Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi khidmat sosial bakal dapat lebih sokongan bantu belia dengan isu kesihatan mental

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu program baru dilancarkan pada Selasa (15 Mac) untuk meningkatkan sokongan di peringkat masyarakat untuk belia yang mengalami isu kesihatan mental. 

Di bawah program Cabaran Presiden-Institut Kesihatan Mental (IMH), empat agensi perkhidmatan sosial (SSA) akan dilatih oleh IMH untuk menguruskan kes-kes sedemikian. 

"Sebagai pakar bidang tersebut, IMH akan melakarkan dan menyediakan latihan kepada empat SSA untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan agar dapat menguruskan kes belia yang dirujuk daripada IMH," menurut pejabat Presiden dalam satu kenyataan media. 

"Penjagaan bagi belia tersebut akan diletakkan di tengah-tengah  masyarakat supaya mereka boleh mendapatkan bantuan intervensi susulan dan sokongan psikososial berdekatan rumah mereka." 

Presiden Halimah Yacob berkata demikian semasa melancarkan program itu pada Selasa (15 Mac).

Beliau berkata sekarang ini, terdapat "sedikit sahaja" perkhidmatan kesihatan mental untuk belia di peringkat masyarakat. 

"Dengan mengambil pendekatan jagaan sedemikian, kita boleh memastikan bahawa keperluaan kesihatan mental anak-anak muda  itu diurus dengan baik, sedang mereka tinggal di rumah untuk pulih," katanya. 

Program itu akan membantu belia berusia 13 hingga 19 tahun yang menghadapi isu kesihatan mental dan meminta bantuan di bilik kecemasan IMH tetapi tidak dirawat di institut tersebut meskipun masih perlukan sokongan masyarakat. Ia juga akan membantu belia yang dibenarkan keluar wad psikiatrik atau memerlukan rawatan susulan di klinik-klinik pakar. 

Puan Halimah menarik perhatian bahawa golongan belia tersebut, memerlukan lebih banyak bantuan daripada sistem yang sedia ada sekarang. 

Mereka termasuk golongan yang keperluannya tidak terlalu serius sehinggakan harus dimasukkan ke hospital dan juga mereka yang memerlukan jagaan selepas dibenarkan keluar dari IMH. 

"Lebih baik yang boleh dilakukan untuk membangunkan rangkaian jagaan di peringkat masyarakat dengan melengkapkan SSA dengan keupayaan untuk melakukan penilaian asas dan intervensi tepat pada masanya untuk golongan belia ini," kata Puan Halimah. 

Program Cabaran presiden-IMH akan bertindak sebagai "jambatan penting" antara rawatan di hospital dan jagaan di rumah bagi belia yang menghadapi isu kesihatan mental, tambah Puan Halimah lagi. 

Empat agensi yang turut serta dalam program tersebut adalah Club HEAL, Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH), Persatuan Kanak-Kanak Singapura dan Khidmat Masyarakat TOUCH. 

Selain memberikan latihan, IMH juga akan kerap mengadakan perbincangan tentang kes yang dikendalikan  bersama SSA, dengan pengurus kes berfungsi sebagai kontak utama untuk memastikan peralihan jagaan yang lancar. 

"Usaha menjalani pemulihan daripada masalah kesihatan mental biasanya menyeramkan untuk anak muda kita, namun jika terdapat rakan perkhidmatan sosial yang melalui perjalanan itu bersama mereka, mereka akan lebih yakin untuk pulih," menurut Profesor Madya Lee Cheng, Pengarah Klinik di Jabatan Kesihatan Penduduk IMH. 

LEBIH RAMAI ANAK MUDA DI IMH 

Pandemik COVID-19 menekankan keprihatinan tentang kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak di merata dunia, kata Puan Halimah. 

"Banyak kajian meninjau kesan-kesan pandemik terhadap keadaan mental anak-anak muda. Namun, yang lebih membimbangkan adalah ini hanya mencerminkan sebilangan kecil daripada masalah sebenar yang kami sudah abaikan sejak sekian lama," tambahnya. 

Antara 2015 hingga 2020, jumlah remaja yang mendapatkan rawatan di IMH bagi kes kemurungan bertambah sekitar 60 peratus, kata Puan Halimah. Menurutnya orang ramai juga kini mendengar lebih banyak kisah pelajar yang mengalami isu berhubung kait tekanan. 

Puan Halimah berkata beliau yakin program Cabaran Presiden-IMH yang dibiayai Cabaran Presiden dengan sumbangan daripada Ngee Ann Kongsi dan Raffles Medical Group akan membantu memperkasa keupayaan sektor sosial untuk membantu belia dalam persekitaran yang biasa. 

"Saya menggesa lebih banyak agensi perkhidmatan sosial untuk turut serta dalam inisiatif kami bagi menyokong anak-anak muda kita yang menghadapi keperluan kesihatan mental," tambah Puan Halimah lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan