Agensi pembantu rumah mesti jalankan pemeriksaan ke atas amah dalam tempoh 3 bulan bekerja di S'pura
Agensi-agensi pembantu rumah tidak lama lagi akan dikehendaki menjalankan sekurang-kurangnya satu pemeriksaan ke atas pembantu rumah hijrahan dan majikan mereka dalam tempoh tiga bulan selepas mereka bekerja dengan majikan tersebut.
Gambar fail seorang amah dipetik 14 Sep 2021 (Gambar: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Agensi-agensi pembantu rumah tidak lama lagi akan dikehendaki menjalankan sekurang-kurangnya satu pemeriksaan ke atas pembantu rumah hijrahan dan majikan mereka dalam tempoh tiga bulan selepas mereka bekerja dengan majikan tersebut.
Ini akan diwajibkan di bawah syarat-syarat pelesenan baru untuk agensi-agensi pembantu rumah.
“Pemeriksaan boleh dilakukan melalui panggilan telefon atau menerusi pemeriksaan secara bertemu muka,” menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media pada Khamis (28 Okt).
"Ini akan dikuatkuasakan ke atas semua pembantu rumah hijrahan (MDW) yang mula bekerja di sini selepas 1 Disember 2021."
Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembantu rumah hijrahan dengan lebih baik, MOM sebelum ini mengumumkan bahawa pemeriksaan oleh agensi pembantu rumah itu akan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini.
Ia turut menarik perhatian bahawa agensi-agensi pembantu rumah adalah "orang tengah yang penting" dalam memudahkan pemadanan antara pembantu rumah dengan majikan. Maka itu, penting bagi agensi-agensi untuk memeriksa sama ada pembantu rumah hijrahan dapat menyesuaikan diri dengan baik.
"Agensi pembantu rumah juga boleh memainkan peranan dalam menjelaskan kepada amah dan majikan mereka mengenai norma-norma dan piawaia-piawai yang ditetapkan bagi MDW," tambah MOM.
Kementerian itu juga menyatakan pada Julai lalu bahawa majikan perlu memberi satu hari rehat wajib setiap bulan kepada pembantu rumah mereka yang tidak boleh digantikan dengan bayaran pampasan, yang akan berkuat kuasa pada hujung 2022.
Pada Ogos, MOM mengumumkan bahawa pihak majikan tidak lagi dibenarkan hadir semasa pemeriksaan perubatan pembantu rumah mereka setiap enam bulan sebagai sebahagian daripada langkah untuk membantu mengesan penderaan. Pemeriksaan di rumah juga tidak dibenarkan.
Pada Khamis, MOM menyatakan pihaknya sudah melakarkan garis panduan yang boleh digunakan oleh agensi-agensi pembantu rumah untuk menjalankan pemeriksaan, sambil menambah bahawa beberapa agensi sudahpun mula melakukan pemeriksaan ke atas para pembantu rumah.
Agensi-agensi pembantu rumah perlu melengkapkan senarai semak yang diwajibkan dan menyimpan rekod-rekod relevan.
"MOM akan menjalankan audit rutin, di mana agensi pmbantu rumah akan dikehendaki memberikan senarai semak yang sudah dilengkapkan untuk menunjukkan bahawa pemeriksaan sudah dijalankan dengan betul," menurut kementerian itu.
Ia menambah bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap agensi-agensi yang gagal mematuhinya. Agensi-agensi yang didapati melanggar syarat-syarat pelesenan boleh didenda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Bergantung kepada jumlah mata demerit, pihak kementerian juga boleh membatalkan lesen mereka di samping kehilangan wang cengkeram mereka selain denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.