapal dari Belanda melanggar kapal tangki minyak yang tidak bergerak, sekali gus menyebabkan minyak daripada tangki kapal itu mengalir ke laut.

Memberikan garis masa kejadian itu, Encik Chee berkata respons terhadap insiden berkenaan sejajar dengan standard industri.

Kapal peronda MPA yang pertama tiba 11 minit selepas kejadian berlaku pada 2.33 petang untuk menyembur bahan pecahan minyak ke dalam air, dan pada 2.55 petang, MPA menghubungi kontraktor T&T Salvage Asia untuk meletakkan pelampung penyerap di sekitar kapal yang rosak.

Pasukan dari T&T Salvage memerlukan beberapa jam untuk mengangkut peralatan berat tersebut dan beberapa jam lagi untuk pergi ke tapak nahas, jelas Encik Chee. Bot berkenaan tiba di lokasi pada pukul 9.41 malam.

Meskipun terdapat cabaran untuk bekerja pada sebelah malam dan dalam keadaan cuaca buruk, T&T "berjaya memasang 200 meter pelampung di sekitar kapal yang rosak itu dengan bekerja sepanjang malam", dan kerja pemasangan tersebut selesai pada 5.15 pagi keesokan harinya, kata Encik Chee.

"Langkah-langkah yang diambil MPA dan T&T serta waktu respons mereka sejajar dengan amalan industri antarabangsa bagi respons terhadap (insiden) tumpahan minyak."

Tambahan pula, Encik Chee berkata Singapura telah menetapkan SOP bagi insiden tumpahan minyak, dan latihan respons terhadap insiden sedemikian dilaksanakan setiap dua tahun yang melibatkan agensi-agensi pemerintah dan rakan industri.

Kali terakhir latihan sedemikian dijalankan adalah pada 2022 dan latihan seterusnya dirancang diadakan pada Oktober tahun ini.

BOOM TIDAK DAPAT BENDUNG MINYAK DARIPADA MEREBAK

Encik Chee menarik perhatian bahawa terdapat "beberapa salah tanggapan" bahawa pelampung yang dipasang boleh membendung minyak daripada dihanyutkan dan mengalir ke pantai Singapura.

Tumpahan minyak tidak sama seperti menumpahkan kopi ke lantai, jelas menteri itu.

"Jika anda tertumpah kopi di lantai, kopi akan kekal di sana, anda sekadar perlu mendapatkan mop dan bersihkan," ujarnya. "Minyak yang melimpah ke lautan, terutamanya jika ia berlaku secara tiba-tiba, jumlah yang besar, seperti apa yang berlaku pada 14 Jun, minyak tidak akan kekal tidak bergerak.

Memandangkan pemasangan pelampung di sekeliling tumpahan minyak itu akan menelan masa beberapa jam, "kami harus menjangkakan jumlah besar minyak yang mengalir ke dalam air dibawa oleh arus pasang surut dan ombak ke lokasi lain".

PASANG BOOM LEBIH CEPAT?

Menjawab pertanyaan Mediacorp sama ada MPA sedang berusaha untuk memperbaiki masa pelampung dipasang lebih cepat dalam insiden tumpahan minyak sedemikian, Encik Chee menekankan bahawa kelajuan penggunaan tersebut bergantung kepada banyak faktor.

"Jadi jika ia dalam keadaan di mana ia merupakan operasi pada siang hari dan cuaca baik-baik saja, sudah tentu, saya fikir pengendali akan dapat menggunakannya dengan lebih cepat berbanding dengan situasi yang kita hadapi pada hari tersebut ketika waktu malam dan keadaan cuaca tidak begitu baik. "

Mediacorp juga bertanya mengapa MPA tidak menyentuh mengenai kemungkinan tumpahan minyak itu akan merebak dalam kenyataan media pertamanya berhubung insiden berkenaan pada 14 Jun lalu.

Encik Chee menjelaskan bahawa respons segera adalah untuk menangani isu di tapak kejadian itu dahulu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan