Skip to main content

Singapura

Agensi keselamatan SG APRO sahkan 300 pegawai diturunkan pangkat

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi keselamatan SG APRO sahkan 300 pegawai diturunkan pangkat

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 08 Feb 2023 10:08PM Dikemas Kini : 09 Feb 2023 09:53AM
SINGAPURA: Agensi keselamatan APRO pada Rabu (8 Feb) mengesahkan syarikat itu "menurunkan pangkat" 300 pegawainya secara paksa.

APRO menyatakan langkah itu sebahagian daripada penyesuaian kontrak pekerjaan dan gaji yang melibatkan seluruh syarikat itu pada Disember lalu dan agensi berkenaan perlu "menyusun semula saiznya" kerana "struktur berunsur pangkat yang semakin padat" sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambah APRO, jumlah gaji bagi kumpulan pegawai yang diturunkan pangkat itu 7.3 peratus lebih tinggi tahun ini berbanding tahun lalu. Sebaliknya, jumlah gaji keseluruhan bagi semua pekerja di bawah semakan itu naik 13.6 peratus.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng pada Selasa menarik perhatian mengenai satu kes "tingkah laku buruk" di mana sebuah agensi keselamatan "menurunkan pangkat" kira-kira 300 pegawai secara paksa, tetapi menarik balik tindakan tersebut dibatalkan selepas Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) campur tangan.

Encik Ng berkata syarikat tersebut kemudian melanjutkan waktu kerja pegawai terlibat untuk cuba "menetapkan semula" syarat pekerjaan dan gaji mereka.

Timbalan Pengarah Urusan APRO, Encik Li Xiaowen, berkata syarikat itu menjalankan penyusunan semula dengan rancangan untuk mematuhi model gaji progresif (PWM) bagi 2024 untuk mengemas kini syarat pekerjaan dan "memenuhi keperluan perniagaan kami dengan menyesuaikan saiz" struktur pangkat.

Jawatankuasa Kelompok Tiga Pihak Keselamatan menyarankan gaji asas bagi pegawai keselamatan ditetapkan pada S$2,650 mulai 2024.

Dengan berbuat sedemikian, 98 peratus daripada 1,145 anggota pengawal keselamatannya menerima kenaikan gaji. Namun syarikat tersebut mengenal pasti 362 pekerja yang menjalankan tugas pegawai berpangkat lebih rendah.

APRO menawarkan pegawai-pegawai tersebut kontrak baru dengan pangkat lebih rendah, dengan kebanyakan gaji yang disesuaikan lebih tinggi "tidak sekadar mematuhi" kenaikan PWM, kata Encik Li.

"Sebab kami melakukannya pada waktu ini adalah kerana kami ingin mengurangkan sebarang kesan negatif yang mungkin berlaku," tambah Encik Li. Sebilangan besar pegawai yang diturunkan pangkat akan masih menerima gaji lebih tinggi kerana jumlah itu akan diimbangi peningkatan PWM.

Encik Li berkata, APRO ada lebih banyak pegawai keselamatan berpangkat tinggi daripada yang diperlukan, tetapi menyangkal dakwaan Encik Ng bahawa ia "tidak lagi mempunyai kontrak untuk mengekalkan (pekerja itu) pada pangkat mereka sekarang".

Sebaliknya, beliau berkata, program pengurusan bakat APRO tidak diuruskan dengan betul, menyebabkan syarikat itu mengambil lebih ramai pekerja berpangkat lebih tinggi daripada jumlah yang diperlukan. Terdapat "ketidakseimbangan pada struktur pangkat yang kami kekalkan berbanding kontrak-kontrak yang perlu kami penuhi".

APRO menyedari perkara tersebut pada 2021 tetapi tidak segara mengambil tindakan kerana "kami rasa belas kasihan dan tidak mahu menjejas pangkat atau pendapatan pekerja kami". Namun ia perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan kesan peningkatan gaji bagi mematuhi PWM.

Encik Li berkata, USE memaklumkan kepada APRO pada 8 Disember bahawa kontrak pekerjaan baru itu bermakna pangkat diturunkan secara paksa.

"Saya akur kami gagal mengambil kira bahawa tawaran kami pada awalnya akan dilihat sebagai pangkat diturunkan," tambahnya.

"Saya gagal untuk mengambil kira bahawa pangkat itu penting bagi sesetengah pekerja," ujar Encik Li.

Beliau turut berkata syarikat itu "segera berunding dengan pihak kesatuan secara ikhlas untuk cuba mencapai huraian bagi situasi yang sedang berlaku".

Mengulas sama ada amalan diturunkan pangkat secara paksa adalah suatu perkara biasa dalam kalangan agensi keselamatan, Persatuan Keselamatan Singapura menyatakan pihaknya menggalakkan syarikat untuk menyesuaikan syarat pekerjaan dengan mencapai muafakat bersama pegawai masing-masing.

Selepas berbincang dengan USE, Encik Li berkata syarikatnya menawarkan kontrak baru kepada pekerja yang terjejas, termasuk mengekalkan pangkat asal mereka, gaji dinaikkan dan masa bekerja ditambah.

"Tawaran ini lengkap dengan ketiga-tiga komponen," katanya, sambil menambah bahawa ia bertentangan dengan kenyataan NTUC. Beliau merujuk kepada catatan Facebook Encik Ng di mana isu mengekalkan pangkat pegawai dan gaji PWM seakan dilihat secara berasingan daripada isu menambah waktu bekerja.

Encik Li juga menunjukkan kepada Mediacorp e-mel di mana wakil dari USE berkata "kami menyokong tawaran anda kepada pekerja yang terjejas".

Para pegawai diberi pilihan untuk menerima kontrak yang menawarkan pangkat lebih rendah atau mengekalkan pangkat asal dengan waktu bekerja ditambah. Sebilangan besar dari mereka memilih pangkat lebih rendah.

Beliau berkata kenyataan daripada Encik Ng semalam timbul "secara tiba-tiba" bagi APRO, kerana syarikat itu menganggap maklum balas dan kebimbangan pekerja sudah ditangani dalam kontrak baru.

Encik Li berkata kali terakhir syarikat itu berhubungan dengan USE adalah mengenai sesi taklimat dengan pegawai yang terjejas untuk memastikan mereka tidak berasa disasarkan oleh APRO.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, NTUC menyatakan USE mengesahkan "ia tidak mencapai sebarang persetujuan" dengan APRO dan "sebarang cadangan bahawa kesatuan sekerja itu bersetuju dengan syarat yang tidak adil adalah tidak tepat".

Atas sebab itu, perkara tersebut dirujukkan bagi proses perundingan di Kementerian Tenaga Manusia, tambahnya.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita